REVIEW JS ADIWARNA

REVIEW NOVEL  JS ADIWARNA

TAJUK- HOTEL MEOW-MEOW
PENULIS-IMAEN HARGA-RM14 SEM/ RM16 SABAH/SARAWAK
TERBITAN-JS ADIWARNA
KATEGORI-BOM(BUAT ORANG MUDA)


REVIEW 1:
Pertama kali membaca karya IMAEN katogori BOM, membuat saya tertarik. Novel ini tidak tebal, namun sarat dengan mesej dan ilmu pengetahuan. Banyak yang saya pelajari sewaktu membaca novel ini. Novel ini mengisahkan tentang Nabil, Aswad dan Rasyid yang bersahabat baik. Mereka amat suka bermain bola, sebagai latihan senaman seharian. Kisah ini bermula ketika Aswad terpaksa mengahalang sebuah kereta daripada melanggar seekor anak kucing di tengah jalan. Lalu kereta tersebut telah kemalangan dan pemandu tersebut meminta gantirugi sebanyak RM300. Bapa Aswad terpaksa membayar harga yang diminta, biarpun Aswad telah menjelaskan perkara yang sebenar. Kerana ayahnya, Abdul Basit sering berpesan-pesan ” berkata benarlah walaupun pahit” namun itu tidak bererti  Aswad harus lari dari tanggungjawabnya. Lalu sebagai hukumannya, Aswad perlu membayar separuh daripada wang yang telah digunakan untuk membayar kepada pemandu kereta terbabit dan Aswad bersetuju.

Rasyid dan Nabil pula sedia membantu, bagi mereka sahabat-sahabat perlu besatu hati. Mereka mempunyai minat yang sama iaitu bermain bola sepak. Pepatah ada mengatakan: Bola yang rosak boleh dibeli, tetapi sahabat tidak mungkin dapat ditukar ganti. Mereka sepakat untuk membantu Aswad, berkerja pada musim cuti sekolah nanti, memandangkan bapa Aswad adalah seorang peniaga.  Puas mereka betukar-tukar fikiran untuk memilih kerja yang sesuai dengan usia mereka yang baru berumur 13 tahun. Timbul idea Rasyid yang ingin membuka sebuah pusat penjagaan kucing. Namun mereka semua tidak mepunyai sedikit pun pengalaman. Lalu, mereka bercadang ingin memohon pertolongan daripada Nurin Batrisya, adik kepada Nabil. Nurin sememangnya seorang yang amat menyayangi kucing dan mengetahui apa sahaja mengenai kucing, kerana dia mengaggotai kelab PKM(Persatuan Kucing Manusia). Mereka berempat sepakat untuk menyiapkan tempat yang sesuai untuk memulakan perniagaan. Semua bertungkus lumus bagi memastikan apa yang mereka rancangkan akan berjaya. Ibubapa mereka pula, menyokong usaha mereka dan turut membantu apa yang perlu. Pada mulanya, tidak ada seorang pun yang menghantar kucing-kucing ke sana, mereka terasa berputus asa. Lalu mereka membuat Solat Dhuha, Allah telah memberi rezeki kepada mereka, datang dua orang  menghantar kucing di Hotel Meow-meow. Kucing tersebut amat cantik, dan diberi nama Si Putih.Namun gelagat mereka amat mencurigakan.  Apakah yang ada pada  Si Putih sebenarnya? Perkara itu bermain dibenak mereka.


Perniagaan mereka semakin maju dan tidak menghadapi sebarang masalah, duit yang mereka perlukan juga sudah dibayar kepada bapa Aswad. Suatu hari, datang  seorang lelaki bertanyakan tentang Si Putih, tidak lama kemudian datang lagi bebeberapa orang juga bertanyakan Si Putih, Nurin sempat bertindak menyorokkan Si Putih di dalam rumahnya. Kemudian Nabil telah ditangkap oleh orang-orang yang tidak dikenali itu meminta mereka menyerahkan Si Putih, dengan syarat jangan memberitahu kepada sesiapa termasuk polis.  Namun mereka bertiga bijak menyelesaikan masalah tersebut dengan bantuan PKM. Sekaligus dapat menyerahkan Si Putih kepada Tuannya yang asal.Siapakah sebenarnya Si Putih? Apa ganjaran yang mereka perolehi di atas bantuan mereka?

Kisah ini amat menarik sewaktu cuti sekolah. Selain daripada mereka belajar berniaga, mereka juga dapat menimba pelbagai pengalaman. Walaupun aktiviti bermain bola terpaksa mereka kurangkan. Apa yang lebih menarik, novel ini juga tedapat gambar-gambar untuk kita lebih memahami isi cerita tersebut. Pada pendapat saya ia juga sesuai untuk semua peringkat usia. Lebih-lebih lagi kepada yang meminati karya penulis ini. Pastinya teruja untuk menjadikannya koleksi sendiri. Banyak ilmu pengetahuan yang dapat dipelajari di dalam novel ini, terutama berkenaan kucing. Banyak info yang memberi manfaat untuk semua penggemar kucing. Contohnya seperti pemakanan, kesihatan, penyakit berjangkit, dan sebagainya.  Terselit juga nasihat-nasihat yang berguna contohnya sewaktu bapa Aswad berbicara dengan orang yang lebih tua, mereka semua mendiamkan diri. Bapa Aswad mengajar  mereka, bahawa melarang kanak-kanak agar tidak menyampuk kata-kata orang tua. Kerana perlakuan tersebut adalah tidak sopan. Juga ada menegur “tidak baik mengata orang” pada mukasurat: 15
Di sini juga banyak perumpamaan dan peribahasa, contohnya:
Beri  betis , nak peha.
Orang tamak selalu rugi.
Hangat-hangat tahi ayam.

Penulis juga sempat menyelitkan betapa pentingnya Bahasa Melayu kerana hanya bangsa yang berilmu sahaja mampu menguasai dunia. Saya menyokong kata-kata pada muka surat  5 “Aku nak jadi orang yang berpelajaran tinggi, dan orang yang berilmu. Kerana ada kata yang bijak panda, orang kaya ilmu akan jaga pemiliknya, tetapi orang yang kaya harta, pemiliknya akan jaga hartanya.” Pasti anda tidak akan merasa bosan membaca karya ini.



TAJUK-  GENG ABCDE BERCUTI KE ARAU
PENULIS- HLOVATE
HARGA- RM14 SEM/ RM16  SABAH/ SARAWAK
TERBITAN- JS ADIWARNA
KATEGORI- BOM(BUAT ORANG MUDA)

REVIEW 2:


Buku yang berharga rm14 terbitan js adiwarna karya Hlovate ini memang tidak mengcewakan. Ia bukan sahaja sesuai untuk semua peringkat umur, tetapi juga sesuai dibaca untuk sesiapa juga yang ingin menambah ilmu pengetahuan, bukan sedikit ilmu yang dapat kita pelajari dari buku yang nipis ini. Bukan setakat cerita kosong yang penulis ingin kongsi. Banyak pengajaran yang dapat saya kupaskan setelah membaca novel ini. Novel ini mengisahkan Geng ABCDE yang dilanda kebosanan setelah cuti sekolah yang telah bermula, tanpa melakukan sebarang aktiviti. Di atas cadangan Badrul, semua bersetuju untuk melawat Tok dan Tok wan Badrul dan Azrin di Arau, Perlis. Setelah mendapat persetujuan daripada ibubapa masing-masing, Geng ABCDE itu adalah,  Azrin, Badrul, Choon wai, Deva, Ee Lin dan mereka bertolak dengan menaiki bas. Mereka benar-benar gembira sepanjang perjalanan biarpun keletihan.  Dalam perjalanan ke rumah Tok Wan, mereka disapa dengan anak ketua kampung bernama Ismadi yang menaiki kereta mewah .

Di rumah Tok Wan banyak yang mereka pelajari seperti memotong asam gelugur, menjemur koko, menjala ikan, mengutip buah-buahan, menganyam buluh dan  rotan, mengasingkan kekabu dengan bunganya, membuat bubu, dan memberi makanan arnab. Selain itu banyak juga aktiviti menarik yang mereka lakukan bersama. Seperti mandi sungai, membuat layang-layang, membuat lastik, dan pelbagai lagi. Membaca cerita ini sahaja sudah cukup membayangkan suasana di kampung sewaktu zaman kanak-kanak. Berbalik kepada cerita tadi, ketika Badrul, Choon Wai dan Deva bermandi-manda di sungai, mereka bertemu dengan seorang lelaki bernama Abang Harun. Gelagat lelaki itu banayak menimbulkan persoalan dihati mereka, apatah lagi setelah lelaki itu cuba mngejar mereka dengan parang. Setelah itu mereka mula melakukan penyiasatan ke atas Harun setelah melihat Harun ada berjumpa dengan orang-orang yang mencurigakan sewaktu berkelah di gua kelam. Pandangan mata Abang Harun juga memberi  seribu ancaman dan amaran. Sehinggakan pada suatu hari, mereka terjumpa sebuah lori yang membawa muatan pisang tetapi isinya didapati adalah mercun. Menurut Tok wan, mereka adalah peraih yang  yang kononnya membeli buah pisang di kebun Harun. Mereka juga pernah ternampak Ismadi di kebun tersebut bersama Abang Harun.

Semasa mereka ingin mengambil jala Tok wan yang tertinggal di sungai, mereka terlihat Abang Harun sedang dipukul, lalu dengan tindakan nekad mereka menggunakan jala dan memerangkap mereka yang sedang memukul Abang harun, Biarpun hakikatnya mereka masih keliru watak Abang Harun tersebut. Dan yang lain pula pergi meminta bantuan. Akhirnya penjenayah dapat diberkas pihak berkuasa dengan kepintaran mereka. Benarkah lelaki bernama Harun itu cuma pekebun pisang ? Siapakah dia? atau sebenarnya ada cerita disebaliknya. Siapakah penjenayah yang sebenar dan apakah yang mereka telah lakukan. Cubalah membaca karya Hlovate ini. Anda pasti akan terhibur.

Di dalam novel ini bukan sahaja terdpat banyak tatabahasa, simpulan bahasa, peribahasa yang biasa kita dengar ada diletakkan dimuka surat akhir sekali. Contoh sedikit yang saya ambil:
1)Sudah terhantuk,baru terngadah- bermaksud sudah terkena baru beringat. 2)sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga seseorang yang hebat di dalam sesuatu perkara, tetap ada kelemahannya juga. 3)Musang berbulu ayam- orang jahat menyamar sebagai orang yang baik-baik.

Selain itu juga terdapat Sajak pada mukasurat 31
Pantun muka surat 71 dan
Gurindam 12 pada mukasurat 34& 35

Novel ini juga terdapat beberapa gambar untuk kita lebih mudah memahami isi cerita. Juga terdapat beberapa doa yang harus kita amalkan setiap hari seperti doa naik kenderaan, doa makan dan dan doa harian yang lain. Pada pendapat saya, samada novel itu nipis atau tebal, setiap karya pasti ada mesej dan pengajaran yang hendak disampaikan di samping kita menambah ilmu setiap hari dengan membaca. Novel ini juga dilengkapkan dengan ilmu, dengan buku setebal 170 mukasurat.

TAJUK- MAAF, SAYA BUKAN BIBIK!
PENULIS- NASHMIN
HARGA-RM17 SEM/ RM19 SABAH/SARAWAK
TERBITAN-JS ADIWARNA
KATEGORI-SI MANIS 17

REVIEW 3:
Saya amat menyukai jalan cerita yang penulis persembahkan. Sungguh saya tidak menyangka bahawa ini adalah karya pertama dari penulis. Melihat susun bicara yang kemas dan teratur, dan cara pengolahan ceritanya membuat saya tidak sabar untuk meneruskan pembacaan. Seperti ada tarikan magnet untuk saya menghabiskannya, keseluruhan cerita ini saya sangat berpuashati.

Cerita ini mengangkat kisah sorang gadis bernama Suhana yang telah gagal dalam peperiksaan SPM dengan mendapat 9G dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Di ulangi Bahasa Melayu. Ini memberikan kesan yang hebat kepada dia. Secara negatif, membentuk tekanan kerana segala yang berlaku diluar jangkaan kerana dia yang merupakan seorang pelajar cemerlang dari segi Kurikulum dan Ko-kurikulum. Namun, dengan semangat yang masih bersisa, dia nekad untuk mengambil semula peperiksaan yang terkandas. Keluarganya menyokong keputusannya juga sahabat baiknya, Syeila yang merupakan jirannya juga sentiasa ada disamping Suhana. Namun, Suhana tidak mahu sesekali membebankan ibunya yang merupakan seorang balu. Lalu, Suhana mengambil keputusan untuk bekerja sambil belajar. Dia kemudiannya bekerja di rumah makcik sahabat baiknya  di daerah Selama, Perak. Daerah yang nun, jauh terperuk sama sekali jauh dari pemikirannya. Namun terlajak katanya yang benar-benar memerlukan pekerjaan memberi semangat lain pula. Di sini perkenalannya dengan anak tuan rumah yang bernama Zaki yang cukup membuat Suhana  terasa ingin berpatah balik dari keputusan yang telah dibuat.  Zaki yang sudah bertunang dan bertugas sebagai seorang guru Bahasa Melayu. Entah di mana silapnya pada Suhana, ada sahaja perlakuannya yang tidak kena di mata Zaki dan dia rela diperlakukan selayaknya sebagai seorang bibik, kerana Zaki tidak sudah-sudah memanggilnya sebagai orang gaji. Jiwanya memberontak namun dia tidak mahu niatnya hanya separuh jalan.


Suahana melakukan tugasnya dengan baik sekali, sifat peribadinya yang sederhana dan sentiasa menjaga maruah dirinya amat disenangi oleh Makcik Hasnah, dan menganggap Suhana seperti anak kandungnya sendiri. Hubungan dengan Zaki juga bertambah baik. Zaki dengan rela hati turut menjadi guru kepada Suhana dan memberinya perangsang untuk berjaya dalam peperiksaan kali ni. Hubungan yang baik itu rupanya tidak disenangi oleh Julia, tunang kepada Zaki. Julia yang memang tidak disukai oleh seluruh ahli keluarga Zaki, sememangnya seorang yang sombong dan ego. Dia sentiasa bersikap dingin kepada Suhana kerana merasakan Suhana adalah saingannya. Namun satu peristiwa yang tidak dijangka, tembelang Julia akhirnya pecah. Malah Julia memutuskan pertunangan serta memfitnah Zaki. Zaki sedikitpun tidak menyangka bahawa selama ini Julia telah curang padanya. Suhana cuba memberi kekuatan kepada anak majikannya yang telah patah semangat, patah hati.


Suhana pula terus berusaha. Berjayakah Suhana mencapai impiannya? Bagaimanakah dengan Julia?Banyak persoalan yang akan terjawab dengan membaca karya yang indah ini. Juga terdapat banyak pengajaran yang akan menjadi pedoman untuk kita di dalam novel ini, antaranya
 1) Bersyukur dengan apa yang kita perolehi,
 2) Jangan berburuk sangka pada seseorang
 3) Jangan sombong atau bongkak,
 4) Hormati orang yang lebih tua
 5) Sentiasa Redha dengan ujian Allah, kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah.

Zaki akhirnya melamar Suhana untuk menjadi isterinya. Umur, jodoh, ajal dan rezeki semua ditangan Allah. Apa yang penting kita selalu berusaha dan tidak berputus asa. Saya tertarik ayat motivasi yang diucapkan zaki kepada suhana, Pada muka surat 111 “ Kadangkala sindiran, cemuhan dan makian, juga merupakan satu motivasi yang cukup hebat. Terpulang kepada individu untuk menilainya. Jika seseorang itu terasa terhina  seharusnya dia perlu bangkit untuk cantas segala cemuhan itu. Ambil semua sndiran dan cemuhan itu sebagi obor pembakar semngat, kemudian buktikan yang dia juga boleh dan mampu buat walau apapun yang orang cakap. Tapi ada juga yang akan lemah. Tak buat hinaaan dan cemuhan itu sebagi satu  pencetus semangat tetapi sebaliknya satu masalah yang besar yang menghempap diri mereka. Perlu ada semangat lain untuk kembalikan semangat dia. Mungkin dengan kata-kata peransang untuk orang yang lebih dekat. “Diharap sesiapa yang pernah melalui kegagalan, akan terus bangkit selepas membaca novel ini, yang isinya penuh motivasi.

kesimpulannya di sini, namun apa yang lebih penting, penulis cuba terapkan adalah kepentingan Bahasa Melayu itu sendiri. Ini jelas, dalam Pada muka surat 249: “Bagi saya bahasa itu cukup penting . Tidak kiralah samada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, atau Bahasa apa-apa sajalah. Kerana bahasa adalah merupakan medium yang penting untuk membuat semua perkara. Tiada Bahasa  maka hancurlah sistem perhubungan di antara manusia nak belajar kira-kira pun guna bahasa.”

Sememangnya, apalagi yang lebih memalukan seandainya bangsa Melayu itu sendiri telah gagal dalam Bahasa ibunda kita. Namun, Suhana telah membuktikan kepada kita, usaha yang berterusan, kejayaan pasti dalam genggaman. Cuma kita jangan terlalu bangga dengan apa yang kita miliki. Suhana bukan sahaja berjaya dalam pelajarannya, malah juga berjaya mencuri hati nak anak majikannya. Saya tersenyum membaca penutup cerita novel ini. Bacalah Kisah ini, anda pasti akan tersenyum melihat gelagat Suhana dan Zaki.






TAJUK-DIA YANG KUNIKAHI
PENULIS-IQBAL SYARIE
HARGA-RM19 SEM/ RM21 SABAH/SARAWAK
TERBITAN-JS ADIWARNA
KATEGORI-SI MANIS 17

REVIEW 4:
Melihat tajuk dan kulit buku sahaja saya sudah tertarik, apatah lagi setelah mula membacanya. Tidak henti saya membaca, dan setelah dua jam mentelaah, saya berjaya menghabiskan novel pertama dari IQBAL SYARIE ini. Penulisnya bijak mengatur bicara, mengolah jalan cerita dan menyusun plot dengan amat baik sekali. Dengan semangatnya untuk berdakwah , secara halus dan lembut tetapi memberi kesan yang mendalam di hati saya.

Adam Johari adalah anak lelaki sulung yang dahulunya seorang yang culas di dalam melakukan tanggungjawab sebagai seorang Islam, namun setelah satu peristiwa yang berlaku sewaktu belajar di Jordon, Johari terus berubah menjadi muslimat yang sejati. Johari percaya Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang. Johari mula mendekatkan diri dengan Allah, dan mula mempelajari semula apa yang harusnya ada bagi seorang Islam dan muslim yang sejati. Johari juga mengimpikan seorang isteri yang bersama-sama berjuang menegakkan agama Allah. Aisyah pula membesar dengan penuh kasih sayang namun sering terikut cara kehidupan di barat, dan tidak mengamalkan selayaknya bagi seorang Islam. Dia juga merupakan sahabat baik kepada Johari sewaktu kecil, Aisyah yang terlah jauh berkelana di Luar Negara sehingga telah mengabaikan tanggungjawab sebagai muslimah. Dia dan Johari bertemu semula selepas Aisyah tamat belajar. Aisyah berasa kekok berada bersama kerana Johari telah jauh berubah dan dia pula semakin jauh mengubah diri. Namun, suatu hari hatinya telah diberikan hidayah oleh Allah. Aisyah mula bersunguh-sungguh untuk menjadi muslimah yang sebenar disamping sokongan keluarga dan sahabat-sahabatnya. Jauh di sudut hati kecil Aisyah masih  berharap, ada lelaki yang sudi menerima dan membimbingnya menjadi seorang islam yang sebenar.


Nurul Nasuha, gadis yang pernah membuat Johari jatuh cinta sewaktu zaman Sekolah Menengah bertindak meninggalkannya kerana takutkan Allah. Mereka bercinta tidak sampai sebulan, namun takdir Allah siapa yang tahu. Perpisahan yang Allah takdirkan semua berhikmah. Nasuha tidak mahu menjadi anak derhaka sekaligus menjadi manusia yang berdosa. Namun, nama Johari tetap terukir di bibir pada lewat doanya, tanda ingatan yang tak pernah padam. 7 tahun selepas itu, mereka dipertemukan secara tidak di duga. Lalu menyimpul kembali harapan di hati Johari yang akhirnya bertindak meminang  Nasuha. Namun, Johari terlewat kerana Nasuha telahpun bertunang dengan sahabat lamanya sewaktu belajar di Jordon, Azzam. Akhirnya, Johari memilih Aisyah sebagai isterinya dan mereka diijabkabulkan. Pada hari perkahwinan Johari dengan Aisyah, Azzam ditimpa kemalangan dan meninggal dunia. Azzam  menitipkan sebuah amanat yang tidak tahu samada mampu ditunaikan oleh Johari atau tidak. Kalau benarpun, bagaimana dengan tanggapan Aisyah kelak. Azzam meminta agar Johari menerima Nasuha sebagai isterinya yang kedua?
Saya sukakan keseluruhan novel ini, Biarpun ceritanya, sudah saya duga.  Banyak mesej yang telah disampaikan melalui tulisannya.
- sebagai seorang Islam kita digalakkan saling ingat mengingati antara sesama manusia.

 -tidak memungkiri janji yang dibuat sesame manusia mahupun dengan pencipta.

 - sikap saling menghormati dan saling menyayangi perlu ada dalam institusi kekeluargaan untuk mengwujudkan hubungan yang harmoni.

-sentiasa bersungguh-sungguh dalam mencari redha ilahi. -Sebagai seorang Islam, kita wajib percaya pada rukun iman yang ke-enam “Allah itu pemilik takdir. Allah itu penguasa qadak dan Qadar. Allah jua memiliki rencana-NYA. Dan ia selamanya tetap yang terbaik.” Pada muka surat 422. Namun apa yang lebih menarik novel ini terdapat banyak hadis-hadis yang boleh kita ambil untuk jadkan perisai dalam kehidupan kita sehari-hari sebagai seorang Islam. Apa yang membuat saya lebih tertarik dengan novel ini adalah kerana bahasanya yang tersusun indah mengajak kita sama-sama berfikir dan mendekatkan diri dengan Allah. Saya berharap misi DABOM, yang penulis harapkan kepada sesiapa yang membaca novel ini akan berhasil.


TAJUK-WANGINYA BUNGA RAMPAI
PENULIS-HASWIDA ABUBAKAR
HARGA-RM19 SEM/ RM21 SABAH / SARAWAK
TERBITAN-JS ADIWARNA
KATEGORI-SI MANIS 17



REVIEW 5:

Ternyata bakat HASWIDA ABU BAKAR, bukan sahaja didalam bidang perfileman tetapi penulis mengembangkan bakatnya  yang diketengahkan dalam bentuk bercetak.  Dalam novel ini, kita dapat melihat watak dan plot berkembang menjadi satu cerita. Dan saya pula seakan sedang menonton sebuah teater.

Lumrah manusia yang hatinya ingin menyayangi dan disayangi, namun sentiasa keliru dengan perasaan sendiri. Bagi si anak, kehendak ibubapa lebih utama berbanding hati mereka sendiri. Adakalanya kita terpaksa membiarkan sahaja perasaan yang hadir tanpa diundang itu hilang dengan sendirinya. Ini kisah hati. Bukan dua tapi lapan hati terpaksa terluka dan dilukakan. Hati siapa pula yang bahagia, hanya terjawab dalam novel ini.

Dalam masa 15 hari, penulis menyelesaikan kisah Arif dan Seri. Arif yang datang ke kampung Molek kerana ingin mebantu menguruskan perkahwinan sahabat lamanya, Helmi. Dan Seri pula adalah sahabat kepada adik Helmi bernama Nasuha turut juga ada untuk membantu, disamping menemani Nasuha. Tanpa sedar, masing-masing terpaksa membunuh perasaan yang baru bertunas, Cuba menidakkan perasan yang mula membenih, dan membuang segala rasa yang mendatang tanpa diundang itu. Seri yang datangnya dari golongan ‘Sharifah, Syed’ telah ditunangkan dengan jalur darah yang sama. Mana mungkin dia menerima Arif yang biasa-biasa sahaja, sedangkan dia sendiri terpaksa melupakan kekasihnya dan rela bertunang dengan Syed Haikal. Arif pula ada kisah disebaliknya. Dia yang juga terpaksa bertunang dengan Nurul yang hakikatnya mencintai orang lain. Mereka ditunangkan kerana meneruskan perjanjian yang dibuat oleh moyang mereka sejak dulu lagi. Pertunangan ini membuat Arif sebagai anak akur dan rela menjerut rasa. Haikal, tunang kepada Seri juga rupanya menyintai wanita lain. Liyana. Namun sedikit demi sedikit mampu menerima Seri dalam hidupnya. Dan Seri yang hatinya kosong untuk Haikal mula terisi dengan kehadiran Arif. Mula belajar merasai resah, marah, rajuk, rindu dan cemburu. Namun, dia tetap akur dengan keputusan yang telah dibuat. Tidak sesekali Seri mengingkari perintah keluarganya, biarpun jauh didasar hatinya, ada nama Arif yang mula terukir.

“Maksud I,  You adalah fajar dan senja setiap pagi dan petang I ternanti-nanti. Tapi I tahu, tempat you hanya di kaki langit yang sungguh tinggi untuk I capai. Mustahil untuk kita bersama….”  Dan Seri suka mendengar perkataan yang diucapkan itu.  Muka surat:131

Berderau darah Seri mendengar bacan Al-Quran dari mulut Arif. Bergetar setiap rongga liang roh yang selama ini diam. Ruang hatinya berkocak kuat membentuk lautan kasih untuk Arif. Lelaki seperti inilah yang dia cari. Namun sayangnya, Abang Arif bukan ‘Syed’. Muka surat:339 Dan seri cuba menolak segala rasa yang ada itu. Jelas kata-kata seri pada mukasurat 229: “Seri akan buang segala rasa ini jauh didasar sungai, dan seri nak Abang Arif pun buat perkara yang sama. Buang jauh kedasar sungai. Biar saja arus sungai ini membawa ia jauh ke kaki bukit sana atau kehilir sana… atau membawa ia jauh ke laut pun Seri tak kisah.”  Jika tidak masakan seri tergamak melumur mulut Arif dengan cabai Melaka yang sememangnya pedas. Bersama peringatan, jangan sesekali membicarakan hatinya dengan Seri lagi.

Degilnya hati Arif yang langsung tidak mahu mendengar kata tetap sahaja mahu mencuba. Namun tatkala melihat wajah Seri yang gembira sejak kehadiran tunangnya di majlis perkahwinan Helmi, membuat Arif akur yang Seri bukan untuknya. Namun dia juga tidak sesekali menerima Nurul yang Arif sendiri tahu, hati itu juga milik lelaki lain. Tidak tergamak rasanya ingin mempermainkan sebuah perkahwinan dan orang tua mereka. Lebih baik dia berundur lebih awal daripada digelar dayus.

Setelah habis membaca karya ini, terbuai-buai saya dengan pelbagai rasa. Cuma satu yang saya tak suka, saat Arif membahasakan ’I’ dengan Seri. Saya kira lebih manis jika sejak mula Arif membahasakan diri abang kepada Seri. Kadangkala saya masih berharap, ada kesinambungan yang kedua yang akan menyatukan Seri dengan Arif. Terasa sayangnya, perasaan yang sudah bertunas, terkubur begitu sahaja tanpa sempat  bunganya berkembang. Tetapi, terpulang kepada penulis itu sendiri. Namun saya yakin, sekiranya Seri menerima Arif sekalipun,belum tentu perhubungan mereka mendapat restu dari keluarga Seri yang mementingkan status dan darah dari susur jalur keturunan mereka juga berbeza. Cubalah baca dan selami hati mereka-mereka yang terluka ini dalam mencari bahagia. Beritahu kepada Arif yang Seri telah pun memilih, walaupun banyak lagi pilihan dalam kehidupannya.



TAJUK-BLUES RETRO
PENULIS-IMAEN
HARGA-RM17 sem/ Rm19 SABAH /SARAWAK TERBITAN-JS ADIWARNA
KATEGORI-SI MANIS 17



REVIEW 6:

Karya IMAEN dalam BLUES RETRO kali ini amat berbeza dengan karya-karyanya yang pernah saya baca sebelum ini.  Sepanjang saya membaca karya penulis ini, saya tidak sabar-sabar untuk menghabiskannya. Memang terlalu banyak yang ingin dihuraikan dalam novel ini. Tentang perbezaan orang kaya dengan orang miskin. Kerana bagi sesetengah orang 'berada' isu darah, mengangkat harta dan darjat adalah sangat berharga dari segalanya. Bagi orang kebiasaan pula maruah dan harga diri adalah yang paling utama.  Memang terlalu banyak perbezaan antara orang kaya dan yang miskin . Antaranya adalah dari segi ekonomi, sosial, dan kehidupan mereka adalah sangat berbeza. Mereka yang sejak kecil lebih banyak memijak simen berbatukan marmar daripada memijak tanah yang berlumpur. Orang kaya yang selalu melihat tinggi kapal diawangan daripada lintah di sawah. Macam kisah dalam filem “ibu mertuaku” pula.

Inilah kisah percintaan Ghazi dan Nik Farhana, kisah cinta dua darjat seperti yang sering kita tonton di filem-atau di dalam drama. Kisah cinta yang terhalang oleh sebab kemiskinan dan faktor keturunan. Kisah insan biasa bernama Ghazi yang terpaksa menjual burger bagi menampung kehidupannya di Universiti bersama seorang rakannya.Ghazi yang terpaksa menyewa rumah setinggan dan pergi dengan menaiki basikal setiap hari ke universiti kerana mempertahankan maruahnya daripada menjadi “balaci” seseorang. Ghazi adalah seorang yang yang rajin dan berdikari. Biarpun dia bukan ‘best student’  yang namanya perlu disebut hari-hari kerana sering mendapat markah tertingi. Namun ,dipertengahan cerita Ghazi dipanggil atas sebab dituduh memukul anak orang kenamaan kerana seorang perempuan.

Ghazi juga bertindak menjadi pejuang keamanan. Namun usahanya ternyata sia-sia. Dia yang mengikuti demontrasi para pejuang yang membela rakyat untuk membuat bantahan aman telah menyebabkan dia dibuang Universiti. Percintaan mereka yang mendapat tentangan hebat dari mula lagi semakin kacau bilau. Ghazi turut dicaci maki oleh ibu kepada wanita yang dia sayangi, Nik Farhana. Ghazi bertindak menjauhkan diri dari Nik Farhana, yang menyebabkan Nik Farhana datang untuk mengajak Ghazi kahwin lari. Di sini kita mula tertanya-tanya, dan rasa ingin tahu. Berjayakah mereka dengan rancangan yang tidak diduga. Ada banyak pengajaran yang terdapat dalam novel ini. Pada pendapat saya,penulis juga mengajak kita berfikir akan keputusan hidup yang akan kita lakukan apabila situasi sebegini berlaku pula dalam kehidupan kita. Seperti watak Farhana di dalam novel ini, Antaranya;

-Nik Farhana sudah mula memakai tudung. Di sini kita sedia maklum bahawa rasa cinta mampu mengubah pendirian seseorang.

-Dari anak yang taat, Farahana mula memberontak.

-Cinta itu membuat manusia berfikir dengan mudah tanpa memikirkan akibatnya dikemudian hari.

--pendirian Ghazi tetap tidak berubah demi sebuah keadilan yang dicarinya. “maruah itu tidak boleh dijualbeli”.


Ada juga beberapa peribahasa melayu yang ditonjolkan dalam novel ini, contohnya: -Metafora Ghazi dengan Farhana- Ibarat langit dengan bumi. Ini kerana hubungan dia dengan Farhana yang berbeza darjat. -Jangan menilai buku melalui sampulnya-  Ini kerana Ghazi adalah seorang yang boleh dikatakan selekeh disebalik fesyen rambut danpakaiannya. Namun, hakikatnya, Ghazi adalah seorang yang ‘sistematik’ mukasurat :17 -Perumpamaan: Kalau sebatang lidi, mudah dipatahkan, jika seberkas, haruslah ada kerjasama. Mukasurat:131

Saya suka membaca kata-kata pada perenggan akhir sekali. “Atas roboh kota Melaka, kita bangunkan jiwa yang merdeka.” Pada pendapat saya, biarpun percintaan Ghazi denga Nik Farhana tidak kesampaian, itu bukan bermakna berakhirnya kehidupan seseorang. Malah mereka boleh menjadikan itu pengajaran di masa hadapan. Dan juga kenangan yang terindah dalam hidup mereka. Menjadi satu sejarah, satu lagenda. Biarpun tiupan harmonika yang dimainkan Ghazi tidak semerdu dulu. Penulis juga berdakwah secara halus. Ini adalah sebuah karya yang jujur bagi saya. Penulis bijak mengolah cerita sehingga ia terkesan di hati saya. Selain terdapat banyak mesej dan ilmu yang ingin disampaikan melalui bentuk tulisan.