CERPEN: Aku, Waktu Dan Keretapi Itu

Cerpen
Aku, Waktu Dan Keretapi Itu

Oleh Sharifah Norbaizura bt Syeid Mhd Safie


Di ANTARA aku dan waktu memang terlalu banyak bezanya. Ini kerana waktu sentiasa patuh pada putaran yang telah ditetapkan. Manakala aku pula lewat dan sentiasa terlewat untuk menepatinya. Malah jauh sekali untuk mendisiplinkan diri bersama waktu. Adakalanya aku pula yang terkejar-kejar waktu. Sedangkan dalam Surah Al-Ansar , Ayat 193:3 yang bermaksud-Demi masa. Maka ALLAH telah berfirman, Demi masa, Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan yangmengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling berpesan demi kesabaran. Bermakna aku adalah orang yang rugi dalam waktu. Aku kurang faham. Atau sebenarnya aku kurang bijak untuk memahaminya. Samada waktu itu terlalu mahal untuk dibeli ataupun belilah waktu supaya kita tidak akan rugi? Setelah ditolak, ditambah, didarab dan dibahagi, aku mula faham apa sebenarnya konsep yang dimaksudkan dalam rugi tersebut. Dan kita termasuk dalam golongan yang merugikan sekiranya tidak tahu menghargai waktu.

Bermula dari memahami konsep waktu itulah, aku mula muhasabah diri. Aku mula menetapkan jadual agar aku mula mendisiplinkan diri dengan waktu. Dalam seminggu ada tujuh hari. Dalam sebulan ada tiga puluh satu hari. Dalam setahun ada dua belas bulan. Dalam satu hari ada dua puluh empat jam, Dalam satu jam ada enam puluh minit, Dan dalam satu minit ada enam puluh saat. Dalam satu saat bersamaan dengan sedetik degupan jantung kita. Di situlah aku mula menghitung waktu. Betapa selama ini aku terlalu banyak kerugian dalam hidup, yang aku tidak dapat tebus hatta dengan wang ringgit mahupun emas permata. Oleh sebab itu masa itu dikaitkan dengan emas. Emas adalah benda yang paling berharga. Dan masa juga adalah sesuatu yang berharga sekiranya kita tahu menghargainya. Bertahun-tahun aku hidup dengan mengabaikan waktu. Mampukah aku tebus balik harga diri aku yang telah hilang kerana tidak tahu menghargai waktu? Pernah dengar tentang “Ingat LIMA Perkara sebelum datangnya LIMA perkara” Iaitu masa lapang sebelum sibuk, Masa sihat sebelum sakit, Masa Muda sebelum tua, Masa kaya sebelum miskin, dan masa hidup sebelum matimu. Kekayaan boleh dimiliki sekiranya berusaha, penyakit boleh disembuhkan sekiranya berubat, namun sekiranya masa terbuang tidak akan dapat diganti ataupun dicari semula. Ada sesetengah orang menganggap waktu hanya sekadar nombor untuk menentukan umur kita, ada orang menganggap waktu sekadar masa untuk kita mengingati kisah silam mahupun masa hadapan. Ada orang menganggap waktu itu sekadar putaran masa yang tidak akan berhenti. Apapun jua anggapan-anggapan kita, waktu itu sangat bermakna sebenarnya. Dan satu cerita pun bermula, di mana aku mula menghargainya-WAKTU.
Aku merenung jam dipergelangan tangan. Aku merasakan jarum jam agak lambat berputar. Aku mengira-ngira perjalanan yang bakal ku tempuh nanti mengambil masa kira-kira dalam dua belas jam dalam keretapi. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Aku pasti akan merasa bosan sepanjang perjalanan nanti. Aku mengeluh. Beg yang ku sandang dibahu mula terasa beratnya.

Aku kemudiannya meletakkan dua buah beg sandangku ke sisi. Aku memandang sekeliling, mataku liar memerhatikan setiap sudut. Tiada kerusi kosong. Semua kawasan penuh dengan setiap ragam masing-masing. Yang mungkin menanti keretapi ke destinasi yang sama barangkali.

Huh..! sekali lagi aku mengeluh. Sesungguhnya aku tidak berapa gemar dengan tempat atau keadaan yang terlalu sesak begini. Angin aku mudah tidak menentu. Ditambah dengan cuaca yang panas terik, dan bunyi bising membuatkan aku terasa pening. Rimas. Bunyi suara percakapan mereka semakin kurang jelas dan sukar di fahami. Laju macam keretapi. Itulah perumpamaan yang sering digunakan oleh masyarakat. Peluhku mula menitik didahi. Baju di bahagian belakangku mula terasa basah. Kalau tidak kerana keretaku yang tiba-tiba mengalami kerosakan, aku tidak perlu bersesak-sesak begini. Badanku terasa sakit apabila ditolak oleh seseorang dari arah belakang. Aku mengaduh kesakitan.

“Maafkan saya saudara, saya tidak sengaja.” Suara seorang lelaki yang memakai baju kemeja dan sepasang seluar yang agak lusuh berwarna putih, yang ku kira tua sedikit dari umurku memohon maaf. Tekaanku tadi berdasarkan dari raut wajahnya yang agak matang. Aku memandangnya sekilas sambil memegang pergelanganku yang terasa sakit akibat tolakan tadi.

“Maafkan saya sekali lagi” suaranya agak kuat sedikit berbanding tadi. Mungkin lelaki tersebut menyangka bahawa aku tidak mendengar kata-kata maaf darinya hingga terpaksa memohon maaf dariku sebanyak dua kali diatas kesilapan yang tidak disengajakan. Atau disebabkan aku berdiam diri dan tidak memberi apa-apa tindak balas di atas huluran maaf tersebut.

“Tak mengapa” Balasku menyedari kesilapanku. Aku merasa sedikit janggal dengan situasi seperti itu, membuat orang lain berasa serba salah di atas kesilapan yang sekecil itu. Aku sedia maklum dengan keadaan yang agak sesak begini, segala kemungkinan boleh berlaku. Aku memandang kedua belah tangannya yang sarat dengan dua buah beg besar sepertiku. Tapi lebih besar sedikit dari begku. Yang ku kira kalau disandang di atas bahu, boleh patah bahuku. Tubuhnya juga agak besar sedikit dariku, membolehkan tangannya mengangkat dua buah beg yang besar tadi. Urat dipergelangan tangannya kelihatan timbul; nampak berat. Letak batu barangkali. Aku ketawa dalam hati.

“Saya Harun, dari Kampung Baru.” Lelaki itu memperkenalkan diri tanpa dipinta. Tangannya dihulurkan sebagai tanda perkenalan.

“Saya Saiful, dari Petaling Jaya” balasku mesra. Aku menyambut tangan lelaki tersebut dengan perasaan yang aneh. Dalam keadaan cuaca yang panas terik, tangan lelaki tersebut agak sejuk. Seolah baru keluar dari peti ais.

“Tangan saya agak sejuk kerana baru lepas memegang air botol mineral water yang sejuk tadi. Maaf jika buat saudara rasa kurang selesa.” Ujarnya sambil menunjukkan botol air mineral yang berada di bahagian poket beg sandngnya itu. Mungkin dia cuba menjelaskan kedudukan seolah mengetahui apa yang aku fikirkan.

“Oh begitu, tak mengapa,” balasku kemudian sambil tersenyum. Aku kembali memerhatikan keadaan sekeliling. Cahaya mentari semakin menunjukkan kuasanya. Aku semakin lemas dan rimas jika keadaan terus seperti itu. Bunyi tangisan bayi, suara orang bergelak ketawa seolah ada cerita yang lucu sedang diperdengarkan, suara seorang ibu sedang memarahi anaknya, suara sepasang kekasih yang sedang bertengkar barangkali, semuanya menjadi satu. Tapi yang pastinya tiada siapa yang mempedulikan satu sama lain. Mataku kemudian memandang susuk tubuh seorang tua yang bersandar di sebalik sebuah tiang. Aku melihat seolah-olah dia merenung ke arahku. Adakah perasaan aku sahaja atau sebenarnya ada yang tidak kena pada pandangan orang tua tersebut. Bila aku memandang kepadanya, dia seolah cuba melarikan matanya dari memandang ke arahku pula. Membuat aku menjadi serbasalah. Umurnya ku agak kira-kira sebaya dengan abahku mungkin. Aku tiba-tiba mengingati abah dan ibu yang berada di kampung. Sudah 3 tahun aku tidak pulang kekampung. Kerja yang tidak pernah sudah membuat aku tidak punya waktu untuk berbuat demikian. Kadangkala puas ku cari masa yang ada untuk menjenguk ibu, namun beban kerja yang semakin hari semakin sarat membuat kakiku terasa diikat. Panggilan dari ibu seminggu yang lalu, membuat aku mula meronta-ronta ingin segera pulang kekampung merasa masakan air tangan dari ibu, yang bagi aku tiada tandingannya. Masih ku ingat lagi seraut wajah yang tenang yang membuat aku selalu rindu akan wajah itu. Ibu yang mana, selalu membela aku dari segelung rotan panjang dari arwah abah akibat tidak dapat melagukan bacaan Al-Quran dengan lancar dan dengan mengikut hukum tajuwid dengan betul. Menyebabkan aku telah dapat mengkhatam Al-Quran sebanyak 3 kali. Bukan itu sahaja, malah rotan itu juga pernah memakan tubuh aku sewaktu aku mandi di sungai dan balik agak lewat malam kerana pergi mencuri sedikit buah jambu merah di kebun Pak Dollah. Cuma sedikit sahaja. “Pak Dollah tu kedekut sangat abah, sebab tu Epul ambik sedikit.” Jawabku sewaktu arwah abah bertanya mengapa aku mengambil sesuatu yang bukan hakku. Tapi rotan itu pula memakan badan aku amat banyak. Tidak berbaloi dengan apa yang aku sudah ambil dan makan. Hingga tidak ada ruang lagi tempat untuk dirotan. “Mengambil sesuatu yang bukan hak kita, tetap dikira mencuri.” Jelas abah dengan tegas. Dan sejak itu aku tidak berani lagi mengambil buah jambu tersebut, malah ketika lalu di kawasan kebun Pak Dollah segera aku memalingkan muka. Gerun rasanya membayangkan semula rotan panjang abah. Ibu yang selalu memberi semangat ‘tika aku dilanda resah dalam membuat keputusan. Ibu yang selalu memberi nasihat ‘tika aku sering dilanda masalah-masalah duniawi yang tidak pernah berhenti menghantui. Ibu yang selalu memeluk aku ‘tika menangis apabila sesuatu yang aku minta dari arwah abah, tidak dapat ditunaikan- Sebuah motorsikal besar dan berkuasa tinggi. Aku memandang ibu sambil menangis. Ibu akan segera memujuk aku. Satu-satunya anak yang dia ada. Juga aku tidak pernah lupa, batuk-batuk keras dari abah sewaktu abah memberikan wang simpanannya kepada aku agar dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. “Abah tidak mahu memanjakan Epul dengan membeli sebuah motosikal sebab abah mahu Epul menjadi orang yang sebenar-benarnya orang bernama manusia.” Kini aku telah faham apa maksud abah. Bukan kerana abah tidak mampu, ataupun kedekut seperti Pak Dollah, atau juga kerana tidak sayangkan aku. Tetapi mahu aku menjadi lebih dari seorang orang. Iaitu menjadi manusia.

“Jauh Saudara Saiful mengelamun?” Teguran dari Harun membuat aku tersentak. Aku terlupa bahawa aku tidak bersendirian lagi.

“Maafkan saya, cuma teringat ibu dan abah di kampung. Sudah agak lama saya tidak menjenguk mereka.” Aku segera memohon maaf diatas kelalaianku.

 Harun tersenyum. “Kampung saudara dimana?” Dia kelihatannya ingin terus berbual denganku.

“Panggil Saiful saja, kalau dalam kiraan saya tentu saudara lebih tua umurnya dari saya, kan? Jadi boleh saya memanggil saudara Abang Harun?” Lelaki itu tersenyum sambil mengangguk.

“Saya mungkin lebih tua dari kiraan saiful sebenarnya” katanya kemudian. Kali ini dia tidak sekadar tersenyum, tapi ketawa dengan agak kuat. Aku mengerutkan dahiku, memikirkan semula antara dialog perbualan kami, samada lucu atau tidak yang membuatkan lelaki yang bernama Harun itu ketawa dan apa maksud disebalik kata-katanya. Setelah berhenti ketawa, lelaki yang ku panggil Abang Harun itu segera dan memohon maaf sekiranya aku tidak menyenangi caranya. Dia kemudiannya bertanya soalan yang belum sempat aku jawab tadi.

“Kampung saya di Gua Musang.” Jawabku.

 “Abang pula mahu kemana?” Sekali lagi dia tersenyum.

 “Ah, kebetulan kita sama destinasi” jelasnya. Kali ini kami sama-sama tersenyum. Aku menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya aku tidak akan cepat merasa bosan sepanjang perjalanan nanti.

Entah kenapa keretapi yang ku tunggu terasa lambat. Aku merenung wajah rakan baruku disebelah. Dia kelihatan tenang tanpa menghiraukan keadaan cuaca yang semakin panas. Mataku sekali lagi meliar mencari kalau-kalau ada sebuah kerusi kosong, ataupun barangkali sedikit ruang kosong untuk kulepaskan lelah dan penat berdiri. Namun hampa.

“Penat?” Teguran yang bersahaja datangnya dari lelaki bernama Harun, membuat aku sedikit malu. Aku sakadar mengangguk, membenarkan apa yang di tanya. Mungkin dia dapat menangkap segala pergerakkanku yang tidak selesa dari tadi. Tiada sedikitpun ruang untuk aku berlindung dari cahaya mentari yang semakin meninggi.

Bunyi siren kedengaran. Aku menarik nafas lega. 10 minit aku berada di dalam keretapi. Aku tidak sabar ingin memejamkan mata. Badanku sudah terlalu letih. “Saya pulang kekampung ada sebab” Harun memulakan cerita secara tiba-tiba. Aku kembali membuka mataku yang hampir terpejam. “Ada perkara yang perlu saya selesaikan,” Jelasnya masih lagi dalam keadaan tenang.

Aku mengangguk. “Ah, apa salahnya jika aku menemaninya berbual sebentar, lagipun masa masih panjang lagi. Bisikku di dalam hati. Aku kemudian membetulkan dudukku dan memandang kepada Harun.

“Lama saya tidak pulang ke kampung macam saiful. Jadi saya pulang kerana ingin menjenguk kubur arwah ibu dan ayah saya. Selain itu saya ingin menunaikan wasiat arwah ayah yang meminta saya menjenguk keadaan rumah dalam sebulan sekali. Ataupun, bila-bila masa sahaja sekiranya saya mempunyai waktu yang terluang dan berkesempatan. Yang menjadi hairannya saya, selepas arwah pergi, saya mempunyai banyak sangat waktu untuk pulang ke kampung berbanding semasa hayat kedua mereka masih ada. Dan sehingga kini, itulah yang saya dapat lakukan sebagai membalas jasa mereka yang tidak terhingga. Kadang-kadang timbul kesal di dalam hati saya kerana tidak dapat meluangkan masa bersama mereka semasa mereka masih hidup lagi di dunia ini.” Harun menarik nafas dalam-dalam.

Aku membandingkan situasi Harun dengan situasi aku sekarang. Memang tidak ada jauh bezanya. Mungkin jika tidak kerana panggilan dari ibu 3 hari yang lepas yang menyuruh aku pulang tergesa-gesa, agak mustahil aku dapat pulang ke kampung kerana jadual kerja yang padat. Aku memandang wajah lelaki di hadapanku. Ada nada kesal yang tidak terhingga. Riak tenangnya sebentar tadi hilang dan timbul wajah yang sugul.

 “Saya harap saudara, tidak akan jadi seperti saya.” Kata-kata Harun membuatku tersentak.

 Aku mula rasa takut. Moga sempat aku berjumpa ibu dan abah dan dia sentiasa sihat. Doaku di dalam hati. Selepas berbual beberapa lama, akhirnya aku meminta maaf. Keadaan begini menjadikan aku terasa ingin tidur. Memandangkan perjalanan agak lama dan aku masih terasa letih berdiri. Sebelum aku memejamkan mata, aku terlihat orang tua yang aku nampak di stesen tadi merenungku. Pandangan matanya seperti tadi. Menjadikan aku lemas di perhatikan begitu. Aku mula bangun dan menuju kearahnya.

 Lelaki tua itu berjalan mendekatiku setelah melihat aku bangun, “Pakcik, duduk di kerusi mana? Sekejap lagi keretapi nak jalan dah…” Aku menegurnya dengan sopan. Mungkin pakcik ini mencari seseorang. Fikirku kemudian. Pakcik tersebut memandang ke arahku kemudian merenung bahagian belakangku.

“Anak berbual dengan siapa tadi? Dari tadi pakcik lihat anak bercakap sorang-sorang,” Aku tersentak dengan soalan tersebut. Aku bercakap sorang-sorang? Buta atau tidak waras ke orang tua ni.

 “Saya bercakap dengan kawan saya.,” Lelaki tersebut hanya tersenyum mendengar jawapanku. Aku merasa sedikit janggal dengan caranya. Walaupun rasa tak sedap hati dan terasa ingin marah, aku masih cuba menjelaskan.

“Dia ada di belakang…” Namun, bilaku toleh tiada siapa di situ.

Mana Harun ni.? “Mungkin kawan saya ke bilik air agaknya,” Jelasku walaupun aku tidak tahu kemana Harun pergi. Aku menoleh semula ke hadapan. Dan aku lihat pakcik tersebut juga tiada. Aku tercari-cari di kawasan tersebut. Pakcik itu mungkin tidak jauh tempat duduknya. Puas sudah ku cari, namun tak berjumpa. Badanku mula terasa seram sejuk. Aku duduk semula ke kerusi dengan rasa keliru. Kemana Harun dan kemana pakcik tadi. Aku kembali cuba memejamkan mata. Aku tersentak. Keretapi telah berbunyi tanda mahu beredar dan meneruskan perjalanan segera. Aku tercari-cari kelibat Harun. Tanpa sedar, aku merenung keluar tingkap. Aku lihat Harun sedang melambai-lambaikan tangnnya ke arahku. Dan disisinya adalah lelaki tua yang menegurku tadi. Sedikit sebanyak kata-kata berupa nasihat Harun terngiang-ngiang ditelingaku. Aku terduduk sambil menarik nafas panjang dengan situasi tadi. Siapakah mereka sebenarnya?

No comments: