CERPEN :KAKAK

KAKAK. Menyebut perkataan itu, aku sudah menjadi terlalu rindu. Apa khabar kakak sekarang? Peristiwa 13 tahun lalu, masih segar lagi dalam kotak fikiranku. Ibu dan Ayah meninggal dunia ketika aku, Azril dan Azman si kembar yang nakal masih kecil lagi. Sebelum sempat kami merasa kasih sayang dari mereka. Sejak itu, kami hanya tahu menyebut nama kakak sahaja. Sudah terlalu jauh aku dari kakak. Sudah puas aku menangis. Namun, tangisanku ini tidak seperti tangisan kakak pada terakhir kali sebelum perpisahan itu berlaku. Tangisanku yang penuh kerinduan. Dan tangisan kakak yang penuh kesyahduan. Tidak sabar rasanya mahu pulang ke kampung dan menatap wajah kakak. Aku akan pulang ke pangkuan kakak, pulang dengan kejayaan seperti yang kakak harapkan, pulang dengan seribu kemaafan, pulang dengan sejuta kerinduan, pulang untuk menyatukan semula hubungan yang telah terlalu lama menjauh. Aku tunaikan janji yang terpatri. Aku berjaya menjadi seorang doktor, manakala dua orang adik kembarku mengambil jurusan yang berkaitan antara satu sama lain. Azril telah berjaya menjadi seorang arkitek manakala Azman seorang jurutera. Layar ingatanku kembali terbang mengingati kenangan itu. Kenangan yang masih terlipat kemas dalam memoriku.

Lenaku terganggu. Tangisan kakak kedengaran lagi. Aku memandang kearah jarum jam yang menunjukkan ke angka dua pagi. Kakak usai solat sunat tahajud barangkali. Sering aku lihat kakak menangis ketika bersujud. Aku tahu kakak bersedih. Fikiran kakak mungkin berserabut. Tapi kenapa? Aku ingat lagi pesan kakak yang tidak pernah jemu diucap kepada kami adik-beradik. Kepada siapa lagi kita mahu mengadu, jika bukan pada DIA, Tuhan yang satu. Kata kakak, hanya Allah yang dapat membantu setiap hamba-hambanya. Kerana itu dia selalu memberi ujian kepada kita. Kakak tidak bersekolah tinggi. Kakak cuma bekerja di salah sebuah kilang di kawasan kampungku. Berbekalkan SPM pangkat 1, kakak hanya menjawat jawatan operator kilang.

 “Kenapa kakak tidak mahu sambung belajar?” Pernah kuajukan soalan itu kepada kakak satu masa dahulu. Kakak tidak menjawab, sekadar tersenyum sambil mengemas dan menyimpan segala sijil-sijilnya ke dalam fail.

“Engkau sahajalah yang belajar pandai-pandai, biar dapat masuk ke Universiti. Kita ini orang susah, jadi buktikan pada orang lain, orang susah macam kita juga boleh berjaya. Biar tanpa kasut berjenama, biar tanpa beg sekolah bertukar warna, baju yang lusuh dan tidak berganti, mahupun dengan berbekalkan nasi goreng dengan belacan, kita masih boleh menjadi bijak setanding mereka. Mungkin lebih bijak daripada mereka, kerana dalam hidup kita; tiada satu perkara pun yang mustahil. Dan kakak mahu pastikan, Lin berjaya dalam SPM nanti dan dapat sambung belajar ke Universiti.” Ujar kakak sambil mengusap perlahan rambutku. Aku tersenyum pantas mencium pipi kakak.

Kakak bertubuh sederhana. Jarak usia kakak berbeza 5 tahun dariku. Kulit kakak agak cerah sedikit dariku, dan berambut ikal mayang. Baju yang dipakai jarang bertukar ganti. Namun kakak tidak pernah kisah.

“Banyak lagi duit yang hendak digunakan untuk segala perbelanjaan harian, dan perbelanjaan persekolahan Lin, Aril dan Aman lagi.” Jawab kakak lurus.

Terkadang terdengar keluhan keluar dari mulutku. Namun cepat-cepat aku beristighfar. Kalau kakak dapat tahu, mata kakak yang kecil pasti akan membulat, marah.

 “Rezeki semuanya datang dari Allah. Andai DIA memberi, DIA juga berhak menarik balik segalanya. Apajua yang dikehendakinya. Termasuk nyawa kita. Jangan mengeluh macam tu lagi, seolah tidak bersyukur dengan apa yang kita ada sama seperti kita tidak tahu berterima kasih di atas pemberiannya. Kita termasuk dalam golongan yang tidak beriman, kamu semua nak madcam tu?” Soal kakak sambil menjelaskan.

“Kita masih mampu berdiri, mampu tersenyum, mampu ketawa, masih sihat dan tidak sakit, itu sudah lebih memadai. Dan apa yang paling penting kita masih dapat melihat bulan dan matahari.” Tambah kakak lagi.

 Memang terkadang aku mengeluh kerana hari-hari makan lauk yang sama. Nasi dan telur goreng. Kadang-kadang, kakak masak sambal dengan cili api, dari hasil menolong Mak Leha di kebun sayur. Diberinya sedikit sayur kacang, yang sedap dimasak tumis (terkadang petai dan sedikit mentimun untuk dibuat ulam). Paling mahal pun yang dia dan adik-adik dapat rasa, ketika di awal-awal gaji. Kakak akan membeli apa sahaja yang diminta. Apa sahaja yang dia teringin hendak makan. Dia akan meminta ayam. Kakak akan masak untuk mereka. Sememangnya kakak pandai masak. Kakak selalu mengajar kami erti bersyukur.

 “Kita sudah cukup makan, pakai dan tempat berlindung sudah memadai. Sekurang-kurangnya kita tidak pernah kebuluran seperti di palestin atau di Negara Luar yang masih dijajah oleh pemerintahan secara kuku besi. Menindas orang lain, serta tamak pada benda yang tidak pernah akan kekal lama,”

Aku menganggguk tanda faham. Walaupun kadangkala aku selalu terkilan kerana tidak dapat memakai baju yang cantik-cantik menjelang Hari Raya. Namun aku berazam akan membelikannya untuk kakak bila dewasa nanti. Kakak memang selalu bersederhana dan tidak pernah jemu memberi nasihat kepada kami adik-beradik. Kami terlalu menyayangi kakak.


Aku pernah tanya, apa cita-cita kakak sejak dahulu lagi dan apa impian kakak seandainya dapat sambung belajar. Kakak kemudiannya tersenyum. Cita-cita kakak tinggi. Setinggi bintang di Timur. Kakak ingin menjadi seorang peguam dan ingin punya syarikat sendiri. Kakak ada bakat dalam penulisan. Sejak dahulu lagi kakak memang minat menulis. Kakak bekerja keras untuk membeli sebuah komputer untuk kemudahan kakak menulis. Banyak juga hasil karya kakak yang tersiar. Samada sajak, cerpen, semuanya mendapat tempat. Aku tidak sebijak kakak. Fikiran kakak sangat kreatif. Sekali jari kakak menekan huruf-huruf yang ada di keyboard. Kakak terus menaip tanpa henti. Kata kakak, terkadang idea datang mencurah-curah, terkadang dua tiga hari tidak ada idea langsung. Aku tidak tahu, samada kakak minat menjadi seorang peguam kerana kakak bijak mengarang ataupun, kerana kakak memang bijak mengarang yang mendorong kakak ingin menjadi seorang peguam. Aku merenung beberapa buah piala yang kakak perolehi sewaktu menyertai pertandingan bahas. Aku tidak menafikan, kakak memang hebat berhujah ketika di atas pentas.

Sewaktu aku belajar di tahun 4, Guru Bahasa Melayuku pernah menyoal beberapa pelajar di dalam kelas termasuk aku.

“Siapa idola kamu, Ardina Azlinda?” Soal cikgu Balkis. Guru Praktikal yang menggantikan tempat Cikgu Hajar yang sedang cuti bersalin.

“Kakak,” Pantas dan bangga aku menyebut.
Aku melihat wajah cikgu Balkis berkerut. “Kenapa kakak?” Soalnya lagi.

 Aku terdiam. Aku tidak tahu apa jawapan yang paling tepat untuk aku menjawab soalan guruku yang satu ini.

“Kenapa kakak? Kelas, Saufi beritahu pada kita semua idola dia adalah ayah, Siti Manisah menjawab emak, dan kenapa Ardina Azlinda menjawab kakak? Kenapa bukan emak atau ayah?” Aku terkebil-kebil.

Cikgu Balkis guru baru, dia tidak marah dengan soalan yang ditanya, naluri manusia sememangnya begitu, ada sikap ingin tahu. Samada mengambil berat terhadap satu sama lain, ataupun mengambil kesempatan sesama manusia. Aku teringat kata-kata kakak yang satu ni. Cuma yang aku tidak tahu, bagaimana mahu memberi penjelasan kepada Cikgu Balkis. Teringat kakak yang rela berpuasa, asalkan aku, Azril dan Azman dapat makan secukupnya. Kakak yang terpaksa bekerja keras untuk memastikan, segala keperluan kami adik-beradik tiada masalah, segala perbelanjaan sekolahku sempurna, dan segala yuran persekolahanku dapat dibayar. Kakak yang mendukung aku ketika pulang dari sekolah, ketika kakiku melecet kerana kasut yang ku pakai sudah terlalu nipis, tidak tertahan digasak batu jalan. Kakak yang mengajar kami adik-beradik mengaji setiap malam, supaya tidak buta dalam agama. Mengajar tentang solat dan tidak jemu memberi nasihat. Kakak yang siang malam tidak berhenti berdoa untuk kejayaan adik-adiknya, dan kakak yang berperanan lebih dari seorang ibu atau ayah untuk kami.

“Sebab, saya cuma ada kakak.” Jawabku sambil tunduk memandang hujung kasutku yang telah lama berlubang.

Suara esakan kakak kedengaran lagi. Mengapa kakaknya menangis. Apakah semua ni disebabkan kedatangan Mak Ngah pada petang tadi. Suara Mak Ngah lantang menyapa gegendang derianya.

“Kakak kamu mana Lin? Aku tak nampak pun dari tadi. Selalunya tiap kali aku datang, ada dianya.” Soal Mak Ngah sambil membetulkan tudungnya yang jatuh. Tudung yang hanya diselimpang ke bahu, sesekali jatuh, ditiup angin petang.

 “Kakak kerja Mak Ngah, mungkin kakak ambil ot.” Jawabku sambil menjemput Mak Ngah masuk ke rumah. Namun, aku tetap merasa hairan. Biasanya jika kakak pulang lewat, kakak pasti akan beritahu. “Tak payah, aku duduk di sini sahaja.” Balas Mak Ngah sambil duduk di tangga. Aku segera masuk ke dalam dan membuat air.

“Pukul berapa kakak kamu tu balik kerja, Lin?” Soalnya kemudian seperti melaung. Mungkin kerana jarak dan dapur yang agak tersorok.

 “Mungkin petang sikit Mak Ngah. Jemput minum airnya dulu,” Aku melihat Mak Ngah tidak senang duduk. Mungkin ada hal yang penting sangat ingin diberitahu pada kakaknya. Satu jam Mak Ngah menunggu, Mata Mak Ngah liar memerhatikan jalan yang lengang, kalau-kalau anak saudaranya pulang awal. Sudah sebulan dia menanti jawapan dari Arini. Namun gadis itu sering berdolak-dalik. Kulit mukanya sudah tebal seperti batu-bata, tidak tahu alasan apa yang harus diberi bagi menangguhkan jawapan kepada keluarga Haji Latip.

 “Budak Arini memang degil. Dasar tidak tahu berterima kasih. Aku nak bagi dia satu keluarga hidup senang pun sombong. Tak mahu terima pendapat orang tua langsung.” Rungutnya di dalam hati.

Kakak masih tidak kelihatan. Sudahnya, Mak Ngah balik tanpa sempat berjumpa kakak. Perkara itu ku sendiri cerita pada kakak dan aku lihat kakak termenung panjang. Berita apakah yang mengganggu kakak barangkali.

Kakak menyusun baju-baju Azman dan Azril ke dalam beg yang berasingan. Sesekali airmatanya yang jatuh dikesat dengan hujung lengan baju. Aku merapati kakak. Kini tahulah aku mengapa tangisan kakak tidak pernah surut. Kedatangan Mak Ngah punya hajat. Hajat yang besar. Hajat yang bakal merubah nasib kami adik-beradik.

Aku tidak percaya kakak tergamak buat keputusan yang begitu. Bagaimanakah aku, Azril dan Azman mampu hidup tanpa kakak? Sejak emak dan ayah meninggal 10 tahun yang lalu. Aku hanya tahu menyebut nama kakak sahaja. Azril dan Azman ketika itu baru berumur 4 tahun. Apalah pasangan kembar itu tahu. Azril dan Azman juga cuma tahu adanya kakak dalam hidup mereka.

“Kami tak mahu pergi kak… Janganlah halau kami semua dari sini. Lin nak bersama kakak.” Kakak menyembunyikan wajahnya di balik tudung. Aku berharap kakak tidak akan menyerahkan kami kepada orang lain.

“Dari kecil kakak yang menjaga kami. Biarlah sehingga kami dewasa pun berada depan mata kakak” Ujarku dalam tangisan. Ku peluk bahu Mak Leha kuat-kuat. Ku pinta Mak Leha dapat memujuk kakak agar berubah fikiran.

Azril dan Azman masih duduk berteleku di dalam bilik. Dari semalam pasangan kembar itu tidak makan. Rajuknya pada kakak masih panjang. Mak Leha turut menangis. “Mak Leha, cakap pada kakak, Lin tidak akan merungut lagi, walaupun cuma makan nasi kosong berkuahkan kicap. Asalkan Lin dan adik-adik dapat bersama kakak.” Kakak tetap tidak menunjukkkan sebarang reaksi. Aku melihat kakak tidak ubah seperti batu. Diam dan termangu. “Arini, kesian Mak Leha tengok kamu adik-beradik. Janganlah dipaksa jika mereka tak mahu.” Sayu suara Mak Leha memujuk kakak. Aku lihat kakak masih membisu. Memang sejak semalam kakak jadi pendiam. Aku tidak dengar kakak memarahi Azril dan Azman sekiranya lambat mengulangkaji, aku tidak lagi mendengar kakak memintaku melakukan itu atau ini di rumah, aku juga tidak dengar kakak berleter walaupun kami adik-beradik membuat kesilapan. Yang hanya terdengar adalah tangisan kakak sejak semalam.

Azril dan Azman keluar dari dalam bilik dengan mata membengkak dan kemudian menghampiriku. Kami berpelukan kerana tidak sanggup berpisah. Kakak turut menghampiriku. Di usapnya satu persatu rambut kami.

“Mak Leha, saya sendiri tidak tahu bagaimana dapat hidup tanpa mereka semua. Saya masih kuat sehingga hari ini, kerana ada mereka dalam hidup saya. Namun, saya tetap mahu melihat mereka semua berjaya walaupun terpaksa berkorban. Saya mahu mereka dapat kasih sayang yang secukupnya. Jadi biar inilah yang menjadi pengobanan terakhir buat mereka.” Jelas kakak dalam sendu.

Dalam getar kakak bertanya, “Lin tahu tak apa impian kakak selama ini?” Soal kakak dalam tangisan yang masih bersisa.

 Aku pantas mengangguk. “Kakak mahu adik-adik kakak cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan. Kalau Lin sayangkan kakak, Lin kena berjanji akan berjaya mencapai cita-cita Lin untuk menjadi seorang doktor. Aril dan Aman juga berjaya dalam cita-citanya. Dan selagi Lin, Aril dan Aman belum berjaya, jangan sesekali kamu semua jejakkan kaki ke rumah pusaka ini.” Ujar kakak dengan rasa yang berat hati. Kata-kata terakhir kakak membuat aku tersentak. Bagaimanakah aku boleh hidup dan tinggal bersama orang lain, sedangkan kami tidak tahu apa-apa pun tentang kakak selepas itu?

“Kakak, apa salah kami? Apa salah Lin, Apa salah Aril dan Aman hingga kakak hukum kami begini? Siapa yang akan menjaga kakak jika kakak sakit, Siapa yang akan mengambil tahu sekiranya kakak rindukan kami,” Soalku dalam esakan yang masih berterusan.

 “Mak Leha akan jaga kakak, Lin. Apa yang kakak lakukan semunya untuk masa depan adik-adik yang kakak sayangi. Kakak tak mahu kamu semua susah lagi jika terus bersama kakak. Keluarga yang Mak Ngah carikan untuk kamu adalah keluarga yang baik-baik. Pasti mereka dapat memberi kasih sayang serta kemudahan yang secukupnya, malah kamu juga dapat belajar hingga keperingkat yang lebih tinggi. Kakak percaya kamu semua pasti gembira dengan keluarga masing-masing.” Aku memeluk erat kakak, “Lin tak perlukan semua tu… Lin cuma nak bersama kakak dan adik-adik.” Kakak pantas menggeleng. Dan aku tahu kakak telah membuat keputusan yang muktamad.

Bunyi enjin kereta kedengaran di luar rumah. Mak Leha yang sedari tadi memerhati segera bangun dan membuka pintu. Mak Ngah datang bersama dua buah keluarga yang akan mengambil Aril dan Aman. Dijemputnya tetamu masuk. Kakak turut bangun sambil mengesat sisa airmata yang tidak berhenti mengalir kemudian mengambil beg Aril dan Aman dari dalam bilik dan dibawa keluar. Azril dan Azman berpelukan. Manalah mungkin pasangan kembar itu dapat berpisah setelah dari kecil mereka hidup bersama. Namun keluarga yang datang cuma mahukan seorang. Mak Ngah yang berada di belakang tetamu tadi segera menarik tangan Azril supaya mengikut tetamu tadi.

“Jangan nak mengada-ngada, aku ni bertujuan baik. Nak bagi kamu adik-beradik hidup senang,” Jerkah Mak Ngah kepada Azril. Makin kuat Mak Ngah menarik, makin kuat Azril meronta. Mak Ngah jadi geram. Dia jadi hairan kenapa tiba-tiba Arini berubah hati memberi persetujuan untuk mengambil anak-anak saudaranya menjadi anak angkat kepada keluarga yang meminta, sedangkan dulu bukan main liat. Malah duit yang dihulurkan juga tidak diambilnya. Teringat kata-kata Arini tempoh hari, “Saya bukan nak menjual adik-adik saya Mak Ngah, saya cuma mahu mereka bahagia dan tidak akan merasa susah bersama saya lagi. Mak Ngah simpan sahaja duit itu, Mak Ngah mungkin lebih memerlukannya dari saya,” Dia memandang wajah Arini dengan geram. “Kurang ajar. Taknak sudah! Tak payahlah sindir-sindir aku.” Desisnya dalam hati. Bibirnya mengukir senyuman mengenangkan habuan yang bakal diterima nanti. “Arilll…! Lepaskan tangan Aman.” Jerit kakak. Serta merta Azril berhenti. Matanya tepat merenung kakak minta dikasihani. Kakak segera menarik Azril ke dalam pelukannya. Dicium Azril bertalu-talu. Azman segera memeluk kakak dari belakang. Ciuman kakak beralih kepada Azman.

“Maafkan kakak, dik. Maafkan kakak…” Kakak segera bangun dan menghulurkan Azril dan Azman kepada keluarga masing-masing. Azril dan Azman terus meraung. Mak Leha mengesat airmatanya. “Lin, mari ikut Mak Ngah, Mak Ngah akan bawa Lin ke rumah baru,” Mak Ngah segera menarik tanganku. Aku berjalan mengikut langkah Mak Ngah. Aku kemudian berhenti sejenak, lantas menarik tanganku semula dari pegangan Mak Ngah dan segera berlari kearah kakak. Aku pantas memeluk kaki kakak, kakak segera duduk dan memeluk aku. “Lin janji kak, Lin akan pastikan yang Lin akan berusaha mencapai cita-cita Lin agar segera dapat pulang semula berjumpa kakak. Lin akan pulang dengan adik-adik. Kakak tunggu kami balik. Lin sayangkan kakak.” Kakak mengangguk berkali-kali. “Kakak percaya sayang, kakak percaya adik-adik kakak akan berjaya dalam kehidupan dan balik semula ke rumah ini.”

Itulah kali terakhir aku berjumpa kakak. Sudah berpuluh surat ku kirimkan untuk kakak, namun tidak pernah ada balasan. Mungkin kakak tidak mahu mereka mengingatinya. Esok adalah hari yang paling bermakna buat mereka adik-beradik. Sudah terlau lama mereka menanti saat ini. Aku terasa sukar melelapkan mata, tidak sabar menanti hari esok. Begitu juga Aril dan Aman. Tidak henti-henti mereka menyebut nama kakak. Aku telah membelikan tiga pasang baju kurung untuk kakak untuk Hari Raya yang bakal tiba nanti. Kesemua warna kegemaran kakak. Tahun inilah Hari Raya yang paling bermakna buat mereka. Malah aku turut ingin mengenalkan kakak kepada Saiful. Lelaki yang sentiasa membantu aku dari segi pelajaran dan tidak pernah berhenti memberi sokongan dalam kehidupanku.

Dari jauh aku dapat melihat rumah pusaka yang telah bertahun ku tinggalkan. Aku melangkah keluar kereta dengan perasaan berdebar. Mana kakak? Mesti kakak makin cantik sekarang. Sudah berkahwinkah kakak? Kalau ku congak dengan jari, umur kakak sudah masuk ke-35 tahun. Bagaimanakah perasaan kakak sekiranya kami pulang dengan kejayaan seperti yang kakak harap-harapkan? Persolan tersebut berlegar dalam fikiranku sejak berkurun lalu. “Mana kakak, kak Lin,” Soal Azril mematikan lamunanku. Azman pula masih berpusing memerhatikan keadaan disekeliling rumah. “Rumah ni seperti terlalu lama tidak dihuni kak Lin,” Jelas Azman. Azman seorang jurutera, tidak hairanlah sekiranya dia mengetahui keadaan rumah yang terlalu lama terbiar. Mungkinkah selepas peristiwa itu kakak mengambil keputusan untuk tinggal di rumah Mak Leha. Desis hatiku perlahan. Aku cepat membuat kesimpulan.

“Kita ke rumah Mak Leha, mungkin kakak ada di sana,” Usulku kemudian. Kereta kami berhenti betul-betul depan rumah papan yang agak usang. Satu-satunya wanita yang mengambil berat tentang kami adik-beradik. Aku segera memberi salam. Seorang wanita tua bercermin mata keluar dengan keadaan bertongkat.

“Cari siapa nak..? Soal Zaleha. Matanya dikecilkan seolah cuba mengenali tetamu yang datang. Aku segera menghampiri Mak Leha dan memeluknya dengan kuat.

“Ni Lin, Mak Leha. Lin. Itu Aril dan Aman, Sikembar yang nakal dahulu. Mak Leha masih ingat kami lagi? Kami datang nak jumpa kakak Mak Leha. Mana kakak, lama betul kami tak jumpa kakak. Kami rindu sangat pada kakak,” Mak Leha segera menanggalkan cermin mata yang dipakainya.

“Ya Allah Lin, itu Aril dengan Aman ke? Dah besar kamu semua,” Ujar Mak Leha dalam keadaan sebak. Airmata Mak Leha mengalir di pipi tuanya yang jelas sudah dimamah usia. Pantas tangan tuanya memelukku. Dicium wajahku berkali-kali. Melepaskan rindu yang sudah bertahun. Azril dan Azman turut memeluk Mak Leha. Diciumnya tangan tua Mak Leha. Saiful yang sedari tadi sekadar memerhati turut tersentuh. Saiful juga tidak sabar ingin bertemu dengan kakak. Arini Azreena nama yang tidak pernah berhenti disebut oleh Ardina Azlinda sejak pertama kali dia mengenali gadis itu.

Aku segera menyeka airmata dengan belakang telapak tangan. Ketiadaan kakak masih menjadi persoalan.

“Mana kakak, Mak Leha?” Soalku kembali. Airmata Mak Leha ku lihat semakin laju mengalir.

“Kenapa Mak Leha? Di mana kakak?” Mungkin kakak tidur dan belum menyedari kehadiran kami semua. Sekali lagi aku membuat kesimpulan. Kupanjangkan leher dan cuba menjenguk ke dalam rumah.

“Maafkan Mak Leha Lin, Aril, Aman. Mak Leha tahu, kamu semua amat merindui kakak kamu, sangat sayangkan dia. Mak Leha juga sangat sayangkan Arini. Mak Leha sudah menganggap kamu semua seperti anak-anak Mak Leha sendiri. Namun…” Suara Mak Leha seperti tersekat. Bagai payah nak di luahkan. Dia kemudian menyambung semula kata-katanya. “Seperti yang kita tahu, Tuhan lebih menyayanginya nak…” Mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Mak Leha membuatkan nafasku seakan terhenti. Azril dan Azman turut terpinga. Apa maksud Mak Leha berkata begitu? Aku tersenyum tawar sambil menggelengkan kepala. “Lin tak faham, Mak Leha. Mana kakak? Kami semua datang nak jumpa kakak, dah lama kami tunggu saat ini Mak Leha,” Ujarku dengan nafas yang tak tertahan-tahan. Aku mula berasa tidak sedap hati.

“Lin, Aril, Aman… kakak kamu sudah meninggal lima tahun yang lepas akibat tumor otak. Mak Leha sekadar memenuhi amanat terakhir kakak kamu. Dia minta agar Mak Leha merahsiakan penyakitnya. Dia takut kamu semua tidak dapat belajar dengan sempurna sekiranya tahu akan penyakitnya. Dia tidak mahu membebankan kamu semua, kerana itu dia bersetuju kamu semua mengikut keluarga baru. Sebab kakak kamu tahu, bahawa dia tidak akan dapat hidup lama. Arwah minta Mak Leha merahsiakan semuanya. Maafkan Mak Leha sebab terpaksa berbuat begitu. Semasa hayatnya dan sehingga nafasnya yang terakhir, dia tidak berhenti menyebut nama kamu adik-beradik. Setiap saat, bibirnya tidak pernah lekang berdoa untuk kejayaan adik-adiknya.” Penjelasan Mak Leha membuatkan dunianya terasa berhenti berputar.

Kakak yang sanggup berkerja kilang dari menyambung pelajarannya demi memastikan adik-adiknya dapat bersekolah. Kakak yang rela mengorbankan perasaannya demi melihat kehidupan adik-adiknya sempurna. Kakak yang rela menanggung penderitaannya sendiri, kerana tidak mahu membebankan adik-adiknya. Kakak yang pergi tanpa melihat adik-adiknya membesar dan tanpa sempat melihat adik-adiknya berjaya menunaikan impian seorang kakak. “Di dalam hidup kita sentiasa menuntut sebuah pengorbanan. Samada kita berkorban untuk orang lain, ataupun menjadi korban kepada orang lain. Percaya pada rukun iman yang ke-enam bererti kita percaya pada qada’ dan qadar yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Setiap yang berlaku itu pasti ada suatu hikmah. Bersyukurlah sekiranya kita menjadi insan yang terpilih oleh yang Maha Esa untuk menerima ujian darinya. Itu tandanya, Allah menyayangi kita, hambanya.” Masih terngiang di deria dengarku mengingati kata-kata kakak dahulu. Aku memeluk Azril dan Azman yang dari tadi sudah mengalir airmata yang sejak dahulu tidak pernah berhenti. Bagaimanakah pula kami harus menanggung kerinduan kepada kakak.

“Kakak…” Ucapku sepatah. Pandanganku mula terasa gelap dan kabur. Aku rebah bersama kerinduan yang tak pernah berpenghujung.

No comments: