Review novel- Wanginya Bunga Rampai~

                                                       
“Maksud I, You adalah fajar dan senja setiap pagi dan petang I ternanti-nanti. Tapi I tahu, tempat you hanya di kaki langit yang sungguh tinggi untuk I capai. Mustahil untuk kita bersama….” Dan Seri suka mendengar perkataan yang diucapkan itu.

Berderau darah Seri mendengar bacan Al-Quran dari mulut Arif. Bergetar setiap rongga liang roh yang selama ini diam. Ruang hatinya berkocak kuat membentuk lautan kasih untuk Arif. Lelaki seperti inilah yang dia cari. Namun sayangnya, Abang Arif bukan ‘Syed’.

siapa kata hati Sharifah Seri Indah tidak punya rasa kepada Arif. Bukan tidak ada, cuma tidak boleh.

******************

Ternyata bakat HASWIDA ABU BAKAR, bukan sahaja didalam bidang perfileman tetapi penulis mengembangkan bakatnya yang diketengahkan dalam bentuk bercetak. Dalam novel ini, kita dapat melihat watak dan plot berkembang menjadi satu cerita. Dan saya pula seakan sedang menonton sebuah teater.


Lumrah manusia yang hatinya ingin menyayangi dan disayangi, namun sentiasa keliru dengan perasaan sendiri. Bagi si anak, kehendak ibubapa lebih utama berbanding hati mereka sendiri. Adakalanya kita terpaksa membiarkan sahaja perasaan yang hadir tanpa diundang itu hilang dengan sendirinya. Ini kisah hati. Bukan dua tapi lapan hati terpaksa terluka dan dilukakan. Hati siapa pula yang bahagia, hanya terjawab dalam novel ini.


Dalam masa 15 hari, penulis menyelesaikan kisah Arif dan Seri. Kisah ini bermula apabila Arif yang datang ke kampung Molek kerana ingin mebantu menguruskan perkahwinan sahabat lamanya, Helmi. Dan Seri pula adalah sahabat kepada adik Helmi bernama Nasuha turut juga ada untuk membantu, disamping menemani Nasuha. Tanpa sedar, masing-masing terpaksa membunuh perasaan yang baru bertunas, Cuba menidakkan perasan yang mula membenih, dan membuang segala rasa yang mendatang tanpa diundang itu. Seri yang datangnya dari golongan ‘Sharifah, Syed’ telah ditunangkan dengan jalur darah yang sama. Mana mungkin dia menerima Arif yang biasa-biasa sahaja, sedangkan dia sendiri terpaksa melupakan kekasihnya dan rela bertunang dengan Syed Haikal. Arif pula ada kisah disebaliknya. Dia yang juga terpaksa bertunang dengan Nurul yang hakikatnya mencintai orang lain. Mereka ditunangkan kerana meneruskan perjanjian yang dibuat oleh moyang mereka sejak dulu lagi.

Pertunangan ini membuat Arif sebagai anak akur dan rela menjerut rasa. Haikal, tunang kepada Seri juga rupanya menyintai wanita lain. Liyana. Namun sedikit demi sedikit mampu menerima Seri dalam hidupnya. Dan Seri yang hatinya kosong untuk Haikal mula terisi dengan kehadiran Arif. Mula belajar merasai resah, marah, rajuk, rindu dan cemburu. Namun, dia tetap akur dengan keputusan yang telah dibuat. Tidak sesekali Seri mengingkari perintah keluarganya, biarpun jauh didasar hatinya, ada nama Arif yang mula terukir.


Dan seri cuba menolak segala rasa yang ada itu. Jelas kata-kata Seri, “Seri akan buang segala rasa ini jauh didasar sungai, dan Seri nak Abang Arif pun buat perkara yang sama. Buang jauh kedasar sungai. Biar saja arus sungai ini membawa ia jauh ke kaki bukit sana atau kehilir sana… atau membawa ia jauh ke laut pun Seri tak kisah.” Jika tidak masakan seri tergamak melumur mulut Arif dengan cabai Melaka yang sememangnya pedas. Bersama peringatan, jangan sesekali membicarakan hatinya dengan Seri lagi.


Saya suka melihat kesungguhan Arif dalam cerita ini. Mungkin baginya, alah berundur sebelum mencuba. Degilnya hati Arif yang langsung tidak mahu mendengar kata tetap sahaja mahu menawan hati Si gadis.. Namun tatkala melihat wajah Seri yang gembira sejak kehadiran tunangnya di majlis perkahwinan Helmi, membuat Arif akur yang Seri bukan untuknya. Namun dia juga tidak sesekali menerima Nurul yang Arif sendiri tahu, hati itu juga milik lelaki lain. Tidak tergamak rasanya ingin mempermainkan sebuah perkahwinan dan orang tua mereka. Lebih baik dia berundur lebih awal daripada digelar dayus.

Alamak, saya kena perang psikologi membaca novel ni..
kisah cinta yang bersegi-segi.
Ada waktunya saya seperti menyokong tindakan Arif,
ada kalanya saya memuji sikap Seri.
ada masanya, saya marah dengan sikap sambil lewa Syed haikal,
Dan.. ada ketikanya,
saya amat kecewa dengan Nurul..


Setelah habis membaca karya ini, terbuai-buai saya dengan pelbagai rasa. Cuma satu yang saya tak suka, saat Arif membahasakan ’I’ dengan Seri. Saya kira lebih manis jika sejak mula Arif membahasakan diri abang kepada Seri. Kadangkala saya masih berharap, ada kesinambungan yang kedua yang akan menyatukan Seri dengan Arif. Terasa sayangnya, perasaan yang sudah bertunas, terkubur begitu sahaja tanpa sempat bunganya berkembang. Tetapi, terpulang kepada penulis itu sendiri. Namun saya yakin, sekiranya Seri menerima Arif sekalipun,belum tentu perhubungan mereka mendapat restu dari keluarga Seri yang mementingkan status dan darah dari susur jalur keturunan mereka juga berbeza. Cubalah baca dan selami hati mereka-mereka yang terluka ini dalam mencari bahagia.

Beritahu kepada Arif yang Seri telah pun memilih, walaupun banyak lagi pilihan dalam kehidupannya.


ya.. jatuh cinta itu memang sesuatu perasaan yang amat indah.. Tetapi Allah lebih mengetahui setiap perancangannya. ^_^

1 comment:

haswida abu bakar said...

terima kasih di atas ulasan yang sungguh indah ini. InsyaAllah akan ada sambungnya cerita ini.

terima kasih sekali lagi.

haswida abu bakar