Cerpen : Langsir Baru Emak.

MAJALAH KELUARGA OGOS 2011
Cerpen : Langsir Baru Emak.
Oleh : Sharifah Norbaizura bt Syied Mhd Safie


Sudah beberapa hari aku berkhayal memikirkan tentang emak. Tumbuh kerisauan di hatiku. Ku tenung lama telefon berwarna putih susu. “Nak telefon emak ke tidak ye…? Kalau telefon, perlu ke aku tanya. Emak ada apa-apa ke yang tak diberitahu pada aku,?” Aku bermonolog sendiri. “Jauh menung Anis, memikirkan macamana nak naik gaji ke? Jangan risau, bulan ni kita dapat bonus raya,” Gurau Kak Rohana, setiausaha ditempat aku bekerja sambil mengekek ketawa.

“Ke situ pula akak ni, Anis tengah fikir macamana nak tambah pahala bulan-bulan puasa ni.” Balasku bersahaja.

“Oh, akak ingat apa. Ingat kau nak tambah pendapatan. Kalau-kalau kau tetiba berniat nak menjual kuih pulak tahun ni.” Gurau Kak Rohana lagi.

“Anis ni kak, manalah pandai nak buat kuih. Nak menjahit pun tak pandai, buat kerja Anis ni jerlah yang Anis tahu. Kira-kira. Dahlah akak jangan ganggu Anis. Nanti silap Anis kira, saya cakap dengan bos yang akak kacau Anis buat kerja.” Ugutku pada Kak Rohana.

Kak Rohana sekadar mencebik. “Huh, ada akak kisah. Nanti bonus, kau jangan lupa belanja akak pulak, akak gegar kantin nanti tahulah,” Jawabnya sambil memberi amaran. Anis tersenyum melihat telatah Kak Rohana. Terlupa sekejap apa yang difikirkannya tadi.

“Kak Anis, emak mahu tukar langsir yang baru.” Jelas suara Atikah menyapa gegendang telingaku. Sudah tiga hari aku menerima panggilan dari Atikah, adik bongsuku yang baru tingkatan dua. Ini bermakna, sudah tiga hari jugalah aku mendengar cerita yang serupa daripada Atikah tentang emak. Tentang hasrat emak yang mahu menukarkan langsir yang lama kepada yang baru menjelang Hari Raya nanti. Menurut Atikah lagi. Setiap hari emak akan berbicara hal yang sama. Kalau boleh, biarlah kainnya nanti dari jenis yang mahal, bermutu tinggi dan lebih cantik dari yang ada di rumah jiran mahupun saudara-mara yang ada di kampung tersebut. Aku hanya tersenyum di balik telefon mendengar cerita daripada Atikah.

Aku sedar, kami sekeluarga bukanlah orang senang, namun sebagai anak perempuan sulung, aku tahu yang aku masih punya tanggungjawab untuk membahagiakan emak kerana ayah sudah lama pergi mengadap ilahi lima tahun yang lalu. Dalam diam, aku bersetuju dengan keinginan emak yang mahu menggantikan langsir yang lama kepada yang baru pada tahun ini memandangkan sudah empat tahun, emak menggunakan langsir yang serupa. Berwarna hijau lumut dan berbunga kecil warna kuning. Kalau diikutkan pada pendapatan aku, dapat rasanya aku membantu emak untuk tunaikan hasrat emak kali ini. Biarlah tahun ini, emak berbelanja lebih. Aku masih ingat, sewaktu kami sekeluarga pulang berhari raya di kampung pada dua tahun lepas, suamiku ketawa gelihati melihat lapik meja, alas kusyen, langsir dan sarung kusyen berwarna sedondon. Apabila aku bertanya kepada emak, dengan bersahaja emak menjawab sebagai menyahut kempen inflasi sifar. Tidak perlu membazir dan harus berjimat cermat. Namun kini, apa yang paling menjadi tandatanya dibenakku, ialah mengapa emak beria-ia mahu menukar langsir yang lama. Mungkin emak sudah bosan tekaku dan ingin lakukan perubahan. Namun, apa yang lebih menghairankan kali ini emak memilih warna merah merun. Jauh benar dari warna kegemaran emak.

Menurut Atikah lagi, emak mahu membeli langsir yang kainnya berkualiti, mahal serta bermutu tinggi. Tidak ada jimat cermatkah lagi dalam fikiran emak? Di mana kempen inflasi sifar yang sering emak pertahankan dulu. Atau ada apa-apakah yang istimewa pada hari raya kali ini? Segala persoalan hanya bersarang dalam fikiranku tanpa jawapan.

Hari ini genap hari ke-sepuluh umat islam berpuasa. Semalam telah aku maklumkan kepada Atikah tentang belanja bulanan yang telah kukirim. Aku tahu, kemungkinan Along tak akan beraya di kampung lagi pada tahun ini kerana asyik beraya rumah sebelah isterinya. Malas dan letih rasanya mahu memujuk Along pulang beraya. Belanja bulanan kali ini memang sengaja aku lebihkan supaya emak dapat membeli barang keperluan hari raya dan juga langsir baru emak. Aku berharap yang emak akan gembira menerima wang pemberianku. Sedang aku memasak di dapur, aku menerima panggilan dari Atikah lagi. Atikah mahu memaklumkan bahawa wang yang aku kirim telah selamat diterima. Namun, menurut Atikah, emak tidak mahu menggunakan wang pemberianku untuk membeli langsir barunya. Emak lebih rela memecahkan tabung arnab kesayangannya daripada mengguna wang yang aku beri. Ah emak, memang dari dulu sangat gemar menabung. Sikap jimat cermat itu tidak terhakis sehingga hari ini. Mendengar kata-kata dari Atikah membuat hatiku sebak. Apalah sangat yang aku berikan kalau hendak dibandingkan dengan pengorbanan emak dari kami kecil hingga dewasa. Masih aku ingat ketika kecil, emak selalu mengajar kami tentang berjimat dan menabung.

Lantas aku meminta untuk berbicara sendiri dengan emak. Selepas ganggang bertukar tangan, sayu aku mendengar suara emak dihujung talian mengucapankan terima kasih di atas pemberianku. Bila aku bertanya tentang langsir baru emak, serta merta suara emak bertukar nada dan ceria. Emak bercerita tentang warna, kain dan berharap bahawa kami sekeluarga dapat pulang berhari raya. Aku meletakkan telefon sebaik sahaja emak menamatkan perbualan kerana ada perkara yang ingin dilakukan. Hidungku tiba-tiba menangkap bau yang kurang enak. Ikan gorengku hangus di dalam kuali.

Dua malam berikutnya, sesudah balik dari solat terawih, aku meminta agar suamiku dapat mengambil cuti awal dan pulang awal ke kampungku kerana aku ingin berbuka puasa bersama emak. Aku juga sangat berharap Along Adnan, Arif, dan Amirah dapat pulang ke kampung pada tahun ini. Setelah berbincang suamiku setuju untuk mengambil cuti awal dan kuselitkan juga tentang hasrat emak yang mahu menukar langsir lama kepada yang baru.

“ Eloklah kalau emak awak ada niat begitu. Bukan apa langsir yang lama tu dah tak serupa langsir dah saya tengok. Dah macam kain pengelap lantai dan dah pudar sangat pun warnanya,” Ujar suamiku bersama senyuman sinis. Aku terdiam tanpa ada niat ingin menyambung perbualan dengan suamiku. Walaupun kata-katanya ada kebenaran, namun suamiku tidak ada hak untuk memperkatakannya. Aku merasa terkilan. Namun, rasa itu tidak cukup sekadar sampai di situ apabila melihat senyuman sinis yang berupa sindiran dan suamiku kembali menyambung kata.

“Saya pun tak sabar rasanya ingin pulang ke kampung dan melihat langsir baru emak awak tu,” Suamiku bangun menuju ke ruang tamu. Mungkin mahu menonton bola. Aku mengeluh perlahan dan berlalu menuju ke bilik Yasmin. Hatiku sedikit gusar memikirkan emak. Barangkali emak sudah membeli kain langsir yang diidamkan. Mungkin juga emak sedang membelek-belek kain langsir tersebut bersama Atikah. Atau mungkin juga emak sedang asyik menjahit kain langsir yang baru dibelinya. Ah, Aku hampir terlupa bahawa emak bermasalah rabun dekat. Cermin mata emak yang pecah juga belum sempat diperbaiki. Jadi, mungkin emak telah menempah awal-awal ke rumah Makcik Hamidah. Memandangkan hanya rumahnya sahaja yang mengambil tempahan langsir dan baju kurung. Mudah-mudahan murah rezeki Makcik Hamidah pada tahun ini. Walau apapun aku berharap emak akan gembira.

“Assalamualaikum… puteri mama dah tidur ke?” Aku menjenguk Yasmin yang sedang memegang sebuah buku.

“Belumlah ma… Mama belum bacakan buku cerita untuk min lagi,” rengek Yasmin, anakku yang kedua berusia 5 tahun. Anakku yang sulung , yazid berusia 8 tahun. Aku tersenyum lantas mendukung Yasmin keribaku. “Abang Long mana?” Soalku pada Yasmin tentang anak lelakiku yang satu. Yasmin angkat bahu. “Main game agaknya ma, Along tak bagi Min main.” Jelas Yasmin dengan wajahnya yang sedih.

“Sudah…, Mama tak suka tengok puteri mama sedih-sedih. Mari, mama bacakan buku, malam ni, min nak mama bacakan kisah apa?” Soalku sambil mencium lembut ubun-ubun Yasmin.

“Ni mama, bukunya.” Yasmin pantas menghulurkan buku yang ada ditangannya. Kisah Si Tanggang. Aku kemudiannya membacakan buku tersebut untuk Yasmin.

 “Mama Tanggang tu anak yang jahat ye ma?” Soal Yasmin. Anak ini memang amat gemar bertanya. Aku pantas menggeleng. Bagi aku definasi jahat tak harus diajar untuk anak sekecil Yasmin.

 “Bukan jahat, sayang. Tanggang cuma lupa diri. Bila dia dah sedar, dia akan sayang ibunya macamana ibunya sayangkan dia.” Jelasku membuat Yasmin tersenyum lebar.

“Min tak mahu jadi macam tangganglah mama. Min taknak lupakan mama. Mama pernah lupakan nenek tak,?’ Soalan Yasmin membuat aku terkedu. Aku menahan airmata daripada jatuh. Aku pantas menggeleng. “Tak sayang, mama tak pernah lupakan nenek. Tahun ni, kita beraya rumah nenek. Min suka tak?” Yasmin pantas bersorak riang.

“Tentulah Min suka mama. Min dah rinddu sangat dengan nenek. Dah 2 tahun kita beraya rumah opah, Min boringlah mama. Opah tu kuat membebel. Tak macam nenek yang suka tersenyum.” Jawab Yasmin sambil tersenyum lebar. Aku turut tersenyum mendengar pendapat anakku tentang nenek dan opahnya.

“Hisy… anak mama. Tak elok cakap macam tu. Kalau ayah dengar nanti macamana? Tentu ayah sedih dengar Min cakap macam tu.” Tanyaku sambil mengusap lembut rambut Yasmin.

Yasmin sekadar mencebik bibir. Sambil berbisik ditelingaku Yasmin berkata. “Ayah tu pun kuat membebel macam opah lah mama.” Aku terdiam.

Nampaknya anak kecil aku ini suka memerhati sikap seseorang. “Min dah mengantuk lah mama. Terima kasih sebab bacakan buku cerita untuk Min. Selamat malam. I love u mama.” Yasmin mencium pipiku kemudian berbaring. Aku menarik selimut Yasmin sambil mengucup pipinya. “I love u too sayang.”

Aku tiba awal iaitu dua hari menjelang hari raya. Akibat sibuk menyiapkan hidangan, Aku tidak sempat bertanya tentang kain langsir emak. Namun aku lihat ruang tamu semakin berseri. Sarung kusyen berwarna merah hati dan alas meja berwarna putih. Nampak kombinasi warna yang sangat menarik. Aku percaya Atikah pasti banyak membantu emak kerana dia sudah semakin dewasa. Tidak sangka esok dah nak raya. Tapi apa yang paling aku tidak menduga kepulangan Along Adnan sekeluarga, malah Arif dan Amirah juga pulang beraya pada tahun ini. Malam raya semua sedang sibuk menyiapkan juadah untuk esok.

Amirah sibuk menganyam daun ketupat. Dalam keluarga kami, Cuma emak, Along Adnan dan Amirah sahaja yang pandai menganyam. Kalau akulah yang menganyam, belum tentu jadi ketupat. Tapi, aku memang pandai memasak. Rendang, kuah lodeh, masak kurma dan masak merah, semua juadah aku yang menyediakan. Turut dibantu dengan Atikah. Tugas Arif pula, memasak lemang. Kuih-muih pada tahun ini, banyak yang kami beli. Maklumlah tahun ni, dah tak ada kempen inflasi sifar. Mungkin emak bekukan buat sementara waktu.

“Lawa langsir emak pada tahun ni. Warna merah lagi. Emak dapat duit kutu ke emak?” Suara Kak Diana memecah sunyi. Aku memandang isteri Along dengan rasa meluat. Dahlah jarang nak balik. Balik-balik, banyak pula bunyi. Aku melihat emak sekadar tersenyum mendengar soalan dari menantunya.

“Meriah raya tahun ni mak, siap tukar langsir baru, ada majlis besar ke tak lama lagi, Atikah nak kahwin ke?” Soal suamiku pula sambil ketawa dikuti dengan Kak Diana. Kenapalah mereka ni ada dalam keluargaku. Buat menyakitkan hati jer. Aku mengetap bibir tanda geram. Ada-ada saja suamiku ini. Aku memandang emak. Reaksinya masih seperti tadi. Seolah tak mendengar apa-apa. Balik-balik tersenyum, tersenyum, tersenyum dan terseyum lagi.

“Alhamdulillah, balik juga anak-anak emak semua pada tahun ini. Emak tak tahulah samada kamu semua balik mahu menjenguk mak yang sudah tua ni ataupun kerana langsir baru emak ni. Tapi apapun, emak sangat bersyukur kerana kita semua dapat berkumpul pada tahun ini. Lama rasanya anak-anak emak tak balik sekali. Kadang Achik ada, Along tak ada. Alang ada, Angah pulak yang tak ada. Jangan tiba-tiba semua balik, emak pula yang sudah tidak ada.” Jawab emak panjang tiba-tiba. Dalam nada bersahaja.

Aku tersentak. Along dan Kak Diana menundukkan wajah.. Ada rasa bersalah yang tidak terhingga. Melissa tunang Arif sekadar diam memerhati. Arif dan Amirah juga begitu. Barangkali masing-masing berfikir tentang kata-kata emak. Orang yang belajar sampai ke Universiti, rasanya cepat dapat baca apa yang tersirat di hati emak. Ada air yang mahu mengalir dari kolam mata emak yang aku lihat cuba ditahan. Sejauh itukah emak fikir. Alangkah berdosanya kami sebagai anak membuat emak terasa hati.

Aku pantas memeluk emak. Begitu juga Arif dan Amirah. Perlahan-lahan Along Adnan menghampiri emak dan mencium tangan emak. Airmata itu memang sangat berharga. Tangisan ini selagi emak ada. Apakah bermakna lagi setelah emak tiada nanti. Dari balik langsir Atikah mengucapkan syukur. Tidak sia-sia dia menelefon semua kakak-kakak dan abang-abangnya memaklumkan tentang kain langsir emak. Apakah kerana mereka balik kerana kain langsir emak yang baru ataupun kerana ingin beraya bersama emak itu sudah tidak penting lagi. Hari raya kali ini pasti sangat bererti buat semua.

No comments: