CERPEN: BUKAN CINTA ITU KUDAMBA

Cerpen
BUKAN CINTA ITU KUDAMBA
Oleh Sharifah Norbaizura bt Syeid Safie


CINTA. Adalah satu kalimah yang semua manusia dalam dunia ini pernah mengalaminya. Satu perasaan yang sungguh unik. Kita sendiri tidak akan sedar, bila kita mula jatuh cinta dan kita tidak akan tahu bagaimana mahu menghentikan perasaan itu. Cinta menjadikan kehidupan kita sempurna dengan adanya insan yang sangat kita cintai. Ini kerana cinta sentiasa melengkapi antara satu sama lain. Namun… tidak semua orang di dunia ini yang bertuah memiliki sepenuhnya insan yang dicintai. Dan tidak semua orang yang memiliki insan yang dicintai itu akan mendapat kebahagiaan yang dicari. Dalam hidup ini cinta sentiasa menuntut pengorbanan. Cinta itu terlalu banyak pilihan, dan mungkin, adakalanya kita akan tersalah pilih. Tetapi...seandainya kita berhenti membuat pilihan dan tidak sanggup melakukan pengorbanan, adakah ianya bereerti kita tidak mencinta CINTA itu? Dalam hati kita terlalu banyak ruang kosong untuk diisi. Jangan pernah kita berhenti mencari cinta yang sejati. Tuhan itu maha adil. Terlalu adil. Dan… jangan sesekali kita menangis di atas takdir yang telah tertulis.

***************************************





Kisah Nizam.

Nizam mendail sekali lagi. Tangannya sudah terasa lenguh. Asyik berulangkali yang menjawab adalah suara perempuan yang tidak pernah dikenalinya. Entah kenapa sikap Emy Nazira berubah secara mendadak. Puas Nizam mencari di mana silapnya. Kali terakhir Nizam berjumpa dengan Emy Nazira pada minggu lepas. Puas ditanya tapi Emy Nazira hanya mendiam seribu bahasa. Cuma yang dilihat, mata Emy Nazira akan digenangi airmata. Hatinya terasa luluh. Tidak sanggup rasanya melihat Emy Nazira menangis. Namun,yang menjadi persoalan, mengapa Emy Nazira menangis dan berubah laku secara tiba-tiba. Bermacam-macam andaian mula muncul dibenaknya, apakah Emy Nazira telah menduakan dirinya, bermain kayu tiga dibelakangnya ataupan ada simpan 'spare tyre'.
“Aghh… tak mungkin! Emy Nazira bukan perempuan jenis itu.” Bentak hati kecil Nizam kemudian. Hampir satu tahun mereka bersama, Nizam semakin faham sikap Emy Nazira. Diusir prasangka itu jauh-jauh. Nizam sedar tanpa Emy Nazira, hidupnya terasa kosong. Nizam tidak tahu bagaimana hatinya begitu cepat jatuh cinta kepada Emy Nazira. Bagi Nizam, Emy Nazira ada keistimewaan yang dia sendiri sukar diungkapkan melalui kata-kata.

“Woi, tak keluar ke?” Rizal yang baru balik dari kerja menghampiri Nizam yang sedari tadi dilihat seolah melayan perasaan. Nizam menggelengkan kepalanya perlahan.

“Nak kemana? bukan aku ada duit nak keluar pun.” Keluh Nizam kemudian.

“Takdelah..manalah tahu kau nak keluar dating dengan Emy ker… lama dah aku tak Nampak kau keluar dengan Emy. Korang berdua gaduh ke?” kata-kata dan pertanyaan dari Rizal seolah menyindir Nizam. Tanpa mempedulikan kata-kata Rizal, Nizam lantas mengambil kotak rokok yang masih berbaki dan dikeluarkannnya sebatang.

“Hisap sorang-sorang..bagilah kat aku satu.” Rizal buat muka. Tengah-tengah bulan, segalanya kalau boleh nak dikongsi. Kering beb.

“Ambiklah..memang tinggal satu pun.” Nizam menyedut rokok perlahan-lahan. Cuba dilupakan sekejap masalah yang mengganggunya. Mata Nizam tekun memandang ke arah peti televisyen, namun hatinya terbang entah kemana.

“Hah! citer nilah yang aku nak tengok Uda. Nasib aku tak lupa.” ujar Rizal bersemangat sambil membetulkan kedudukannya dan cuba memberi tumpuan pada siaran televisyen. Rizal memang biasa memanggil Hisyam dengan panggilan Uda, nama timangannya Nizam di kampung.

“Hari ini hari apa hah Zal?” Nizam memandang Rizal dengan dahi berkerut.

“Kau apasal ni Uda? Ada masalah ke? sampai hari pun kau boleh lupa..?” tegur Rizal.

“Bukan lupa, aku cuma tak ingatlah. Minggu lepas aku kan kerja shift malam minggu lepas. Sebab tu macam blurr sikit…”Nizam ketawa bersahaja. Rizal hanya tersengih.“Pooorahhh!” dalam hati Rizal. Dia tahu Nizam berbohong.

“Aku ingat nak tukar kerjalah..tak larat aku nak kerja kilang. Shift malam buat aku tak cukup tidur.” Nizam meminta pendapat Rizal.

“ Tukar lagi? Kau nak kerja mana lagi lepas ni. Elok-elok kerja kat kampung dulu, kau nak kerja kat sini. Sebab dapat dekat dengan Emykan? Dah dekat apa pulak citer sekarang ni?” Rizal melihat reaksi Nizam. Nizam kelihatan resah.

“Kau dah beritahu Emy hal yang sebenarnya?” Nizam hanya mampu menggelengkan kepalanya.

“Sampai bila kau nak tipu Emy, Uda? kau tak terfikir ke apa akibatnya akan datang kalau Emy dapat tahu yang kau tipu dia selama ni? Kau tak kesian ke tengok dia tu?” Soalan Rizal bertalu-talu tiba-tiba membuat Hisyam terkedu. Rizal melihat hubungan Nizam dengan Emy Nazira semakin serius. Namun bagi Rizal semua tu tak patut berlaku.

“Aku tahulah apa yang aku buat, kau tak payahlah masuk campur urusan peribadi aku ok?” Nizam menyedut asap rokok dalam-dalam, dihembusnya perlahan. Nizam mengeluh sendiri.

“Aku kalau boleh memang taknak ambil tahu pun..tapi, aku nak tanya? kau dah buta ke? atau kau dah tak nampak? aku yang rabun ayam ni pun tau yang Emy tu betul-betul sayangkan kau. Kau sedar tak apa yang kau buat selama ni salah? Jangan mainkan perasaan orang Uda. Tak baik kau buat anak orang macam tu.” Rizal cuba memberi nasihat kepadaNizam.

Nizam mencapai remote control di atas meja. Siaran televiyen di ubah dari satu channel ke satu channel yang lain. Hilang mood ingin menonton. Soalan Rizal semakin menyesakkan fikirannya. Nizam hanya mengambil langkah berdiam diri. Dipandangnya sekilas handphone yang terletak di tepi tangga. Tiada panggilan langsung dari Emy Nazira. Bila dia mendail, jawapan yang sama dia dapat. Suara operator yang tak sedap jugak yang dia dengar. Rasa marahnya mula timbul.

“Emy, kenapa buat Syam macam ni…” Nizam hanya mampu melepaskan keluhannya di dalam hati. Rizal memandang Nizam dengan rasa hairan. Tak ada perasaan ke mamat ni?

“Emy tu terlalu lurus sebab sayangkan kau, tak patut kau buat dia macam tu. Kau akan lukakan hati dia nanti.” Rizal masih cuba membuat Nizam berfikir.

“Aku tak mainkan sesiapa lah Zal. Jangan tuduh aku macam tu. Aku ikhlas sayangkan dia. Aku tak bohong.” Nizam bersuara perlahan, namun tegas. Cuba mendapat pengertian dari Rizal. Rizal tak seharusnya menuduhnya begitu. Hatinya benar-benar sayangkan Emy Nazira. Jika tidak, hidupnya takkan jadi tidak menentu tanpa gadis itu.

“Kau sayangkan Emy? kau demam ker atau dah hilang akal? kau sedar tak apa yang kau cakap ni Uda? Tunang kau Liza tu apahal pulak? Hello kawan! Fikirlah sikit yang kau tu dah bertunang. Kau tu TUNANG ORANG! Lainlah kalau kau tu single lagi. Rizal sengaja menekankan perkataan tunang orang supaya Nizam menyedari kesilapannya.

“Kenapa? kalau aku tunang orang, aku tak ada hak untuk jatuh cinta lagi? perasaan tu bukan aku yang nak... tapi datang sendiri. Hukum mana yang mengatakan orang yang sudah bertunang tak boleh jatuh cinta? Ada dalam hadis ker? ada dalam Al-Quran ker? Aku ada hati dan perasaan. Dan aku tak mampu nak tolak perasaan tu,” Nizam mula menjawab.

“Banyaklah kau punya perasaan, kau tu tamak sebenarnya…” Ujar Rizal dengan muka mencebik.

“Tak kena batang hidung sendiri bolehlah cakap, cuba kau yang kat tempat aku, kau sendiri pun tak tau apa nak buat.” Nizam bersuara lagi.

“Aku tak tahulah dengan kau ni, tunang dah ada pun masih main cinta dengan orang lain. Kalau dengan tunang sendiri kau tak jujur, apatah lagi pada Emy. Elok kau tak payah bertunang dulu.” Suara Rizal mula meninggi. Jawapan Nizam dirasakan terlalu pentingkan diri sendiri.

“Tulah masalahnya…kalau aku cakap pun kau takkan faham. Aku malaslah nak cakap pasal ni lagi. Aku nak tidur dulu. Esok nak kerja pagi.” Nizam bangun dari sofa menuju ke bilik dan biarkan Rizal termangu dengan sikap Nizam. Rizal menggelengkan kepalanya tanda tak faham.

Nizam bangun sambil mengenyehkan matanya. Sudah dua hari Hisyam tidak berkerja. Masuk hari ketiga, kalau dia tidak dapat datang jugak, kemungkinan dia akan dibuang kerja. Nizam mencapai handphone di tepi bantal, ada lapan panggilan tak berjawab. Ditekan dengan pantas, dengan harapan panggilan tersebut datangnya dari Emy Nazira tetapi nama yang tertera membuatkan Nizam terasa ingin membalingkan handphonenya ke dinding. Hatinya benar-benar terluka dengan keputusan Emy Nazira meningalkannya. Tidakkah Emy Nazira terfikir walau sedetik betapa sengsaranya dia? Sudah hampir 8 bulan Emy Nazira menghilangkan diri tanpa khabar berita. Begitu cepat segalanya berubah. Lupakah Emy Nazira dengan segala janji-janjinya selama ini? Segala kenangan manis bersama Emy Nazira menerpa di ruang matanya. Senyumannya, tawanya, rajuknya, tangisannya… Nizam benar-benar rindu akan semua tu. Hisyam kemudian mencapai tuala dan menuju ke bilik air.

“Kau tak kerja ke hari ni…? Mali yang tiba-tiba berada di belakang Nizam bertanya. Nizam memandangnya sekilas. “Nak pergi kerja la ni... tak nampak ker aku nak mandi?” Jawab Nizam acuh tak acuh. Mood hendak berkerjanya hilang andai Emy Nazira terus menyepikan diri. Atau perkataan paling tepat selama Emy Nazira telah meninggalkannya. Mali menggelengkan kepala melihat telatah Hisyam.

“Orang lain pun bercinta jugak. Ada awek, tapi takdelah macam kau. Orang pasang satu, kau nak pasang dua. Romeolah konon! Bila dah kena tinggal, macam anak ayam kehilangan ibu.” Sindir Mali kemudian.

“Kau ni apahal? Aku susahkan kau ker? Aku nak bercinta sampai dua ke, sepuluh ke, seratus ke, itu aku punya pasal. Kau tak payah nak sibuk-sibuk.” Mali terdiam. “Apsal kau takut aku tak bayar duit sewa rumah ker nanti. Dapat gaji aku bayarlah.” balas Hisyam. Nada suaranya meninggi. Nizam memulas tombol pintu bilik air dan menghempaskan pintu dengan kuat.

“Yang kau pergi kacau Uda pagi-pagi buta kenapa? Kau tak tahu ke semenjak dua menjak ni dia tu dah lain macam sikit. Sensitif. Tak boleh nak diusik langsung.” Rizal yang baru turun dari tangga memandang Mali. “Mana aku tahu. Aku Cuma usik sikit jer.” Mali mengangkat bahu tanda tak bersalah. Mereka kemudiannya ketawa.

“Kau dah siap ke?” Rizal mencapai helmet kemudian mencampakkan kepada Mali. Mali menganggukkan kepalanya. “Uda kitorang pergi kerja dulu” Laung Rizal.


****************************

Kisah Nizam dan Emy Nazira

Nizam tahu hati Emy Nazira benar-benar terluka saat ini. Andai masa dapat diundurkan semula, dia tidak akan sekali-kali membuat Emy Nazira menangis. Nizam sendiri tidak menyangka bahawa dia akan cepat jatuh cinta pada Emy Nazira tanpa menyedari statusnya sebagai tunang orang. Airmata yang mengalir di pipi Emy Nazira, seumpama hujan kaca yang jatuh dari langit melukai seluruh badannya. Kalau boleh biarlah dia terus berbohong, andai itu yang dapat membuatkan Emy Nazira akan terus berada di sisinya. Ketawa dan sentiasa tersenyum. Mengenali gadis itu membuatnya belajar apa erti cinta yang sebenar. Dia bersumpah akan membahagiakan gadis itu. Demi TUHAN! Dia benar-benar cintakan Emy Nazira. Percayakah akan Emy Nazira segala perasaan yang ada ini adalah untuknya.

Baru Nizam tahu mengapa Emy Nazira tiba-tiba berubah sikap. Rupanya rahsia yang disimpan selama ini telah terbongkar. Nizam tidak tahu mana Emy Nazira tahu tentang semua itu. Namun benarlah kata pepatah “sepandai tikus menyorok, akhirnya terkena perangkap jua” dan Nizam tahu dia adalah tikus tersebut. Dia tidak berani untuk berdepan dengan kenyataan. Dia juga tidak sanggup kehilangan kedua-duanya. Benarkah seperti yang dikatakan oleh Rizal bahawa dia tamak dan pentingkan diri sendiri? Hisyam benar-benar buntu. Masih terngiang lagi ditelinganya kata-kata terakhir dari Emy Nazira Tiada kata-kata manis. Tiada gurau senda. Yang ada hanyalah tangis dan duka.

“Sampai hati Nizam buat Emy macam ni. Apa salah dan dosa Emy hingga Am tergamak tipu Emy selama ni? Kenapa baru sekarang Syam nak beritahu bahawa Am adalah tunangan orang?” Soalan Emy Nazira yang bertalu-talu begitu menyesak jiwanya. Nizam mengeluh perlahan.

“Jawablah Am... kenapa buat Emy macam ni...? sedangkan Syam tahu betapa Emy amat menyayangi Am…” Airmata Emy Nazira mengalir laju. Kebisuan Nizam membuat hatinya bertambah pilu. Dia perlukan penjelasan dari Nizam. Emy Nazira memandang tepat ke arah anak mata Nizam yang berwarna coklat koko. Emy Nazira tidak tahu apa yang membuatkan dia tertarik pada Nizam kali pertama mereka bertemu dulu. Namun yang pastinya Nizam adalah lelaki yang dicari selama ini dalam hidupnya. Kadang -kadang Emy Nazira terfikir, mengapa hatinya tidak pernah rasa ingin bercinta. Rupanya TUHAN ingin mengenalkan Nizam padanya. Tapi andai benar Nizam adalah jodohnya, mengapa Tuhan tidak ciptakan Nizam untuknya? Ujian apakah ini yang telah engkau berikan padaku Ya Tuhan!

“Kenapa Emy desak Am? Am tak mahu melukakan hati Emy sebab tu Am terpaksa merahsiakan semuanya.” Nizam meraup mukanya dengan kedua belah telapak tangan. Ada kesal yang tak terhingga bermukim di hatinya.

“Hati Emy dah cukup terluka dengan kebenaran ini Am. Cepat atau lambat, Emy dah tahu sekarang. Cuma yang Emy tak tahu apa yang harus Emy buat sekarang.” ujar Emy Nazira menyembunyikan sisa-sisa airmata. Semuanya telah berlaku. Dan kini dirinya terasa diperbodohkan selama ini. Andai dia tahu lelaki yang di sanjung dan dipujanya adalah tunangan orang, akan dinasihatikan hatinya agar tidak jatuh cinta dengan lelaki itu.

“Maafkan Am, Emy...” Nizam pantas mengesat airmata yang masih tidak henti mengalir dari mata insan yang amat disayanginya. Hati lelakinya turut menangis ketika itu. Dapatkah Emy Nazira mengetahui apa yang ada dalam hatinya. Percayakah dia?

“Kenapa...?” Emy Nazira memandang Nizam. Hatinya masih meronta mahukan penjelasan yang lebih tepat dari Hisyam. “Kenapa Syam buat Emy terlalu sayangkan Am...?” tanya Emy Nazira. Matanya dialihkan menghadap tasik. Nizam kemudian menggengam jari-jemari gadis itu dan mengucupnya perlahan. “Kenapa Emy buat Am jatuh cinta dengan Emy?” Soal Hisyam kembali. Tangan Hisyam memegang dagu Emy Nazira menghadap wajahnya. Emy Nazira memandang Nizam dengan pelbagai rasa. Marah, sayang, namun tiada langsung perasaan benci. Yang ada hanyalah perasaan cinta yang kuat untuk lelaki itu. Sisa cinta.

Am...kenapa tuhan tidak takdirkan kita bersama?” Soal Emy Nazira dengan nada yang tersekat-sekat.. “Dan kenapa Emy lambat hadir dalam hidup Am...?” Soal Nizam semula. Dadanya terasa sebak dengan pertanyaan dari Emy Nazira.

“Am...sakit! sakit sangat...!kat sini....” tangannya menunjukkan ke arah dadanya. Di mana letaknya sekeping hati yang dah terluka. Tanpa disuruh Emy Nazira menangis semahu-mahunya dibahu Nizam. Nizam bukan untuk dirinya lagi.

“Am tahu...” Suara Nizam semakin tenggelam dalam esakan Emy Nazira yang tak berkesudahan. Kalaulah dia bisa membuat pilihan… Dan akhirnya, baju Nizam basah dengan tangisan.



****************************************





Kisah Emy Nazira.


Suhana memerhatikan tingkah laku Emy Nazira. “Minah sorang ni kalau buat keputusan tak fikir panjang betul!” rungutnya dalam hati. “Kang aku cakap salah. Tak cakap pun salah. macam mana ek?”

“Yang kau ni apahal? kehulu kehilir macam kucing nak beranak jer...” Emy Nazira memandang Suhana yang dari tadi tak betah. Dari duduk berdiri, dari berdiri berjalan pulak. Pening dia tengok.

“Kau ni serius ker ni Emy? dah habis fikir ker? Apa yang kau buat sekarang ni melibatkan masa depan kau tau tak?” Soal Suhana tiba-tiba.

“Hmm... dari tadi, yang kau macam cacing kepanasan ni sebab kau sibuk fikirkan pasal tu jer? kenapa kalau aku tak habis fikir, kau nak tolong fikirkan untuk aku ker?”

“Boleh jugak! sebab setahu aku kau sekarang dah tak rajin makan ubat...” Emy Nazira mengerutkan dahi tanda tak faham. “Makan ubat apa?” “Ubat sakit jiwa... sebab bila orang yang hatinya tak tenang, jarang buat keputusan yang betul. Kau pernah dengar tak orang tua-tua cakap 'ikut hati, mati...ikut rasa, binasa'” balas Sumarni selamba.

“Sejak bila pulak kau dah reti berperibahasa ni...? Banyaklah teori ko.” Emy Nazira tetap buat tak faham. Walau apapun peribahasa yang keluar dari mulut perempuan yang kurus keding kat sebelahnya lepas ni, dia tetap tidak akan berganjak dari keputusannya. Emy Nazira rasa itulah keputusan yang tepat.

“Kau sedar tak apa yang kau buat sekarang ni..?” Suhana memandang wajah Emy Nazira. Satu-satunya teman yang paling rapat selama dia bekerja bersama. Walaupun berbeza minat dan sering bertelingkah pendapat, namun tidak pernah ada jurang untuk mereka menjadi akrab.

“Sedarlah, aku tengah berkemas ni. Bukannya tengah tidur.” Balas Emy Nazira selamba. Sumarni mengambil barang-barang dari tangan Emy Nazira dan meletakkannya di atas meja. Dia memandang Emy Nazira dengan tajam. Jawapan Emy Nazira yang bersahaj membuat dia terasa geram. Emy Nazira mengerutkan dahi. “Apalagi Sue...? Cukuplah..aku dah taknak fikir apa-apa lagi. Aku dah letih nak mencari jawapan.”

“Ikut kata hati.” Tangannya diletakkan ke dada Emy Nazira.

Emy Nazira tersenyum sinis mendengar usulan temannya. Sejak bila kau berubah jadi pakar kaunseling untuk cinta ni?” Soal Emy Nazira. “Kau jangan nak tukar topik pulak ye…” Suhana kemudian memukul lengan Emy Nazira.

“Eh apa ni, sakitlah! Tak padan dengan kurus.” Emy Nazira menggosok lengannya yang dipukul oleh temannya.

“Taknak sakit, jawablah cepat.” Suhana pura-pura mengugut. Emy Nazira terdiam seketika.

“Entahlah…kadang-kadang tu bila aku fikir balik, sebab selalu ikut kata hatilah aku makan hati dan sebab ikut kata hatilah aku sakit hati. Aku dah cukup sengsara nak lalui semua ni. Dan for ur’ imformation, Cik Suhana Ramli selepas ni… aku akan belajar lupakan Hisyam. Aku akan belajar untuk teruskan hidup tanpa dia. Ini adalah keputusan terbaik yang aku dah fikirakan setelah didarab, dibahagi, ditolak dan dicampurkan.” Jelas Emy Nazira tenang. Namun didalam hatinya, hanya TUHAN yang tahu bagaimana remuknya ketika dia menuturkan ayat itu.

Emy Nazira memandang Suhana minta pengertian. Suhana mengeluh perlahan.

“Lupakan Nizam dan menerima orang lain untuk kau teruskan hidup kau? Kau tak rasa ke yang kau sedang tipu diri sendiri? Kau cintakan Nizam, tetapi akan hidup bersama orang lain untuk sepanjang hidup kau? Kau tak rasa bersalah ke Emy?” Suhana masih tak faham. Pada pendapatnya, bukankah cinta itu sesuatu yang harus dipertahankan? Andai cinta mereka sejati, Suatu hari pasti akan bersama.

“Habis..., kau nak aku buat apa Sue? Paksa Nizam putuskan pertunangan dan kemudian tunggu Nizam melamar aku? macam tu? ataupun kau harap aku akan jadi isteri kedua dia? Pilihan yang mana aku ada selain ini? Nizam tu hak orang. Aku cuma mengikut arah takdir yang telah Tuhan rencanakan untuk aku, Sue. DIA cuma pinjamkan Nizam untuk aku sementara sebelum aku mengenali jodoh aku yang telah ditetapkannya. Supaya aku belajar dulu bagaimana mahu menghargai seseorang dalam hidup kita dan kepada siapa yang kita harus letakkan rasa cinta itu. Siapa kita nak melawan kehendakNYA kan? Dan, aku harus belajar menghargai seseorang yang lain itu dalam hidup aku tu. Tuhan tu MAHA adil. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang aku alami.” Emy Nazira menundukkan kepalanya, menahan air jernih dari terus mengalir. Betapa sukarnya dia untuk menerima sebuah kenyataan.

“Kau yang sedang mencipta takdir kau sendiri, Emy. Nizam cuma bertunang, dia bukan suami orang. Kalau jodoh dia kuat dengan tunang dia, mungkin diorang akan berkahwin. Tapi jika tidak? bukankah banyak hati yang merana? Kau fikirlah sendiri. Betul..., jodoh, ajal, maut itu semua kat tangan Tuhan tetapi sebagai hamba kita diminta supaya berusaha bukan berserah segalanya pada takdir.” Suhana memeluk teman yang dianggap lebih dari sebuah persahabatan. “Setiap orang mahu yang terbaik dalam hidup masing-masing. Dan sebagai kawan, aku juga mahu yang terbaik dalam hidup kau.” Suhana bersuara lagi.

“Thanks Sue...” Emy Nazira menarik nafas dalam-dalam. Cuba mengumpul kekuatan yang masih bersisa.

“Eh, nanti...sunyilah aku kalau kau tak ada ek...?” Suhana menukar topik sambil membelek-belek barangan Emy Nazira yang sedang dimasukkan kedalam kotak.

“Kau ni banyak bunyilah Sue... daripada kau tercongok kat situ, lebih baik kau tolong aku berkemas. Dapat jugak pahala.” Emy Nazira menjeling geram. Pura-pura marah.

“Lepas tolong kau ni, bolehlah belanja aku KFC ek…” Suhana tersenyum lebar.

“Kau ni tolong pun belum, dah minta upah. Tak ikhlas langsung,” Emy Nazira mengusik.

“Eh, aku ikhlaslah… sajer jer” Suhana mencebik. “Poyo!!!”


*******************************

Aku sudah terlalu jauh berlari. Mengejar sesuatu yang tidak mungkin menjadi milik aku. Namun aku tidak mahu kalah. Aku akan cuba hingga ke penamat, walaupun aku sudah terlalu letih dan penat. Akhirnya....aku berhenti dipertengahan jalan. Disitu, aku terus mengharap dan menunggu dia akan datang dan mempelawaku agar berlari beriringan bersamanya. Namun, pada saat itu aku bukan tidak daya lagi berlari, malah tidak manpu untuk merangkak. Hadir seorang lelaki yang bersedia menghulurkan tangannya kepadaku mengajakku berlari bersamanya. Haruskah aku mencapai tangan tersebut atau terus menunggu di situ...?

Rindunya pada Nizam terlalu mendalam. Bahkan Emy Nazira tidak mampu untuk terus hidup tanpa Nizam. Sudah 10 bulan dia meninggalkan lelaki itu. No handphonenya turut ditukar. Walaupun hatinya tidak pernah rela. Walaupun hatinya rindu. Dipendankannya. Semoga masa yang berlalu akan dapat merawat kelukaannya. Namun dia tahu keputusan yang telah dibuat adalah paling tepat. Biarlah waktu merawat kelukaannya. Emy Nazira sedar, terlalu sukar untuknya melupakan Nizam. Namun, tak semudah itu juga untuk dia menerima Nizam dalam hidupnya. Atau lebih tepat lagi, masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa Nizam adalah milik orang. Puas dipujuk hati, agar tabah menerima semuanya. Kalaulah dia tahu segala-galanya lebih awal, akan dinasihatkan hatinya, agar tidak jatuh cinta dengan Nizam. Kini segala-galanya sudah terlambat. Bagaimanakah lagi mahu dipujuk hatinya agar memahami. Hatinya tidak pernah berbohong pada tuannya. Saat kali terakhir dia bertemu Nizam, ingin di jerit pada dunia, agar mereka dapat mendengar suara hatinya bahawa dia terlalu menyintai Nizam. Emy Nazira membelek semua gambar sewaktu bersama Nizam. Sehingga hari ini Emy Nazira tidak mampu melupakan Nizam.

***********************************
Pintu dari luar diketuk. Rasidah masuk tanpa disuruh.

“Dah pilih ke warna baju nak bersanding nanti?” Emy Nazira sekadar menggeleng kepala. Gambar-gambar Nizam disorok ke bawah bantal. Mak pasti melenting jika tahu gambar Nizam masih dalam simpanannya.

“Masa nikah elok ambik warna putih. Lambang kesucian. Biar hati tu bersih. Masa bersanding nanti terpulanglah kalau Emy nak buat warna pink. Andam mak dah tempah. Mak ambik kat tempat yang sama masa Elly kahwin hari tu. Cantik-cantik gambarnya mak tengok. Mesti cantik anak mak masa bersanding nanti. Bunga telur kita pilih tiga warna. Warna pink, cream, dan putih. Mak ikut warna masa kau bertunang hari tu warna cream, nikah putih, time bersanding warna pink.” jelas mak lagi.
Aku tersenyum mengangguk. Tanda setuju dengan pilihan emak. Aku kini sudah bergelar tunangan orang. Terasa cepat masa berlalu. Bagaimana keadaan Nizam sekarang ni? Bahagiakah dia tanpa aku? “Kamu ni dengar tak apa mak cakap? Dah nak jadi isteri orang tak elok berangan. Nanti tak tahu nak bezakan mana garam dengan gula. Nak bancuh kopi terbubuh garam, nak masak terbubuh gula. Apa mak nak jawab pada keluarga Hakimi nanti.       

“Apa mak cakap ni? Emy dengarlah... Emy cuma fikir cukupke kad undangan yang dah ditempah nak bagi pada kawan-kawan nanti. Kalau tak cukup, lecehlah nak pergi dua tiga kali buat lagi,” Emy Nazira berselindung. Kemudian dia menguap. “Mengantuklah mak, nak tidur..esok nak kerja pagi.”

“Kamu tu, ada jer alasan kalau mak nak cakap. Nikah kahwin ni bukan boleh buat main-main... Nanti kalau dah kahwin, jangan…”

“Mak...pleaselah… dah malam sangat ni. Mak tu yang datang tak kena masa. Orang nak tidur, baru nak ajak cakap. Esok kita bincang lagi pasal ni ye...” Emy Nazira buat muka mohon simpati. “Selalu balik kerja, alasan kamu penat. Bila dah malam , mengantuk nak tidur. Bila ada masa nak bincang?” Bidas emak tak berpuashati.

“Ahad kan ada…?” Emy Nazira mengangkat keningnya.

“Bukan selalu kamu ot ke? Nak kahwin macam nak taknak jer. Kamu jangan nak malukan keluarga kita. Mak dah buat macam-macam persiapan untuk kau,” Emak mula meninggikan suaranya.

“Mak ni sampai kesitu pulak… esok kita bincang lagi ye mak…” Emy Nazira mengeluh berat selepas emaknya melangkah keluar. Ya Allah, berilah aku petunjukmu.

Emy Nazira keliru samada harus meneruskan ataupun tidak. Dia tidak mahu tersilap langkah. Bunyi deringan handphonenya membuat Emy Nazira tersentak. Nizam? Mana lelaki itu dapat nombornya?


********************************



11.00 p.m, sabtu 18 Jun 2002

Emy Nazira menyapu air jernih yang mengalir di pipinya. Terasa bajunya ditarik. “Mama, mama...” Suara puterinya, memanggil. “Hmmm…ada apa ni sayang… kenapa anak mama tak tidur lagi ni? Soalnya pada Emelda Dasira. Anak kecil yang berusia 4 tahun setengah. “Kenapa mama menangis? Mama buat apa tu?” Lincah suara anaknya bertanya. “Mama buat kerja sikit. Papa mana?” Soal Emy Nazira kemudian. “Abang ada. Puas dah abang pujuk dia tidur, tapi dia cakap nak dengar cerita mamanya sebelum tidur. Sayang menulis lagi ker, dah lewat ni. Sambung esok ye…” Emy Nazira memandang wajah jernih Hakimi yang telah menjadi suaminya. Lelaki yang telah dipilih menjadi nakhoda dalam sebuah kapal, yang sedang dinaiki bersama dengannya. Dia tidak lagi merasa takut andai tersasar haluan.

“Mari, puteri comel mama… kita masuk tidur. Mama akan bacakan satu cerita untuk mel,” Emy Nazira sekadar tersenyum melihat gelagat anaknya. Sebelum masuk ke bilik, dia sempat memandang ke arah suaminya yang juga tersenyum. Matanya turut terarah kepada komputernya yang cerpennya tidak habis lagi ditaip. Tetapi sudah punya kesudahan. Nizam sudah lama pergi dari hidupnya. Kali terakhir, dia menerima panggilan dari Nizam, dia telah diberitahu akan kematian Nizam akibat kanser perut. Semoga roh Nizam tenang di alam sana. Apakah lelaki itu sekadar bayang-bayang, yang pasti hilang. Saat mentari tenggelam disembunyikan awan hitam. Tetapi, lelaki yang bersamanya kini mungkinkah pelangi. Yang muncul setelah awan hitam itu pergi.

No comments: