CERPEN : Perlarian Terakhir

Perlarian Terakhir
Oleh Sharifah Norbaizura bt Syed Mhd Safie



MUNCUNG pistol Land Rover sapanjang 1.4 meter itu dihalakan tepat ke kepala Tony. Serta-merta tubuhnya menggeletar. Sungguh. Tony tidak pernah merasa takut yang amat sangat sebelum ini, sedangkan kematian baginya adalah satu perkara yang biasa. Cuma, cara kematian setiap orang sahaja yang berbeza. Kedua belah lututnya sudah terasa lembik. Dia tahu lelaki yang menghalakan muncung pistol kepadanya tidak akan main-main. Sekali lelaki itu menarik picu, pasti peluru tersebut akan menembusi kepalanya. Tony memejamkan matanya rapat-rapat. Masih segar terbayang wajah-wajah rakannya yang lain menjadi makanan pistol tersebut. Darah membanjiri seluruh kawasan. Tony tidak mahu menerima nasib yang sama seperti mereka, Ah Kit, Eric, Kamil, dan yang lain-lainnya telah turut terkorban. Tapi bukan terkorban untuk memperjuangkan Negara, sebaliknya, mereka adalah ibarat sampah yang tidak mungkin pupus selagi tempat pembakaran sampah sentiasa dipenuhi sampah. Apakah nasibnya juga akan begitu?

Terbayang wajah ibubapanya yang telah lama ditinggalkan, Tony bertekad meninggalkan mereka demi memulakan kehidupan baru yang lebih baik. Wajah Melissa, bekas kekasihnya yang kini sudah berkahwin dengan lelaki lain. Dengar khabarnya dengan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Lelaki yang kehidupannya jauh lebih baik daripadanya. Wajah sahabat baiknya, Chua. Satu-satunya sahabat yang tidak jemu meminta dia berubah dan meninggalkan kehidupannya sekarang. Chua yang terpaksa meneruskan kehidupan mencari rezeki yang halal, walaupun dalam keadaan tempang. Bukan dia tidak mahu menerima dan mengikut nasihat tersebut. Tetapi tidak ada siapa pun yang tahu, menjadi ahli kumpulan ini, kehidupannya adalah lebih teruk dari berada dalam jeriji besi.. Sekurang-kurangnya, di penjara seseorang itu masih boleh dibebaskan lebih awal berbanding tempoh pertahanan sekiranya ada banduan yang menunjukkan sikap yang baik. Namun di sini, hanya maut yang dapat membebaskannya. Dan yang terakhir, Farida. Perempuan melayu, penjual nasi lemak. Farida yang manis. Yang selalu memberinya nasi lemak sebungkus setiap pagi sewaktu dia memulakan perniagaan disebelah gerai Farida. Masih terbayang wajah Farida yang pucat dan menggeletar tatkala melihat pucuk pistol di atas kepalanya ketika orang-orang along meminta hutang daripada mereka. Farida orang baik. Farida tidak boleh tahu apa pekerjaannya kini. Sebab itu dia melarikan diri jauh dari Farida.

“Kau takut?” terdengar suara kasar dan garau bertanya. Serta-merta wajah Farida hilang dari ingatan. Walaupun dengan memejamkan matanya, Tony kenal itu adalah suara Michel. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Malah untuk menggerakkan badannya juga, seluruh badannya terasa tidak berdaya. Tony sekadar berdiri tegak. Menahan diri dari jatuh dengan ketakutan yang amat sangat. Selagi pistol itu berada tepat di kepalanya, selagi itu Tony tidak akan bergerak. Dia dapat merasa hembusan angin maut yang akan menghampirinya sekejap lagi.

“Aku tanya kau tadi, kau takut ke? Kenapa kau diam, sudah bisu dan pekak pula?” Tengking Michel kemudian. Tony membuka matanya semula. Cepat-cepat Tony mengangguk. Laju. Terasa nak tertanggal kepalanya dari badan. Kemudian terdengar tawa Michel yang kuat diikuti tawa Ricky yang berbadan tegap, bekas ahli tinju dan Kevin seorang bekas banduan. Sampai sekarang dia tidak tahu, mengapa Kevin dimasukkan ke penjara dahulu. Dua orang kanan Michel yang menjadi pengampu paling setia. Dari jauh dia dapat melihat wajah cantik Cindy yang keruh. Tony tahu Cindy risaukan keselamatan dirinya. Nyawanya kini benar-benar berada di hujung mulut jerung. Jatuh ke air pun belum tentu selamat, jadi habuan jerung pun dia tidak sanggup. Tony menggetap bibirnya tanda geram. Kenapa tiba-tiba dia terlalu takut pada kematiannya kini. Bukankah membunuh juga adalah sebahagian daripada kehidupannya?

“Kalau tahu takut, macamana boleh gagal, kawan?” Soal Michel lagi. Namun kali ini suaranya dilembutkan, seolah kedengaran berbisik ditelinganya. Tony tidak tahu mengapa Michel seolah sengaja melambat-lambatkan kematiannya dengan bersoal jawab. Biasanya sesiapa yang ada diantara ahli kumpulan mereka yang gagal menyempurnakan arahannya, pasti akan mati begitu saja tanpa diberi peluang. Hanya maut sahaja jalan penyelesaian. Kini, Michel ibarat malaikat maut pada fikirannya.

Tony mula teringat bagaimana dia boleh berada dalam kumpulan ini. Masih terbayang di lorong, lokasi di mana dia hampir mati dikerjakan oleh orang-orang Along. Dia meminjam duit dari mereka untuk memulakan kehidupan yang baik bersama Chua. Namun, perniagaan yang dirancang tidak membuahkan hasil. Dua kali dia gagal. Bagaimana mahu menjelaskan sewa tapak, barang-barang, dan membayar hutang Along yang bunganya sentiasa berganda-ganda. Dia dibelasah teruk oleh geng-geng Along. Dan Chua kakinya dipatahkan. Di situlah Michel datang menghulurkan bantuan. Baginya Michel adalah penyelamat nyawanya. Malaikat yang diturunkan dari atas langit untuk membantunya. Tony merasa benar-benar selamat. Masih terbayang peristiwa berdarah tersebut, apabila orang-orang Michel membunuh kesemua geng-geng Along. Seminggu Tony demam akibat melihat banyak darah. Michel kemudian menawarkan pekerjaan kepadanya. Bekerja dengan Michel dan akan dibayar gaji yang cukup lumayan. Sebagai membalas budi Tony terima dengan hati terbuka. Tony merasa lega. Fikirnya, dia akan memulakan kehidupan yang baru lagi selepas ini. Namun, perkiraannya silap, Dia terpaksa membayar harga budi yang telah diberikan Michel dengan harga yang jauh lebih tinggi. Dia dipaksa menjadi ahli kongsi gelap kumpulan mereka. Tugasnya membunuh sesiapa saja musuh kumpulan mereka.

Kali pertama dia memegang pistol, seluruh tubuhnya menggeletar. Michel yang mengajarnya bagaimana menjadi seseorang yang berhati kering dan berjiwa kosong. Tanpa perasaan. Sebaik sahaja mendapat gaji yang lumayan, Tony mula lupa diri, Nilai wang kini adalah sangat tinggi. Kalau dulu semua orang akan berasa bahawa nilai satu sen sudah bererti, kini nilai seperti itu, mungkin kerap dijumpai di merata-rata tempat. Di tepi-tepi jalan, di celah-celah sampah, dan mungkin dibuat sebagai barang perhiasan yang akan digantungkan segenap ceruk dinding di rumah. Atau, mungkin salah satu antara barang antik yang akan dijadikan cenderahati untuk dikenang. Tangannya tidak lagi menggeletar ketika memegang pistol. Malah, Tony semakin cekap mengendalikan pintol dengan tangannya. Tidak lagi teragak-agak seperti sewaktu mula-mula dulu. Michel semakin berpuas hati dengan kerjanya. Dan dia pula semakin disayangi oleh ketuanya. Dia ingin memberitahu kepada Melissa, bekas kekasihnya itu, bahawa dia boleh menjadi kaya lebih dari suami Melissa sekarang. Mengingati Melissa, hatinya menjadi sayu. Dia tidak salahkan Melissa. Dia tahu bahawa Melissa berhak memilih kehidupannya yang lebih baik. Bukankah sekiranya kita benar-benar menyayangi seseorang, kita harus merelakannya pergi? Memberi kebebasan kepadanya mencari kehidupan seperti yang diinginkannya. Pada hari perkhawinan Melissa, itulah hari pertama dia membunuh seseorang. Hari pertama dia melaksanakan tugasan yang diberikan setelah beberapa lama latihan yang telah dibuat. Mangsanya adalah seorang pegawai kanan dalam ahli Parlimen Negeri.

Tangannya menggeletar. Dia memejamkan matanya rapat-rapat, kemudian membukanya. Tony menarik nafas dalam-dalam. fikirannya terbayang wajah jelita Melissa sedang tersenyum bahagia pada hari perkhawinannya. Serentak dengan itu, terdengar bunyi tembakan dilepaskan. Dan sekujur tubuh bergelimpangan, bermandikan darah. Kesemua Ahli Undangan di Parlimen tersebut terkejut dan bertempiaran lari. Bimbang akan ada peluru sesat yang lain mungkin menembusi badan mereka pula. Tony menarik nafas lega. Dia terduduk. Lama. Kemudian bangun semula sambil tersenyum. Dia tidak terfikir akan tali gantung yang akan mencengkam lehernya jika disabitkan dengan kesalahan membunuh.

“Bagaimana?” Soal Tony. Matanya merenung tepat ke arah Michel. Michel tersenyum, kemudian menepuk-nepuk kedua belah tangannya dan memberi isyarat bagus dengan menggunakan ibu jari. Seolah memberi penghargaan kepada hasil kerja pertamanya.

“Bagus Tony, nampaknya aku tidak silap memilih orang. Kau seorang yang cekap dan boleh dipercayai.” Puji Michel. Michel mendekatinya dan kemudian menepuk bahunya. “Aku suka dengan kerja kau, berlatih lagi supaya kau akan jadi lebih cekap dari mereka.” Jari telunjuk Michel menunding kearah Eric, Steven, dan yang lain-lainnya.” Michel nampaknya berpuashati dengan kerja pertamanya. Michel menghampiri Morga dan membisikkan sesuatu ketelinganya. Morga adalah satu-satunya ahli kumpulan mereka yang berkulit hitam. Morga mengangguk tanda faham akan arahan yang diberikan. Memerhatikan dan mengawasi setiap tindak tanduk Tony. Tony memandang jauh kehadapan. Dia tidak bertanya, mengapa dan apa punca seseorang itu dibunuh. Tugasnya hanyalah membunuh.

“Mereka semua tu ibarat anjing kerajaan, memakan hasil orang seperti kita. Inilah saja cara untuk membalas setiap perbuatan mereka. Kita harus menggunakan jalan kita sendiri.” Tony termanggu mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Michel. “Lu jangan takut kawan, awak adalah orang kita. Kita jaga ma… yang penting lu kena buat apa yang kita suruh.” Sambung Michel lagi. Dan dia hanya tersenyum sambil mengangguk.

Tetapi kali ini, Tony tidak mampu buat. Tugas yang diberikannya seminggu yang lalu terasa berat. Tidak mampu dan tidak sanggup. Tony tidak tahu bagaimana mahu diterangkan kepada Michel kenapa dia gagal dalam melaksanakan tugasnya kali ini.

“Kau ada masalah ke? Pada fikiran aku, engkau adalah seorang yang boleh diharap. Jadi aku memberi kau peluang untuk menjelaskan kesemuanya,” Ujar Michel lagi. Tony memandang tepat ke arah Cindy.

“Aku rela mati. Tetapi aku sesekali tidak akan membunuh lelaki tersebut.” Pengakuan berani Tony membuat semua yang ada tersentak. Airmata Cindy laju mengalir. Dia tidak sanggup melihat Tony mati. Tony adalah seorang lelaki yang amat baik baginya. Hanya Cindy yang tahu mengapa Tony tidak mampu melaksanakan tugasnya, hingga menyebabkan perkara itu bakal mengundang kematiannya pada hari ini. Michel ketawa terbahak-bahak.

Tony benar-benar tidak menyangka, bahawa dia terpaksa membunuh seseorang yang tidak harus dibunuh. Masih terbayang di matanya wajah pucat Melissa sewaktu melihat dia meletakkan pistol tepat di dada Ramond. Dia tidak sanggup melihat Melissa sedih. Dia tidak mahu Melissa menjadi balu terlalu muda. Memang dia terlalu mencintai Melissa, kerana itu dia rela mengorbankan nyawanya sendiri asalkan Melissa bahagia. Selepas melepaskan Ramond yang masih terpinga, dia segera meninggalkan tempat tersebut dan berjumpa dengan Michel.

“Bagus Tony, aku suka dengan sikap keberanian kau itu. Tapi keberanian kau itu tidk bertempat. Keberaniaan kau hrus diselit sekali sikap kesetiaan kau pada aku. Tetapi kau harus ingat dan tahu peraturan di sini. Sesiapa sahaja yang melanggar arahan aku, hukumannya adalah maut,” Ujar Michel. “Mereka semua tu adalah orang-orang yang tidak berguna, mereka menjadi kaya dengan menindas orang lain. Harta yang mereka dapat dengan hasil haram adalah keringat dari orang macam kau, macam aku. Cuma mereka dapat dengan cara yang terhormat. Pakai baju cantik. Naik kereta besar, ada pemandu. Pengawal keliling mereka. Semua tu dari mana mereka dapat. Sampai tujuh keturunan pun harta mereka tak akan habis, sekiranya orang-orang macam mereka masih terus hidup dan terus menipu. Dan, orang-orang macam kita terus melarat, merempat, dan jadi sampah mayarakat.”

“Tapi kita tidak ada hak untuk menghukum mereka. Kita…”

“Wah…, Sejak bila kau pandai bercakap soal hak, hah?” Potong Michel. “Apa yang kau tahu tentang undang-undang? Kita semua diperbodohkan oleh mereka! Tidak adil. Kita yang harus mengadili mereka. Jika tidak mereka akan terus berkuasa. Semakin ramai orang miskin, akan tetap miskin dan yang kaya akan bertambah kaya. Kau tahu kenapa di palestin, semua mereka miskin dan kebuluran? Kerana kehidupan mereka dicatur oleh british yang tak berhenti menjajah. Iraq sudah mengawal harga minyak yang digunakan untuk berperang dengan Saddam Hussein.yang menyebabkan Amerika terpaksa membayar harga yang jauh lebih tinggi, kesilapan itu yang menyebabkan kejatuhan mata wang kita, lihatlah sekarang, betapa kita terpaksa berhempas pulas untuk membayar kenaikkan harga-harga barang yang tinggi. Mereka tak ubah seperti ular yang berbisa. Mematuk ketika semua orang sedang lalai,” Terang Michel satu-persatu.

“Tapi…”

“Argghhh! Tak ada guna bercakap dengan orang macam kau, Kau takkan faham.” Serentak dengan itu satu penumbuk hinggap di muka Tony. Cindy menjerit melihat Tony dalam kesakitan. Michel menjeling ke arah Cindy. Cindy mengundur setapak kebelakang. Niatnya ingin membantu Tony terhenti melihat jelingan Michel. Cindy tahu abangnya itu tidak akan bergurau. Cindy juga tahu , mengapa abangnya bersikap begitu.

“Sekarang kau beritahu pada aku, kenapa kau biarkan budak itu hidup? Kenapa kau tidak ikut arahan aku?” Soal Michel untuk kesekian kalinya.

“Aku mahu berhenti jadi pembunuh. Aku sudah tidak sanggup melihat ramai orang mati di tangan aku lagi.” Jelas Tony ambil menahan sakit. Bibirnya pecah. Darah yang mengalir dikesat dengan tepi kolar baju. Bajunya mula bertukar warna. Michel ketawa dengan kuat.

“Kau jangan ingat aku bodoh. Kau sudah lupa ke, Kerana aku kau masih hidup sehingga hari ini? Baiklah, aku masih mahu bertolak ansur dengan kau. Anggap sahaja ini adalah tugas terakhir kau berkhidmat untuk aku. Dan segala jasa aku menyelamatkan kau dulu sudah terbayar. Kau boleh bebas selepas ini.” Mata Michel mencerun kearah Tony. Tony menarik nafas dalam-dalam, serentak itu dia menggelegkan kepala.

“Nampaknya aku tidak ada pilihan lain.” Michel menghala kembali muncung pistolnya ke arah Tony. Tanpa berfikir, Michel menarik picu.

“Pangggg, panggggg…” Bunyi tembakan kedengaran. Terdengar suara Michel mengaduh kesakitan. Cindy mengeletar sewaktu melepaskan tembakan tersebut. Tony tergamam melihat tindakan Cindy. Sekelip mata Michel terjatuh. Cindy menghampiri Michel. Airmatanya tidak henti-henti mengalir. Inilah satu-satunya cara untuk dia keluar dari kehidupannya kini dan memulakan kehidupan yang baru. Cindy tidak tahu mengapa dia melepaskan tembakan terhadap abang kandungnya sendiri. Dia tidak nampak jalan lain. Segalanya dirasakan terlalu sempit. Tiada ruang untuk dia berfikir lebih lama lagi. Cukuplah sesiapa yang telah menjadi mangsa. Benar kata abangnya, kadangkala kita terpaksa menghukum mereka dengan cara kita sendiri. Dan dia telah melaksanakan motto tersebut.

“Tony…” Panggil Michel dengan suara yang tertahan-tahan. Tony menghampiri Michel, dan Cindy tidak berhenti meraung.

“Tolong jaga adik aku baik-baik. Tolong jadikan dia isteri kau dan bina kehidupan yang baik selepas ini.” Michel menekan dadanya yang terasa sakit. Dua das tembakan tepat ke dadanya. Michel tahu dia tidak akan hidup lama. Dia juga tidak sekali-kali menyalahkan Cindy. Dia tahu Cindy telah melakukan tindakan yang paling tepat. Tony mengangguk. Hatinya turut sedih. Dia tahu Michel bukan sejahat mana. Namun, kadangkala keadaan memaksa kita melakukan sesuatu apa yang paling kita benci sebenarnya. Cindy meratapi nasibnya. Serta-merta terbayang wajah ibubapanya yang mati akibat rusuhan 17 tahun yang lalu. Sewaktu pilihan raya diadakan, ibubapanya mahu pergi ke tokong untuk bersembahyang. Dia dan Michel yang terpaksa menyorok di balik sampah dapat melihat bagaimana orang-orang kerajaan membunuh setiap orang awam termasuk ibubapa mereka untuk mendapat undian dari semua pihak dengan menuduh pihak pembangkang yang melakukannya. Sejak itu dia dan Michel menjadi yatim piatu. Michel dapat mengecam setiap mereka dan membunuh mereka satu-persatu atas sebab menuntut bela. Dan yang terakhir adalah Ramond. Anak kepada Menteri kewangan ahli Undangan Senat. Kalau boleh, Michel ingin menghapuskan semua keturunan mereka yang telah membunuh kedua ibubapanya.

Bunyi siren polis kedengaran. Kesemua ahli mereka lari berpecah dan cuba menyelamatkan diri masing-masing.

“Lari Tony, bawa Cindy sekali. Jaga dia dengan baik. Janji dengan aku.” Tony mengangguk dan tangannya mengenggam erat tangan Cindy. Namun Cindy tetap tidak mahu berganjak. Tidak berhenti dia menjerit memanggil nama Michel sambil meminta maaf.

“Mari Cindy, polis sudah datang,” Ujar Tony menarik tangan Cindy. Cindy dan Tony segera lari melalui pintu belakang, Namun…

“Panggg….” Bunyi tembakan dan suara menjerit mematikan langkahnya.

“Cindy…..!” Jerit Tony. Cindy terkulai. Tembakan itu tepat di dahi Cindy. Tony menjerit sambil memeluk tubuh cindy. “Maafkan aku Michel…” Ujarnya sebak. Dengan menggunakan tangannya, dia menutup kedua belah mata Cindy.

“Jangan bergerak, anda ditahan.” Seorang pegawai polis menghampiri mereka. Tony memang tidak bergerak. Matanya merenung mayat Cindy yang telah terbujur kaku. Tidak sampai beberapa jam, beberapa jasad telah menjadi mangsa. Ada baki-baki kekesalan di wajahnya. Kini sudah 12 tahun berlalu. “Siapa kita, yang mahu menghukum mereka?” Ujar Tony sambil memandang pegawai penjara tersebut bernama Lokman. Namanya Islamnya kini adalah Muhd Hakimi Arif Tan bin Abdullah.

Azan berkumandang memecah deria dengarnya. Dia mencapai sebungkus nasi lemak untuk berbuka puasa pada kali terakhir. Tony tersenyum, terbayang wajah Farida, yang tak pernah putus-putus memberi semangat untuknya. Dan akhirnya membawa dia ke arah kedamaian. Perlariannya kini telah berakhir. Dia ingin pergi meninggalkan dunia ini dengan cara yang terhormat. Dia adalah banduan akhir yang akan ke tali gantung esok.

No comments: