CERPEN: Nilai Yang Jatuh

Nilai Yang Jatuh
Oleh Sharifah Norbaizura binti Syied Mohd Safie





PAK ANJANG mengasah parangnya dengan pantas dan cepat. Dada Pak Anjang yang turun naik berombak resah. Bersama lajunya nafas yang keluar dari ronga hidungnya. Bunyi asahan parang Pak Anjang lebih kuat dari suara cengkerik menyanyi pada waktu malam. Dingin hembusan angin malam menyapa pipinya. Namun, tetap tidak dapat menyejukkan hatinya yang sedang  panas membara. Riak di wajah Pak Anjang jelas tidak dapat membohongi sesiapa. Kelihatan air mukanya yang marah dan sesekali resah. Berita yang di bawa oleh Razak pada petang tadi menyebabkan dia tidak betah duduk. Berdiri juga rasa tidak kena. Mujur hari sudah hampir senja, jika tidak mahu sahaja ditanyakan segera kepada orang- orang kampung. Pak Anjang tidak mahu terburu-buru, walaupun jauh di sudut hatinya merasa sedikit terkilan dan kecewa. Pak Anjang merasakan bakti yang dilakukan adalah sia-sia. Kerutan di dahi Pak Anjang menampakkan lagi kedutan diwajah pak Anjang yang jelas dimamah usia. Fikirannya masih lagimenerawang kepada kata-kata Razak yang amat menikam ulu hatinya.

“Betul Pak Anjang, takkan saya nak berbohong pula. Orang kampung sudah berpakat mahu mencari pengganti Pak Anjang. Mereka kata, Pak Anjang sudah tua dan sudah terlalu lama menjadi pemimpin. Tempat Pak Anjang harus digantikan dengan orang yang lebih muda dan bertenaga.” Jelas Razak bersungguh.

Ditenungnya dalam-dalam anak mata Razak seolah mencari kepastian dan kebenaran. Kata-kata Razak perlahan-lahan masuk ke gegendang telinganya sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang mendalam. Hati kecilnya sedikit tercalar.

“Dasar sumbu lupakan pelita. Sudah banyak keringat tercurah. Telah banyak jasa ku tabur, inikah balasan mereka terhadap bakti aku selama ini? Inikah jawapan terima kasih terhadap usaha yang aku lakukan sekian lama?” Pak Anjang bermonolog sendiri.

Parang yang sudah siap diasah, ditenung tanpa berkelip. “Tajamnya parang yang ku asah ini tidak setajam lidah manusia, lukanya juga berbeza.” gumamnya perlahan.

Pak Anjang mengeluh seketika. Kedudukannya kini ibarat ranting yang rapuh, bila-bila saja akan patah jika ditiup angin kencang. Dia sedar; dia tidak akan bertahan lama. Dia perlu segera bertindak.

“Buatkan aku secawan kopi, dahaga benar rasa tekak ni,” Suara Pak Anjang perlahan. Matanya melirik kearah Mak Jenab yang sedang menjahit seluar Pak Anjang yang terkoyak malam semalam. Kain jahitannya rentas sewaktu Pak Anjang sedang melatih silat bersama 11 orang anak muridnya Pak Anjang akan melatih silat dalam 4 hari seminggu. Jatuh kepada malam Isnin, Selasa, Rabu dan juga Sabtu.

Pak Anjang menyalakan rokok tembakau dan menyedutnya perlahan-lahan. Fikirannya mula mengimbas kembali segala usahanya kepada penduduk kampung. Jalan raya yang dahulunya berlopak, kini telah diturap, bekalan elektrik telah pun masuk ke kampungnya, lampu-lampu di sepanjang jalan raya kampung juga telah dipasang. Balai raya dan surau baru juga telah berjaya didirikan. Setiap kali ada kematian atau kenduri kesyukuran, dialah orang yang telah bersusah payah memastikan agar segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Setiap kali ada pergaduhan atau perselisihan faham dialah orang yang dipanggil bagi menyelesaikan setiap masalah. Sekiranya ada kehilangan atau kecurian dialah orang yang akan di adukan segala masalah. Setiap kali ada rancangan dan perkahwinan dia segera memberi cadangan dan pendapat. Pendek kata Pak Anjang berjaya menyelesaikan segala masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk di Desa Mengkudu. Berdasarkan pengalamannya menjadi pemimpin selama berbelas tahun. Jawatannya kini dicabar pula oleh seorang anak muda yang baginya masih mentah dalam mengenal erti hidup.

Mak Jenab meletakkan kopi yang diminta oleh Pak Anjang. Mak Jenab sekadar diam membatu. Namun hati isteri mana yang tidak gundah melihat suami dilanda masalah. Bagi Mak Jenab sudak selayaknya Pak Anjang pencen dalam politik kampung yang diceburi. Sudah 40 tahun usia perkahwinannya bersama Pak Anjang , susah senang diharungi, suka duka ditempuhi, pahit manis di rasai. Faham benar fiil suaminya bila berada dalam keadaan resah.

Pak Anjang adalah seorang yang bertanggungjawab dan berjiwa rakyat. Bicaranya juga berisi dan mantap. Hatinya penuh semangat dan kuat. Janjinya tak pernah lewat dan tepat. Ingtannya di biarkan menjalar melewati kenangan sewaktu mula Pak Anjang terjun ke dunia politik. Siang malam dia terpaksa bersekang mata menanti Pak Anjang yang tak mengira masa. Berkempen ke sana sini. Warung kopi Deraman pun menjadi-jadi setiap kali hari pemilihan diadakan menjelang seminggu dua lagi. Penuh pelanggan yang datang untuk mendengar hujah Pak Anjang yang bertenaga atau paling kurang dapat minum secawan kopi secara percuma. Pak Anjang memang ada bakat untuk menjadi ahli politik yang berjaya. Segalanya terbukti bila semua penduduk mengundi beliau dan mengalahkan Lebai Malik yang merupakan orang yang mengaji tinggi. Orang yang seperti Lebai Malik bicaranya penuh falsafah dan ilmu agama. Berpengetahuan dan berbunga-bunga namun tiada semangat jiwa. Setiap penduduk memberi sokongan penuh kepada Pak Anjang dan sehingga ke hari ini tiada siapa yang berani memperlekehkan kewibawaannya menjadi pemimpin.

Batuk-batuk kecil dan keras dari Pak Anjang mematikan lamunan Mak Jenab. Di pandangnya Pak Anjang dengan ekor matanya, satu pandangan yang sukar ditafsirkan oleh Pak Anjang.

“Kenapa awak pandang saya begitu Nab?” Soal Pak Anjang. Dia memandang kembali isterinya dengan rasa hairan.

“Lagak Abang tu, selepas mendengar kata-kata Razak petang tadi berlainan benar saya tengok. Apa yang awak fikirkan?” Terpacul juga soalan tersebut keluar dari mulut Mak Jenab. Mak Jenab sekadar menduga. Biarpun dia tahu apa yang berlegar difikiran Pak Anjang.

Pak Anjang diam seketika. Parang yang sudah siap diasah diletakkan di dapur. Soalan isterinya dibiarkan sepi tak berjawab. Nafasnya turun naik dengan tidak teratur. Kepalanya dirasakan berdenyut-denyut. Wajarkah diceritakan kepada isterinya, segala yang bersarang dalam fikirannya. Ah ! biarlah……sekurang-kurangya dia akan berasa lega selepas bercerita. Tapi, mustahil isterinya tidak tahu apa yang berlaku atau sekadar menduga sebenarnya.

“Sudah lama aku menjadi pemimpin. Tergamak mereka memilih calon lain untuk menggantikan aku. Calon baru tu bukan orang lain, anak kepada Lebai Malik. Anak muda yang baru balik dari luar Negara.” Jelas Pak Anjang satu persatu memulakan cerita. Seolah melepaskan apa yang terbuku dalam hatinya.

“Segalanya tanggungjawab telah aku laksanakankan dengan baik. Berbelas tahun aku menjadi pemimpin dalam kampung kita. Tidak pernah dalam sekalipun aku gagal menyempurnakan tugas aku,” sambungnya lagi dengan suara yang mendatar.

“Awak ni bang…kalau iya pun gelisah dan tidak puas hati, cubalah bawa bersabar sikit. Awak masih ada hak dalam kampung ini. Jadi tunggu esok matahari terbit, abang pergilah bertanya sendiri kepada orang kampung. Tanya pendapat mereka. Jangan kerana kata-kata Razak yang tidak tahu hujung pangkal, yang tak pasti benar atau tidak. Abang jadi tidak tentu arah.” bidas Mak Jenab perlahan.

“Memang niat aku sehari dua ni, aku akan adakan mesyuarat. Aku nak tahu segalanya dengan lebih jelas.” Ujar Pak Anjang tegas dan bersemangat.

“Saya ni bang, kalau ikutkan hati, malas nak campur tangan dalam hal-hal politik awak tu. Tapi ada benarnya juga kata-kata Razak…”

“Apa? Awak fikir aku ni sudah tua! Sudah tak mampu nak kendalikan kampung ni? Aku ni anak jati Desa Mengkudu. Bakti aku dah banyak tercurah di sini. Aku percaya, orang kampung tahu macamana nak menilai usaha aku. Apa yang aku tak pernah buat untuk kampung ni?” Bentak Pak Anjang berkali-kali, kepalanya di geleng-gelengkan tanda kesal.

“Itu pada awak, Pak Anjang. Orang kampung kita lebih mudah termakan pujuk rayu orang. Belikan saja kain pelikat atau kain batik dari bandar, hah! mengundilah mereka nanti. Awak tu, percaya sangat cakap Si Razak. Guruh tak berdentum, pokok pun tak bergoncang.” Sindir Mak Jenab lembut

“Apa maksud awak ni, Zainab? Awak hendak beritahu yang Razak tipu aku? Perkara begini bukan boleh buat main-main. Sudah kira bagus benarlah aku tahu dulu sebelum canang berbunyi. Sekurang-kurangnya aku dah bersedia nak malukan budak berhingus tu.” Pak Anjang bersuara dengan nada tinggi dan riak.

“Saya rasa lebih moleknya abang berhenti dalam politik tu. Abang habiskan sepenuh masa abang di rumah beribadat kepada Allah. Beristighfar banyak-banyak bang.” Nasihat Mak Jenab.

“Selama saya menjadi pemimpin pun tidak pernah saya abaikan perintah Allah.” Bidas Pak Anjang.

“Abang, awak tak teringin ke nak mengerjakan haji. Saya takut tak ada kesempatan. Ajal dan maut ditangan tuhan. Saya bukan tak mahu menyokong abang. Tapi, saya rasa sudah tiba masanya abang berhenti…”

“Berhenti dari politik bererti aku berhenti memikirkan masalah penduduk kampung.” Potong Pak Anjang. Mak Jenab menarik nafas dalam-dalam. Beginikah taksubnya orang yang menceburi bidang politik?

“Salah kata-kata abang tu. Berhenti dari politik tidak bererti abang lepas tangan. Abang masih boleh memberi tunjuk ajar pada anak muda itu nanti” Mak Jenab membalas kata-kata Pak Anjang.

“Tunjuk ajar kepada budak yang kurang ajar? Kencing pun belum lurus, ada hati nak mencabar aku.” Pak Anjang merasa marah. Isterinya seolah tidak memihak kepadanya. Tidakkah Zainab sedar, bahawa dia telah menghabiskan separuh dari usia hidupnya untuk kampung ini.

“Itulah silapnya abang. Apa salahnya kalau ilmu yang kita ada itu dikongsi, kita hidup ni bermasyarakat. Kalau ada orang yang hendak menggantikan tempat abang, lebih lagi kena gaya dan caranya, malah berpendidikan tinggi seharusnya diberi peluang. Ada orang muda yang berminat dan berkelayakkan menjadi pemimpin di desa kita ini, apa salahnya kita sebagai yang tua memberi sokongan. Itukan lebih baik daripada awak bertikam lidah dengan mereka.” Mak Jenab berlalu ke dapur tanpa memberi ruang pada Pak Anjang membela diri. Dia berharap Pak Anjang akan segera berubah sikap.

Kopi yang diminta tadi dihirup seteguk. Manis dirasa namun hatinya sedikit tawar bila isterinya tidak berada di pihaknya. Dia ingin mempertahankan apa yang dia miliki sekarang. Pak Anjang termenung di hujung serambi sambil menanti malam menjengah siang. Jiwanya terus berperang dengan resah. Usai solat subuh jiwanya masih terus gelisah.

Pagi-pagi lagi Pak Anjang telah bersiap dengan baju T- cap Pagoda berkot kelabu di luar dan berkain pelekat biru. Langkah Pak Anjang pantas ke destinasi yang di tuju.

“Dia orang mahu Pak Anjang berehat di rumah setelah pencen nanti. Kalau ada pun, Pak Anjang boleh melakukan kerja-kerja secara sukarela.” Masih terngiang-ngiang ditelinganya kata-kata Razak kelmarin.

Dari jauh Pak Anjang dapat melihat kelibat Ayub, Karim, dan Dollah sedang bermain dam di warung Deraman. Pak Anjang terus mendekati mereka. Tanpa bertangguh, Pak Anjang terus bertanya, “Betulkah kamu semua mahu menggugurkan aku dari senarai calon parti pada tahun ini?” Ayub, Karim, dan Dollah berpandangan sesama sendiri.

“Siapa yang kata begitu Pak Anjang? Apa yang kami dengar, Pak Anjang sendiri yang mahu menarik diri dari senarai calon.” Jelas Karim mewakili yang lain. Ayub dan Dollah laju mengangguk tanda mengiakan kata-kata Karim.

“Agghhh…jangan cuba hendak meluruskan paku yang sudah bengkok. Aku tahu kamu semua sedang cuba menjatuhkan aku.” Pak Anjang melepaskan tumbukan di meja. Pak Anjang berlalu pergi dengan rasa tidak puas hati sebelum sempat mereka menjawab. Mereka bertiga terpinga tidakmemahami maksud Pak Anjang.

Seminggu berikutnya…

Warung kopi Deraman mula kembali penuh dan meriah. Apa tidaknya setiap kali pemilihan tiba, Deraman mula tersenyum lebar dengan wajah yang berseri. Murah rezekinya bulan ini.

“Selama ini, aku telah bersusah payah membangunkan kampung kita. Aku juga telah menjayakan pertandingan ayam Serama di kampung kita setahun yang lalu. Aku juga telah memohon peralatan sukan untuk anak belia di kampung kita. Hasilnya tidak mengecewakan. Aku berjaya mengekalkan kedudukan aku dalam politik ini berbelas-belas tahun. Aku tidak akan terjun tanpa pengetahuan tentang dunia politik. Apa yang budak bandar tu tahu? Pengetahuannya tentang sepak terajang dunia politik yang sangat sedikit ibarat Pak Arab dengan petai. Keupayaan dia tidak setanding aku.” Hujah Pak Anjang berapi. Dia kemudian menghela nafas kemudian menyambung “Orang muda berpolitik sama seperti masak asam pedas terlupa nak bubuh garam. Nampak sedap tapi tak ada rasa. Macam tu jugak bila mereka bercakap, seolah-olah bijak, pandai dan berpengetahuan tinggi tapi isinya kosong. Tidak ada makna, macam budak kecil baru nak belajar merangkak dan berjalan. Lambat. Belum tumbuh ekor tapi dah berlagak pandai.” tambahnya lagi. Penyokong-penyokong Pak Anjang mula menganggukkan kepalanya tanda mengiyakan. Pak Anjang tersenyum lebar ketika melihat penduduk kampung berbisik sesama sendiri sambil menepuk tangan setelah mendengar hujah dari pemimpin mereka.


Di suatu sudut yang lain pula…

“Walaupun saya masih baru lagi dalam bidang ini tapi saya akan cuba berusaha menjalankan tanggunagjawab saya dengan baik. Seandainya para hadirin semua memberi peluang kepada saya untuk membuktikan keupayaan saya, Insya`ALLAH saya akan membuktikannya. Kita perlukan tenaga yang lebih kuat untuk terus berjuang dalam politik kita. Kita perlukan idea dan cadangan baru dan bernas bagi kemajuan kampung kita. Pengetahuan yang luas dan pemikiran yang intelektual, saya berjanji pada semua bahawa kedatangan saya ke sini tidak akan mengecewakan saudara-saudara semua. Kampung kita perlukan perubahan lagi dan saya adalah orang yang paling tepat untuk diberi peluang” Kamal juga tersenyum senang melihat setiap yang datang memberi tindak balas yang positif.

Kata-kata Kamal mula bersemangat. Orang-orang kampung yang mendengar mengangguk-anggukan kepala seolah faham apa yang dimaksudkan oleh anak muda di hadapan mereka. Bagi mereka orang yang berpendidikan tinggi sepertinya pasti seorang akan berjaya. Apalah sangat dibandingkan dengan Pak Anjang , sekolah pun tidak tamat. Orang-orang kampung Desa Mengkudu mula keliru untuk membuat pemilihan dengan tepat.

“Nampaknya kempen yang diadakan oleh Kamal semakin ramai penyokong. Kita perlu bertindak cepat sebelum terlewat,” Kata-kata Razak terus meracuni fikiran Pak Anjang. Pertama kali dia berasa gementar berlawan dengan orang yang lebih muda daripadanya. Kata-kata Razak menyebabkan lantai yang dipijak sudah tidak sama tinggi atau setidak-tidaknya kaki yang digunakan tidak sama panjang. Pak Anjang tidak mahu reputasinya sebagai pemimpin terjejas kerana budak mentah. Dia harus bertindak cepat.

Petang hari pemilihan Pak Anjang pulang dengan wajah mencuka. Pemilihan telah dibuat. Kekalahannya tidak dapat ditebus dengan wang ringgit. Tebal mukanya tidak dapat ditutup hatta dengan tudung saji sekalipun. Pak Anjang benar-benar tidak menyangka. Selama ini dia berpolitik satu perkara yang tak pernah dia pelajari selama ini.

“Selama saya menjadi isteri awak. Inilah kali pertama saya nampak awak muram. Siapa yang telah menggantikan tempat awak?” Mak Jenab memandang wajah suaminya yang keruh dengan penuh tanda tanya.

“Razak” Balas Pak Anjang pendek. Menyebut nama tersebut membuat Pak Anjang mengetap bibir tanda geram.

“Sudah banyak duit yang habis untuk meraih undian. Sudah banyak tenaga yang saya curahkan. Kini saya terpedaya dengan seorang yang saya percaya.” Keluh Pak Anjang.


“Bagaimana Razak boleh menang tanpa bertanding?” tanya Mak Jenab hairan.

“Razak sengaja mendiplomasikan persaingan aku dengan budak bandar itu, sebagai suatu yang tidak sihat. Kerana itu dia telah dicalonkan di saat-saat akhir. Orang kampung mula menganggap bahawa aku tidak tahu memberi permuafakatan kepada mereka. Dan akhirnya memilih Razak sebagai calon yang dirasakan layak.” Jelas Pak Anjang tanpa berselindung.

“Selama ini awak berjuang untuk orang lain. Awak telah jalankan tanggungjawab dengan baik, awak mencari kepercayaan penduduk kampung. Tapi apa yang saya nampak kali ini, awak pentingkan diri sendiri demi menjaga reputasi dan air muka awak, awak gunakan kuasa awak untuk meraih undian. Awak mencari setiap kesalahan dan keburukkan orang lain. Bukan akal tak pintar, bukan tenaga tidak kuat, bukan duit awak yang sudah tidak laku, tetapi nilai kemanusiaan yang ada pada diri tu yang sudah hilang. Nilai harga diri awak itu yang sudah jatuh.” Jelas Mak Jenab panjang sambil meninggalkan Pak Anjang sendirian melayan fikiran.

Pak Anjang terkedu seketika. Tangannya menyapu peluh yang berjuntaian jatuh, disimbah terik mentari yang semakin meninggi. Suara azan di surau berhampiran rumahnya, mengingatkannya di atas kebesaran Allah SWT.

No comments: