SEMERAH WARNA HATI

Cerpen ini dihantar untuk diadili oleh pihak juri KEN untuk peraduan menulis cerpen sempena penerbitan novel Merah Cinta Epal terbitan kaki novel karya Ridha Reewani dengan slogannya adalah:  “Rasa Cinta Kita Seperti Manisnya Epal Merah”
LINK KOMUNITI ENOVEL: KLIKS DI SINI: https://www.facebook.com/groups/156266277748013/
TAJUK: SEMERAH WARNA HATI


          “Eh, kau beli buah lagi ke!” Jerit Khairul dari arah dapur tatkala terpandang beberapa biji buah epal di dalam plastik di atas meja. Tiga hari lepas, limau dalam 8 biji. Kelmarin buah rambutan dah sebakul. Hari ni tambah epal pulak dalam 10 biji. Belum kira lagi dari seminggu yang lepas, boleh buka gerai jual buah depan rumah nanti. Semalam sahaja dah berbiji-biji buah terbuang ke bakul sampah.
          "Kau nak buat apa epal banyak ni Mal? Nak buat kenduri ke?” soal Khairul sekali lagi apabila soalan pertamanya dipandang sepi oleh Ikhmal. Takkan hari ni dia nak buat menu epal pula. Aduhai… Dia tahulah buah-buahan tu berkhasiat.  Tapi kalau hari-hari nak menghadap buah jer.  Lama-lama dia pula yang sakit tekak, sakit perut.  “Nak buat makanlah…,” balas Ikhmal bersahaja.  Ikhmal yang sedari tadi menonton rancangan kartun Spongebob, dipandang sekilas. Ikhmal ketawa lucu melihat wajah Squidward berubah menjadi kacak sewaktu terlanggar pintu yang Spongebob buka dari dapur.
      “Oh, ada pun suara. Aku ingat kau dah tersampuk tadi. Buat makan konon, kalau makan tak adalah buah ni melancong ke tong sampah.” Perli Khairul geram. “Seminggu ni, aku tengok perangai kau lain macam jer… Kenapa? Sekejap tersenyum, sekejap lagi termenung." Soal Kahirul.
         Fikiran Ikhmal melayang ke gadis di kedai buah yang dilihat sejak seminggu yang lepas. Suhana. Seindah namanya. Ikhmal tersenyum sendiri.
        “Betul tak apa aku cakap? Kalau tak tersampuk, betullah kau ni dah kena sawan,” sakat Khairul lagi bila dilihat Ikhmal seperti orang angau. Khairul capai sebiji epal di dalam plastik, dibasuhnya kemudian digigit separuh. “ Siapalah perempuan yang malang buat kau jatuh hati kat dia ni,” soal Khairul sambil mulutnya mengunyah epal merah.
      “Suka hati kau cakap malang yer. Kau tu lagi tak senonoh, habiskanlah dalam mulut dulu baru bertanya. Dah lain macam suara tu, sengau dah aku dengar,” bidas Ikhmal. “Sengau takpe, jangan angau.” Khairul tidak  mahu mengalah, kemudian dia ketawa kuat sampai tersembur air epal yang dikunyahnya. Manis. Agaknya beginilah rasa bila orang sudah jatuh cinta. Manis dirasakan semuanya. Ikhmal menggeleng kepalanya melihat telatah Khairul.  Ceh, takde kesopanan langsung mamat ni.
     “Alah, cakaplah Mal siapa orangnya?” rengek Khairul. “Mana ada siapa-siapalah…” Ikhmal bangun menuju ke tangga.
      “Eh, kau ni nak ke mana? Aku belum habis cakap lagi…”
      “Aku nak naik mandi. Solat Asar pun belum lagi ni,” kata Ikhmal “Ni buah-buah ni, siapa nak makan?” jerit Khairul bila dilihat Ikhmal menaiki tangga.
       “Kaulah makan. Tak pun bagi jer pada jiran-jiran,” balas Ikhmal, menjerit juga.
***
          Ramai betul pelanggan di kedai mak ngah hari ini. Dari tadi Suhana tidak sempat berehat. Dia kemudiannya duduk di bangku melepaskan lelah apabila melihat pelanggan semakin berkurangan.
        “Aik, Cikgu Suhana, letih dah ke?” Mak ngah Faridah sekadar mengusik anak saudaranya.
        “Orang jadi cikgu ni, dah biasa pegang pen, menghadap komputer, mana nak biasa buat kerja-kerja macam ni…” Tambah mak ngah Faridah lagi. Dia ketawa melihat gelagat Suhana, sudah diberitahu bekerja di kedainya memang penat sedikit. Tambahan pula waktu cuti sekolah. “Mak ngah ni, saja jer  tau usik Su. Mana-mana kerja pun samalah mak ngah. Lagipun Su bukannya nak kerja terus. Orang  ikhlaslah tolong mak ngah, ” balas Suhana. Lengan mak ngah Faridah dipeluknya mesra.
       “Yelah Su, mak ngah bergurau jer. Mak ngah tengok muka Su masam sangat. Kalau mak ngah nak beli buah pun tak jadi. Dahlah, pergi rehat. Ni pun Zohor dah nak masuk kejap lagi.” Mak ngah tersenyum.
       “Mak ngah nak beli buah buat apa? Ni kan kedai mak ngah...” Suhana bercanda. Dia tersengih kerana sempat mengenakan mak ngahnya, sebelum mak ngah Faridah membalas Suhana sudah pun menuju ke bilik rehat. Sememangnya dia benar-benar keletihan dan lapar. Dicapainya bekal berisi ikan keli goreng dan pucuk paku masak lemak. Menu ringkas yang sempat mereka sediakan pagi tadi. Dia membasuh tangan, kemudian membaca doa makan, penutup bekal dibuka. Baru sesuap yang diisi ke mulut, matanya tertala kepada sesusuk tubuh yang baru sahaja masuk ke kedai dan sedang bersembang dengan mak ngahnya. Dia meletakkan bekalnya di atas meja, dan cuba melihat perwatakan lelaki tersebut secara diam-diam. Sememangnya dia hairan apabila lelaki ini sering membeli buah-buahan di kedai mak ngahnya. Bukan sedikit. Tidak pula dia bertanya kepada siapa dan untuk apa buah-buahan itu dibeli. Dia bimbang dikatakan gadis penyibuk pula, atau bimbang dituduh gatal. Aduhai... apalah dia melalut ni. Tak baik berprasangka buruk pada orang. Bukankah, senyum itu sedekah dan ramah itu juga perlu ada untuk semua penjual?  Ah, daripada dia pening kepala memikirkan lelaki tersebut, lebih baik dia menyambung makan semula. Suhana menoleh ke arah bekalnya. Dilihat seekor kucing sedang memakan makanan dari bekalnya. “Alahai, Belang... dah rezeki kaulah nampaknya hari ni,” ujar Suhana lantas membiarkannya.
       “Untung ye kerja jadi bos ni, Encik Ikhmal. Waktu rehat pun panjang.” Mak ngah Faridah sekadar berbahasa. Sudah acapkali dia melihat anak muda ini  membeli di kedainya. “Kerja dengan rakan kongsi mak cik.  Kalau kerja sendiri, tak dapat jugalah nak berjalan jauh macam ni. Lagipun saya suka membeli di kedai mak cik, buah-buahannya pun segar,” balas Ikhmal ramah.
      “Muda-muda lagi dah ada syarikat sendiri. Kagum betul mak cik.” Ikhmal sekadar ketawa.
       “Syarikat kecil mak cik, modal pun tak besar mana. Baru nak mula bertapak,” jelas Ikhmal merendah diri. “Tak payah berencik-encik dengan saya mak cik, panggil Ikhmal sudah.” 
Sambungnya lagi sambil menguntum senyum. 
      “Iyelah, kalau dah macam tu kata kamu. Ni lama sembang, sampai lupa mak cik nak bagi buah yang Ikhmal pesan,” ujar mak ngah Faridah sambil menghulurkan seplastik buah anggur. Ikhmal mengeluarkan not rm10.
          “Terima kasih makcik. Err… mak cik, mana ya gadis yang kerja dengan mak cik? Saya tak nampak pula dia hari ni?” Soal Ikhmal malu-malu. Sudah setengah jam dia menyembang di situ, rasa rugi pula balik kalau tak dapat menatap wajah pujaannya.
        'Cis! Berani betul kau bertanya ya,' kata suara hati Ikhmal.
        “Siapa, Lina ke? " Tanya mak ngah Faridah pura-pura tidak tahu. “Kalau Lina...
        “Bukan… bukan…” Pantas Ikhmal memintas sebelum sempat mak ngah Faridah menyudahkan ayat.
         “Raihan?”
         “Bukan.”
         “Habis tu, Wan ke?” Eh, mak cik ni.. Wan tu gadis ke? Dialah satu-satunya teruna kat kedai ni yang Ikhmal nampak.
       “Bukan… Err, Suhana mak cik.” Mahu tak mahu, terpaksalah juga Ikhmal menyebut nama gadis itu. Mak Ngah Faridah tersenyum. Huh sebut pun…
“Oh.. Suhana. Dia ada di bilik rehat. Mana kamu tahu nama dia Suhana?” soal mak ngah Faridah sambil pura-pura sibuk menyusun buah.
         “Pernah dengar mak cik panggil hari tu.” Aduh… malunya. Ikmal memicit-micit dahi.
         “Oh, macam tu. Si Suhana tu anak saudara Mak cik. Sebenarnya guru bahasa Inggeris di Kuala Lumpur. Saja datang sini tolong mak cik berniaga sementara cuti sekolah. Esok lusa dah mula mengajar, dia balik Kuala Lumpur semula,” jelas mak ngah Faridah tanpa dipinta.
Ikhmal tersenyum. Tidak menyangka mak cik ini peramah memberi serba sedikit maklumat tentang gadis idamannya.
       “Oh... kalau macam tu, saya minta diri ye mak cik. Dah lama sangat keluar ni.” Ikhmal berlalu dengan hati yang cukup riang. Mak ngah Faridah tersenyum sambil menggeleng kepala.
***
         “Aduhai, Mal. kau beli buah lagi? Kau ni dah parah betul nampaknya.” Ikhmal tidak membalas kata-kata Khairul. Dia sedang berfikir bagaimana caranya mahu mendekati Suhana.
        “Kau ni aku tengok dah macam bayi tak dapat puting susu jer,” sakat Khairul. 'Banyak betul peribahasa yang Khairul ni guna. Suka betul memperkayakan khazanah bahasa yang sedia ada ni.' Desis hati Ikhmal.
         “Kau rasa apa yang patut aku buat ya? Aku tak tahu nak pikat dia,” soal Ikhmal tiba-tiba.
         “Hah, baru hari ni kau nak guna khidmat tok guru kau ni? Hari tu kau bukan main sombong. Baru usik sikit jer dah lari…,” seloroh Khairul.
Ikmal mencebik. “Tok guru konon. Piiiiiirah!” Balas Ikhmal sambil ketawa.
       “Kau jangan menderhaka pada tok guru kau ni Mal. Nanti aku baru nak turunkan ilmu dah kena tulah. Tok guru kau ni ada daulat,” tokok Khairul tak mahu mengalah.
         “Kalau dari hari tu kau beritahu aku kan senang.  Boleh aku bawa kau jumpa bomoh. Kita bagi dia minyak pengasih.” Khairul ketawa lagi.
         “Tak mahulah aku guna benda-benda yang boleh mendatangkan khurafat tu. Lagipun... aku nak dia betul-betul terima aku...,” bidas Ikhmal cepat. “Kau ni... aku gurau pun tak boleh…”
       “Huh, kau bergurau tahap tak boleh jual,” balas Ikhmal pula. “Dahlah melalut jer. Cepatlah bagi petua kau tu,” gesa Ikhmal lagi.
         “Tapi kan Mal… Kalau aku fikir-fikirkan balik, nasib baiklah awek tu kerja kat kedai buah…”
        “Maksud kau apa?” Tanya Ikhmal lurus.
        “Yelah, kalau dibuatnya dia kerja kedai perabot ke, kedai barangan baby ke, atau kedai  barangan terpakai, haru jugak kau nak keluar duit beli benda tu semua hari-hari,” ujar Khairul sambil ketawa. Ikhmal yang mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Khairul turut sama ketawa.
          “Sebelum tu, aku nak tanya dulu. Kau betul-betul dah sedia nak kahwin ke?” Khairul duduk dihadapan Ikhmal..
          “Apa punya soalan da kau bagi. Aku nak berkawan dulu. Kalau boleh memang nak kahwin dengan Suhana tu,” jelas Ikhmal, tersengih malu.
          “Mal, kahwin tu selain daripada mengikut rukun nikah, ada banyak lagi perkara yang penting. Contohnya, tanggungjawab, amanah, dan  sebagai suami kita harus menjadi pembimbing kepada isteri kita. Kahwin tu bukan kerana aku suka dia, dia suka aku sahaja,” kata Khairul seperti pakar motivasi lagaknya. Ikmal sekadar mengangguk. Tidak mahu menyampuk.
          “Aku tahu dari segi kewangan, kau betul-betul dah mampu. Dalam kehidupan berumah tangga ni perlu ada tolak ansur, kesefahaman, saling mempercayai dan bertoleransi,” ujar Khairul.
        “Aduhai kau ni Rul. Aku bukan nak kahwin esok. Aku nak kau tolong cari idea macam mana aku nak pikat si Suhana tu jer lah. Janganlah melalut jauh sangat. Bercakap macam dah ada pengalaman pulak!” bidas Ikhmal. Dia ngeri sebenarnya apabila mendengar kata-kata Khairul itu. Khairul tersengih. Mamat ni… aku baru nak intro.
          “Kau ada idea ke tak sebenarnya ni?” Rungut Ikhmal. Namun dia masih mampu mengawal emosinya.
          “Idea tak ada tapi cadangan ada. Tapi…” Khairul conget kening. Apa lagilah mamat ni... “Kau mesti berani mencuba. Jangan takut atau ragu-ragu…”
       “Rul, kau nak jual ubat ke apa ni?” Ikhmal menggaru kepalanya. Serabut.
       “Aku acah jer lah. Meh sini aku beritahu kau. Apa nama buah hati kau tu?”
        “Suhana. Apalah belum tua lagi dah lupa. Kau nak jampi serapah ke?" Ikhmal sekadar bergurau.
       “Aku bukan lupalah. Tak nak ingat. Nanti apa kata kau, aku ingat nama buah hati kawan.” Khairul menjelaskan apa yang difikirkannya, serta-merta Ikhmal terdiam.

***
           Ikhmal menghentikan keretanya di belakang kereta Suhana. Sudah beberapa kali dilihat gadis tersebut keluar menaiki kereta ini. Inilah yang selalu dikata orang, tak nampak tuannya, nampak bumbung rumah pun jadilah, tapi dia tengok bumbung kereta. Hatinya tetap tidak mahu menerima idea Khairul. Suhana pasti akan menyangka yang bukan-bukan. Bagi Ikhmal, dia yakin semua itu perlukan masa.
     “Masa apalagi Ikhmal. Aku rasa lebih baik kau berterus-terang. Malam ni kau buatlah solat istikharah. Jodoh itu rahsia Allah. Andai ada jodoh kau dengan dia, pasti akan bersama.”  Kata-kata Khairul semalam masih terngiang-ngiang di deria dengarnya. Entah kata-kata siapa yang dipinjamnya, Ikhmal pun tak tahu. Malam itu juga berkali sudah dia bersujud memohon petunjuk dari Allah. Jantungnya kembali berdetak laju. Ah, apa salahnya kalau aku mencuba?
Ikhmal berjalan menuju ke arah Suhana yang sedang ralit memilih buah-buahan yang busuk dan sudah lebam untuk diasingkan dan dibuang. Manisnya dia dengan blouse dan tudung berwarna ungu cair. Detik hati Ikhmal. Suhana langsung tidak menyedari kehadiran Ikhmal.
        “Assalamualaikum. Selamat pagi…,” sapa Ikhmal dengan suara yang agak bergetar. Suhana mengangkat wajahnya.
     “Waalaikumsalam.... eh, encik. Awal encik sampai. Nak beli buah apa pula hari ni?” soal Suhana. Mata mereka bertemu. Suhana segera menundukkan wajahnya. Tidak mahu matanya berpandangan terus dengan mata Ikhmal. Hatinya terasa berdebar. Jantungnya terasa berlari laju daripada biasa.
      “Bagi saya epal hijau 3, buah pear tu 4, limau dalam 4 juga. Campur-campurlah. Saya nak melawat kawan yang sakit tengah hari nanti. Sengaja beli awal. Takut tak sempat nak singgah mana-mana,” jelas Ikhmal panjang. Suhana sekadar mengangguk. Dia memilih buah-buahan yang elok dan meletakkannya di dalam plastik. Ikhmal pula mengambil kesempatan mencuri pandang ke arah buah hatinya.Wah, belum apa-apa lagi dah pandai sebut buah hati.
        “Hari-hari ye encik membeli. Kagum saya dengan perhatian encik. Ada sahaja buah tangan untuk kawan dengan saudara-mara. Beruntung siapa yang berkawan dengan encik. Tidak kedekut. Lagipula kedekut dan membazir itu amalan syaitan. Mudah-mudahan murah rezeki encik kerana sentiasa bersedekah,” kata Suhana tulus. Ikhmal pula terasa terpukul mendengar bicara gadis dihadapannya.
Ikhmal mengeluarkan not rm50.
      “Tapi encik, pagi-pagi ni kami belum ada duit tukar.” Suhana serba salah.
      “Takpe, saya ambil baki tengah hari esok ye. Saya pergi dulu. Dah lewat sangat ni, saya ada mesyuarat,” jawab Ikhmal. Dalam hati dia bersyukur sangat kerana esok, dia masih punya sebab untuk berjumpa Suhana. Walaupun dia belum sempat meluahkan isihatinya.
***
         Ikhmal masuk ke Kedai Buah Segar Dan Ranum dengan perasaan berbunga-bunga. Dilihatnya mak ngah Faridah sedang tekun membuat kira-kira. Matanya mencari kelibat Suhana. “Eh Ikhmal, bila sampai? Mak cik tak perasan pun. Kamu datang sebab nak ambil baki duit semalam ke? Ada ni hah, mak cik dah asingkan awal-awal. Ada Suhana beritahu mak cik,” tegur mak ngah Faridah sambil menghulurkan wang baki kepada Ikhmal.
        “Tak. Eh, iya. Terima kasih banyak mak cik, “ balas Ikhmal.
        “Hari ni nak beli buah apa pula?”
        “Macam tau jer mak cik. Saya nak buah duku hari ni. Bagi 2 kilo ye mak cik,” jawab Ikhmal.
       “Ah, yelah. Ni mak cik tengok kamu selalu membeli buah. Beli untuk siapa sebenarnya ni?”
        “Beli untuk diri sendiri. Ada yang beli untuk kawan-kawan. Lagipun mak cik, buah-buahan ni kan banyak khasiatnya. Contoh macam anggur, dapat mengurangkan risiko kanser, amnesia, gastrik. Buah oren pula adalah antara ‘ubat’ paling manis yang boleh menjauhkan selesema, serta mengecilkan risiko barah kolon. Buah epal merah, baik untuk jantung,” jelas Ikhmal. Huh, semenjak dia rajin membeli buah ni, segala khasiat buah dia dah hafal. Kalau tak bertanya dengan pakar pemakanan, dia search kat google jer lah.
Mak Ngah Faridah cuma tersenyum mendengar jawapan exam Ikhmal.
           “Iyelah Doktor Ikhmal, kalau itu dah jawapan kamu.” Ikhmal  hanya mampu tersengih.
           “K
amu ni macam ada masalah Mak cik tengok? Mak cik tak naklah kata yang mak cik dah pernah makan garam dulu dari kamu. Tapi mak cik nak beritahu yang mak cik ni pun pernah muda dulu.” Ikhmal menggaru kepalanya yang tidak gatal.
         “Saya tak nampak Suhana pun dari tadi mak cik. Dia tak kerja ke hari ni?” soal Ikhmal. Kalau dia pusing ayat ke kiri kanan pun, mak cik ni dah tentu tahu yang dia mencari Suhana.
       “Oh, Suhana baru jer pergi. Tu laju betul dia berjalan. Nak cepat sangat kot.”
        "Kenapa makcik tak beritahu saya yang Suhana dah nak pergi? Takpelah Mak cik, saya pergi dulu. Takut tak sempat pula nanti nak kejar dia.” Ikhmal tergesa-gesa berlalu.
      “Tapi mak cik cuma… Ikhmal! Ish, budak bertuah ni, belum sempat aku habis cakap.. " omel mak ngah Faridah merenung buah yang Ikhmal pesan tadi sambil menggeleng kepalanya. Biarlah Ikhmal menyelesaikan masalah hatinya sendiri bersama Suhana.
***

            Ikhmal mengusap rambutnya berkali-kali. Dia takut sekiranya gagal menjejaki Suhana. Kenapalah dia tidak minta nombor telefon Suhana tadi. Takdelah dia menggagau mencari. Kenapalah dia tak ikut jer cadangan Khairul. Takdelah dia sesak nafas, sesak dada hari ni. Ikhmal mengetuk-ngetuk stereng keretanya. Tali lehernya dilonggarkan. Matanya meliar ke depan, kiri dan kanan, masih berharap dia akan menemui kereta Suhana. Isyarat bertukar merah. Ikhmal memperlahankan keretanya. Sedang dia melayan perasannya, dia terpandangkan kereta yang dipandu oleh Suhana. Tidak syak lagi. Ikhmal segera keluar dari keretanya kemudian menuju ke kereta Suhana. Bunyi hon kenderaan langsung tidak dipedulikannya. Ikhmal kemudian mengetuk cermin tingkap kereta. Suhana keluar dengan keadaan terpinga-pinga.
       “Ada apa ye encik? Kalau soal baki semalam, saya dah pesan pada mak n
gah,” jelas Suhana kehairanan. Dia tergamam melihat keadaan Ikhmal yang merenungnya seperti sedang menahan marah. Ikhmal menarik nafas dalam-dalam. Nampaknya dalam keadaan situasi yang tidak dijangka seperti ini, dia terpaksa menerima idea Khairul. Ya, dia perlu berterus terang kepada Suhana.
        “Kenapa awak buat saya macam ni? Kenapa awak pergi macam tu je? Takkan awak tak sedar langsung perasaan saya pada awak? Takkan awak tak boleh nampak beberapa minggu ni saya sering ke kedai awak membeli buah semata-mata untuk melihat awak dan mengenali awak dengan lebih dekat. Itu sahaja cara yang saya ada. Kawan saya pula bagi idea suruh saya berterus terang pada awak. Saya bukan tak mahu berterus terang. Tapi saya bimbang awak dah berpunya. Saya ingat saya nak beritahu awak sebelum awak pergi. Tapi awak pula yang pergi tanpa beritahu saya. Saya ni memang tak pandai nak luahkan perasaan kan? Tapi saya nak awak tahu yang saya benar-benar ikhlas nak berkawan dengan awak. Awak mungkin akan anggap saya sama seperti lelaki lain di luar sana. Tapi inilah kali pertama saya beritahu kepada seseorang yang saya sukakan dia. Walaupun saya tahu dia belum tentu menerima saya. Saya benar-benar ingin jadikan awak yang teristimewa dalam hati saya. Saya sukakan awak. I… I… I love you!” ujar Ikhmal senafas. Kemudian dia menarik nafas dan memandang ke arah Suhana yang sedang tergamam. Aduh Ikhmal, apa yang kau buat ni… kalau mak tahu aku lamar anak dara orang kat tengah jalan macam ni, habis aku kena leter.
      “Tak faham,” kata Suhana tiba-tiba.
Ikhmal terkedu. ‘Aduh punyalah panjang berjela aku cakap. Dia boleh kata tak faham. Takkan aku nak kena repeat semula kot.
        “Err… awak tak faham yang mana satu? banyak saya cakap tadi.” Ikmal mengusap batang lehernya. Terasa lenguh.
         “Ayat yang akhir sekali,” kata Suhana. Yang akhir tadi? I love u tu ke? Eleh dia ni, takkan tak faham. Budak sekolah rendah pun dah faham apa maksud I love you tu. Makcik dia kata, dia guru bahasa Inggeris. I love u tu ke?” Soal Ikhmal kemudian.
           “Saya tak faham kenapa encik boleh bercakap panjang lebar dengan menggunakan bahasa Melayu, tetapi di hujung ayat, encik boleh guna pula perkataan bahasa Inggeris. Kenapa ye? Encik takut atau sebenarnya kurang yakin? Atau encik belum bersungguh-sungguh dengan apa yang telah encik katakan tadi?” Soal Suhana bertubi-tubi. Dalam gugup Suhana masih lagi tersenyum. Ikhmal terdiam. Dia tiada jawapan sebenarnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia menggunakan perkataan itu. Senang nak menyebut kot…, katanya dalam hati.
        “Kalau encik tak ada jawapan nak bagi, saya pergi dulu. Encik sedang mengganggu lalu lintas.” Tegas Suhana.
        “Nanti…” Ikhmal pegang pintu kereta sebelum sempat ditutup oleh Suhana. Kalau pegang tangan tak boleh. Haram woo… Tapi kalau terpegang camana ye? Ikhmal teringat salah satu hadis yang pernah dibaca daripada ma’qil bin Yasar radiallahuanhu. Rasullullah S.A.W bersabda: “ Seseorang antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya” Hadis riwayat at-tibrani dan baihaqi.
      “Ada apa-apa yang encik nak cakap lagi?”
Ikhmal tersentak. Dia menatap mata jernih Suhana. Ya, dia perlu berani. “ Hati saya mula resah sejak pertama kali saya terpandang awak, saya sangat berharap, awak sudi menjadi sebahagian dalam hidup saya.” Ucap Ikhmal yakin. Dia memang tidak pandai bermadah pujangga. Semuanya di luar bidangnya. Namun dia sangat berharap tanpa kata-kata manis pun gadis ini sudi memberi sedikit ruang untuk dia mencintai. Seusai Ikhmal meluahkan perasaan, Suhana tertunduk malu.
      “Saya tak punya jawapan sekarang. Kalau encik bersungguh, jumpalah keluarga saya,” ujar Suhana perlahan sambil menundukkan wajahnya. Jawapan Suhana membuat wajah Ikhmal bagaikan disuluh spotlight. Bunyi hon kereta bertalu-talu langsung tidak dihiraukan.
      “Jangan panggil saya encik. Macam saya majikan awak pula, panggil saya Ikhmal." Suhana sekadar menganggukkan kepalanya, namun bibirnya menguntum senyum. Lekuk di pipi kirinya menambahkan kemanisan gadis di hadapannya. Indahnya ciptaan Tuhan yang satu ni. Desis hati Ikhmal.
        “Mak ngah ke yang beritahu pada awak yang saya nak pergi? Dia ada beritahu yang saya nak ke pejabat pos bayar bil api?” soal Suhana lagi.
       “Eh, awak bukan dah nak balik ke Kuala Lumpur ke?” soal Ikhmal kembali hairan. Suhana menggeleng.
       “Cuti saya masih tinggal seminggu lagi. Mak ngah yang minta saya tolong bayarkan bil di pejabat pos. Sekarang dah lewat sangat. Nampaknya, esok sajalah saya pergi. Awak kejar saya sebab ingat saya dah nak balik ke Kuala Lumpur ke?” Suhana menanti jawapan Ikhmal.
Ikhmal menepuk dahi sambil ketawa kuat. Rupanya dia telah salah faham. Tapi tak mengapa, hari ini semua yang menyesakkan fikirannya sejak tiga minggu yang lalu sudah berakhir. Ikhmal memandang wajah Suhana yang sedang tersenyum manis ke arahnya. Lampu isyarat sedang bertukar merah untuk kali yang keberapa Ikhmal sudah tak pasti. Saat ini, merah lampu isyarat semerah warna hati mereka yang cuba membaca isi hati masing-masing.


7 comments:

Shah Bakri said...

Cayalah kak! InsyaAllah menang ni kak. Shah doakan..

DARI MATA IRIS said...

terima kasih shah coz sudi membaca cerpen akak yang biasa-biasa ni. :D

AiSyA LiEzA said...

best akak.. :D smga bjya

DARI MATA IRIS said...

terima kasih aisya sudi jengah cerpen yang tak seberapa ni. gud luck too aisya juga. :D

Ridha Reewani / Rizai Reeani said...

Tahniah untuk sebuah cerpen yang menarik.

Terima kasih sudi mengambil bahagian dalam peraduan ini. (^_^)

DARI MATA IRIS said...

sama2 sdr Ridha. terima kasih juga sudi memberi komen ^_^ harap ada lagi peraduan selepas ini. n_n

DARI MATA IRIS said...
This comment has been removed by the author.