CERPEN : Alahai, jatuh cinta lagi.

Cerpen penulisan2u nov 2011
Alahai, jatuh cinta lagi.
Oleh Sharifah Norbaizura bt Syeid Mhd Safie



“Boleh alihkan beg awak tak?” Pertanyaan yang tiba-tiba daripada lelaki yang tidak dikenalinya, membuat Namira tersentak. Lelaki ni lagi. “Kenapa nak duduk sini? Tempat lain tak ada kosong ke?” balas Namira garang.

“Mak ai..garangnya..nasib baik muka ada cun sikit.” detik hati Fariz. “Maaf ye saudari…tempat semua dah penuh. Kebetulan ini saja kerusi yang saya nampak kosong, Dan saya telah bayar untuk tambang bas ni, supaya dapat tempat duduk.” jawab Fariz sopan seperti sedang menghadap lecturer sewaktu menjelaskan soalan yang diajukan. Fariz kemudian tersenyum dan menyambung. Dia mengerutkan dahinya seolah-olah hairan. “Hmmm… beg awak ni, bayar tambang bas jugak ker?” Fariz bertanya selamba. Namira merengus kasar, kemudian menoleh kebahagian belakang. “Memang betul semua tempat duduk dah penuh…” bisik Namira perlahan. Tapi dia tetap tak mahu lelaki ini duduk disebelahnya. Namira memandang Fariz dari atas ke bawah. “Pakaian punyalah smart, macam kerja pejabat tapi naik bas” getus hatinya lagi. Fariz melihat bajunya, kalau ada apa-apa yang tak kena.

“So exuse me saudari, sekali lagi saya ulang, boleh tolong alihkan beg awak tak?” Namira buat tak dengar. Dia segera mengeluarkan walkman dari dalam begnya kemudian meletakkan earphone di kedua-dua belah telinga dan memasangnya dengan kuat tanpa mempedulikan Fariz yang sedang berdiri disebelahnya. Lagu ‘Unfaithful’ dendangan Raihana menyapa gegendang telinganya. “Peduli apa aku, padan muka dia. Hari tu, siapa suruh cari pasal dengan aku,” Getus hati Namira. Reaksi yang ditunjukkkan oleh Namira membuat Fariz bengang. “Apa kena dengan minah ni, tadi tenung aku sampai nak terkeluar biji mata. Pastu leh buat dek pulak. Ah, masak aku!” kaki Fariz mula terasa lenguh. Sudah lebih dari 13 minit dia terpaksa berdiri semata-mata ingin mendapatkan tempat duduk dari singa ni. Fariz segera mengangkat beg Namira dan meletakkan beg berwarna ungu cair tersebut ke bawah. Tindakan berani mati yang dilakukan oleh Fariz membuat Namira tercengang.

“Hey…how dare u?” Suara Namira yang tinggi menarik perhatian penumpang di dalam bas. Fariz sekadar mengangkat bahunya dan kemudian berpura-pura menguap seolah tiada apa yang berlaku. Namira segera mengambil begnya semula sambil merengus. Dia cepat-cepat memalingkan wajahnya ke tingkap. Benci betul melihat muka lelaki penyibuk disebelahnya. Entah apa malang nasibnya, sekali lagi terpaksa berdepan dengan lelaki beruk ni. Hari ni jugaklah kereta ni nak buat hal. Jangan esok aku naik bas lagi, sudahlah. Tak kuasa aku nak jumpa mamat poyo ni hari-hari. Fariz ketawa di dalam hati melihat reaksi Namira.


********************************

“Tak guna betul mamat tu.” Namira menghempas begnya ke atas katil. Salahnya juga taknak dengar cakap abang Ngah dengan Kak Yus. Abang Ngah dah pesan, kalau nak keluar kemana-mana, tunggu hari cuti. Dia akan bawa keluar. Tapi Namira betul-betul bosan kerana asyik terperuk kat rumah. Sudah 4 hari dia tak buat apa-apa. Jadi dia mengambil keputusan untuk keluar membeli majalah dan novel untuk bahan bacaan. Sudahnya dia terpaksa berdepan dengan mamat yang sama. Si penyibuk tu. Kalaulah ada Yana, pasti dia tidak akan kesorangan. Tak sabar rasanya hendak di ceritakan kejadian malang yang menimpanya beberapa hari ini. Yana adalah teman baiknya sewaktu di universiti. Teringat tentang Yana sudah seminggu Yana pulang ke kampungnya, di Kelantan. Namun, tidak ada sebarang khabar berita dari sahabatnya. Tamat saja pengajian mereka di London, Yana terus pulang ke kampung, untuk menjenguk keluarganya. Puas juga dihubungi Yana, namun jawapannya tetap sama, “Harap maaf, Nombor yang anda dail berada di luar kawasan liputan. Sila cuba sebentar lagi. Terima kasih.” Hendak tak hendak terpaksalah Namira menunggu panggilan dari Yana.

“Awal Mira balik? dah makan ke?” Wajah kakak iparnya tiba-tiba muncul. “Belum lagilah Kak Yus, tak sempat nak makan kat luar tadi. Kak Yus masak apa hari ini? Sorry lah Kak Yus, Mira tak tolong Kak Yus masak hari ni..” Namira tersengih.

“Takpe, Kak Yus boleh masak sendiri. Bukan tak biasa pun. Hmm…Mira beli buku apa tadi? Soal Kak Yus kemudian. Namira menggosok batang hidungnya dan tangannya segera mencapai dua buah novel yang baru dibelinya tadi dan beri kepada kakak iparnya. Soal Hati dan Plaine Jane? Kak Yus mengerutkan dahi. “Kenapa Kak Yus?” Namira merasa hairan melihat reaksi Kakak iparnya. “Nampak menarik, penulis baru ker?” Soal Kak Yus. Dia segera mengangguk tanda mengiyakan kata-katanya. “Kak Yus baca satulah, Mira baca lagi satu ye..Nanti dah habis baca kita boleh tukar. Usul Kak Yus kemudian. Namira segera mengangguk sambil tersenyum. “Kak Yus semenjak ada Alif dan Fika, langsung dah tak ada masa nak beli novel baru.” Cerita Kak Yus tanpa dipinta. Mendengar nama anak-anak Kak Yus, terbayang wajah-wajah comel yang nakal.

“Abang Firdaus tak cakap bila Mira boleh mula kerja?” Kak Yus tiba-tiba mengubah topik. “Abang Ngah ada cakap yang Mira boleh cuba interviu minggu depan. Apalah abang Ngah ni Kak Yus, dengan adik sendiri pun nak berkira. Mira kan ada Ijazah pengajian dan pengurusan. Dari Universiti Oxford di London lagi. Tak payahlah nak kena interviu. Lecehlah Angah ni…” Rungut Namira kemudian. Mulutnya dimuncungkan. Kak Yus ketawa melihat tingkah Namira.

“Yelah… nanti Kak Yus cuba cakap dengan Abang Firdaus. Tapi Kak Yus tak boleh nak janji apa-apa. Abang Firdaus kalau bab kerja memang serius.” jelas Kak Yus. Mira sekadar mengangguk. Habis saja pengajiannnya di London, Abang Ngah segera mencadangkan agar dia berkerja di syarikat perkongsian milik abangnya dengan seorang rakan. Dia cuma mengikut saja. Untuk mencari pengalaman.

“Dahlah Mira pergilah makan, asyik bersembang jer..Eh, lupa pulak Kak Yus nak tanya, pandai pulak Mira pergi beli novel ni naik bas? Sebab setahu Kak Yus kalau nak naik teksi dari sini kena call dulu. Mira tunggu kat mana? Kereta dah hantar bengkel ke?” Soalan Kak Yus serta-merta membuat Mira teringat tentang lelaki beruk tu.

“Mira naik bas lah kak Yus, lupa nak tanya no phone teksi,” Jelas Mira. “Tulah geramnya Mira naik bas tadi. Ada lelaki beruk tu. Menyibuk. Menyakitkan hati betul.” Rungut Namira tanpa sedar. “Oppss!” Namira cepat-cepat menutup mulutnya. Kakak iparnya yang satu ni belum tentu lagi dia punya perancangan. Silap haribulan diberitahu pada suaminya, yang merangkap abang Ngahnya sendiri. Kalau pada FBI, atau Badan-Badan Bersatu, tak pula dia risau sangat. Memanglah dia tak payah risau, sebab tak ada kena-mengena pun dengan mereka. Parah. Abang Ngah pasti marah kalau dapat tahu yang dia keluar bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Kak Yus spontan mengerutkan dahi. “Siapa lelaki tu?” Soal Kak Yus ingin tahu.

“Errr…errr..aaa tak ada sape-sape lah Kak Yus, Mira pun tak kenal dia.” Namira tergagap-gagap menjelaskan keadaan sebenar kepada Kak Yus. Kak Yus sengaja buat muka mengugut. “Kalau taknak bagitau pada Kak Yus, tak apa…nanti Kak Yus bocorkan rahsia Mira keluar hari ni.” Ah kakak iparku ini sudah buat perangai pulak! Nilah satu contoh, orang melayu kita, suka mengugut bangsa sendiri.

“Janganlah Kak Yus, nanti Abang Ngah marahkan Mira.” Namira mula merengek. Kak Yus mengangkat kening di sebelah kiri. Perggh! Macam ZZ la… Bukan Ziana Zain ye… tapi, Zurina Zamri. Jiran sebelah rumah Mak Andak kat kampung nun. Yang kerjanya cuma menyanyi. Tak kiralah dimana ceruk perantauan, hatta di pelantar dapur pun jadi. Tapi pernah juga masuk pertandingan menyanyi kat kampung. Menang beb! ‘Menang IS’. “Ni apa termenung ni, nak cakap ke tidak?” Ah, kakakku yang sorang ni, rasa nak telan Minyak Angin Cap kaki tiga jer sekarang. Aku Cuma ada dua pilihan. Berterus-terang ataupun berdalih. Getus hatinya perlahan. Bukan dia tidak mahu berkongsi cerita dengan kakak iparnya tu, tapi dia pun tak tahu nak mulakan dari mana. “Sebenarnya Kak Yus…”

“Ucu Mira dah balik.. yea.. yea..” Suara jeritan anak-anak Kak Yus menyebabkan rumah menjadi riuh. Alif dan Fika berlumba-lumba menaiki tangga menuju kebilik Namira. Namira menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya kehadiran anak-anak Kak Yus membuat Kak Yus terlupa akan soalannya tadi. Fika segera memeluk Namira dan menciumnya. Namira segera mengangkat Fika keribanya. “Ucu Mira, Fika lawan dengan adik, siapa sampai dulu dapat coklat besar. Fika dah sampai dulu, jadi mana coklat Fika?” Fika segera menghulurkan tangannya. Alif juga turut menyelit disebalik kakaknya sambil menghulurkan tangan. “Alif pun dah campai Ucu Ra..” Suara Alif yang pelat dan pertandingan memanjat tangga yang dianjurkan Fika mengundang tawa Namira. Disini dia terhibur melihat telatah anak-anak buahnya. “Jangan gaduh-gaduh, Ucu Mira nak bagilah ni, dua-dua dapat coklat.” Namira segera mencapai begnya dan…tangannya segera meraba-raba bahagian poket beg sandangnya. Coklat yang dibeli sudah tak ada. Kemana pulak perginya? Namira jadi hairan. Setahunya memang dia ada membeli untuk mereka. Mungkin…? Namira segera merengus marah, mungkin ketika lelaki beruk tu meletakkan begnya kebawah, coklat tersebut jatuh tanpa sedar. Yusma yang menyedari Namira agak kalut segera menyelamatkan keadaan.

“Kalau nak makan coklat, Fika pergi mandi dulu dengan adik. Badan tu dah busuk,” Kak Yus segera mengarahkan anak-anaknya mandi.

“Fika nak tunggu coklat dengan Ucu Mira mama, tadi Ucu Mira kan dah janji nak belikan untuk Fika dan adik coklat. Kan adik?” Jawab Fika petah. Namira memandang Kak Yus tanpa dapat menjawab apa-apa. Tiada coklat, cuma wajahnya berubah semakin kelat.

“Kak Yus bawa budak-budak turun mandi dulu. Ingat, Mira hutang Kak Yus satu cerita.” Dia mengenyitkan matanya pada Namira sebelum beredar. Huh…mana pergi coklat ni…


******************************

Bila difikirkan semula semua tindakannya, Fariz merasakan dia seperti orang gila. Apa tidaknya, dia sanggup meninggalkan client nya, keretanya di tempat parking semata-mata mengejar gadis singa tersebut. Tapi bila difikirkan sekali lagi dirasakan segalanya berbaloi. Apa tidaknya, dia bukan saja dapat naik satu bas dengan gadis singa tu, malah dapat duduk bersebelahan. Masih terbayang wajah comel itu masam ketika dia meletakkan beg gadis tu ke bawah. Dia tak tahu nak buat apa, keletihan dia berlari mengejar bas tersebut memaksa dia untuk duduk melepaskan lelah. Lahir bulan apa lah agaknya gadis singa tadi, garang betul. Tapi Fariz faham mengapa gadis singa itu marah kepadanya. Peristiwa di airport mula menjengah di kepalanya. Tatkala matanya melilau mencari adik kepada rakan sekerjanya, kelibat gadis ini betul-betul menghalang laluan pandangan matanya dari memandang ke arah lain, selain dari memandang wajahnya yang agak cute, hmmm.. bukan, sebenarnya memang cute. Tak semena-mena dia mengikut gadis tersebut dan sengaja buat-buat terlanggar. Mengamuk betul gadis singa tersebut. Dan dia sekadar tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Orang ramai yang memandang buat tak endah. Mungkin bagi mereka kemalangan seperti itu sudah biasa berlaku. Tanpa sempat dia meminta maaf di atas kesalahan yang disengajakan, gadis itu berlalu begitu saja. Dia yang terpinga-pinga di situ segera mula mencari tujuannya yang asal. Mengambil adik sahabatnya dan juga merupakan rakan sekerjanya.

Firdaus menepuk bahu Fariz, membuatkannya tersentak. Khayalan tentang gadis singa tadi hilang sekelip mata. Firdaus mengangkat kening dan mukanya bertanya kenapa. Bahasa badan seperti itu sudah biasa dibuat oleh Firdaus. Malah bahasa-bahasa badan yang lain pun turut dihafalnya. Ditangannya, ada sekeping fail yang sedang dibelek-beleknya. Tiba-tiba Firdaus berhenti menyelak, dan merenung tepat ke arah Fariz.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Soal Fariz gugup. Bahasa badan seperti ini juga turut dihafalnya. Dia tahu Firdaus ingin bertanya sesuatu dan mahu dia menjelaskan sesuatu.

“Bukan aku ke yang sepatutnya tanya kau, kenapa kau buat macam ni? Ada something happen yang aku tak tahu ker?” Soal Firdaus kembali. Firdaus kembali membelek-belek fail yang dipegangnya. Memberi peluang pada Fariz untuk menjelaskan.

“Tarrappapa lah…janganlah pandang aku macam tu, Fir.” Fariz mengangkat kedua-dua belah tangannya. “Ok. Aku salah. Tapi aku kan dah minta maaf. Aku memang dah cari adik kau tu. Tapi tak adapun. Berpusing kat airport tu aku cari. Aduhhh…Sape namanya…? Alah…hmmm…hmm…” Fariz kemudian mengetip ibu jarinya dengan jari telunjuk untuk cuba mengingatkan nama adik sahabatnya. Bahasa badan yang selalu digunakan oleh Fariz ketika dia cuba mengingatkan sesuatu perkara yang dirasakan payah untuk diingat. Firdaus memeluk tubuhnya sambil menanti reaksi Fariz yang seterusnya. “Apalah payah sangat nama adik kau yang macam nama jepun tu, Dora, Tora, Kira, Mira, hah Namira.” Tingkah Fariz yang agak kalut seperti ada sesuatu yang disembunyikan dapat dibaca oleh Firdaus. Tapi memang aku tak jumpa. Aku siap junjung nama dia atas kepala lagi. Tapi tak ada sorang pun yang datang.” Jelas Fariz membela diri. Memang Firdaus ada meminta bantuan Fariz untuk mengambil adiknya dari airport. Namun, dari apa yng diketahuinya, adiknya itu pulang dengan menaiki teksi. Niat hatinya ingin mengenalkan Fariz dengan adiknya tidak kesampaian.

“Ok jugak. Yang tu aku boleh terima alasan kau. Tapi ada apa-apa yang paling important kau terlupa nak bagitau kat aku ker?” Firdaus mengetuk-ngetuk sebatang pen kat atas meja perlahan. Bahasa badan seperti itu bermaksud meminta Fariz menjelaskan satu hal yang lebih penting. Fariz terdiam.

“Aku terpaksa memohon maaf dari client, membuat mesyuarat tergempar sedangkan kau entah kemana, hilang tanpa penjelasan, aku terpaksa kendalikan mesyuarat dengan menjawab soalan-soalan dari client. Kau tau yang kita hampir kehilangan tender ni? Macamana aku nak mengyakinkan semula pada client kita bahawa syarikat kita mampu berkerjasama dengan mereka?” Soalan yang bertalu-talu daripada Firdaus membuatkan Fariz benar-benar rasa bersalah. Syarikat ni adalah syarikat dari usaha mereka bersama. Dia tak patut membebankan Firdaus atau menyebabkan syarikatnya kerugian.

“Maafkan aku Fir..” Fariz sekadar tunduk. Firdaus menghampiri Fariz dan menepuk bahunya berkali-kali. Bahasa badan seperti ini bermaksud Firdaus mengetahui sesuatu. “So… siapa?” Firdaus tiba-tiba bertanya sambil berdehem.

“Siapa.. apa?” Soal Fariz kembali. Fariz bingung dengan soalan Firdaus yang tiba-tiba dan bersahaja.

“Siapa yang buat kau jadi macam ni?” Tanya Firdaus sekali lagi. Namun dilihat Fariz masih berdiam diri. “Come on lah Fariz, bukan baru hari ini aku kenal kau. Apa kau dah lupa yang tindakan kau ni sama seperti masa mula-mula kau jumpa Marsyitah dulu. Kau sanggup keluar dari dewan kuliah semata-mata nampak kelibat Marsyitah lalu dan mula mengejarnya. Sanggup meninggalkan study group semata-mata ingin berbual dengan Marsyitah. Tapi kau jangan sekali-kali bagitau pada aku yang kau pura-pura tak sengaja terlanggar perempuan tu semata-mata nak berkenalan dengan dia. Kalau kau buat perkara yang sama seperti sewaktu kau mula-mula nak berkenalan dengan Marsyitah dulu, aku tak tahu nak cakap apa.” Firdaus mengangkat kening dan menggaru dagunya. Bahasa badan yang ditunjukkan oleh Firdaus bermaksud dia sedang menanti jawapan.

Terdengar keluhan dari mulut Fariz. Dia kemudian menekan pangkal hidungnya dengan jari telunjuk. “Aku tidak pernah sekali-kali lupa pada arwah Marsyitah, Fir. Dia cintaku yang pertama.” Ingatan Fariz melayang pada arwah Maryitah. Marsyitah yang dirasakan cukup sempurna dari serba serbi. Lemah lembut, bersopan, ayu, wajahnya yang sentiasa tersenyum membuat hatinya sentiasa tenang. Dan disebalik senyuman yang tak pernah lekang dari bibir Marsyitah, dia tidak tahu bahawa gadis pujaannya sebenarnya telah lama menghidap barah otak yang serius. Impian yang sedang cuba dibina bersama Marsyitah hancur berkecai. Fariz melepaskan keluhan berat kemudian tergelak kecil. “Aku memang tak dapat sorok apa-apa daripada kau kan?. Macam ni aku tak ada langsung rahsia peribadilah ye…” Seloroh Fariz sambil menumbuk bahu Firdaus.

“Arwah dah lama pergi, Riz. Kita yang hidup ni perlu teruskan hidup seperti biasa. Sampai bila kau nak terus hidup macam ni, mengenang arwah Marshitah yang tak pernah ada kesudahannya. Aku anak dah dua, kau tak cemburu pada aku ker? Tak teringin nak punya keluarga sendiri?” Firdaus sengaja menggunakan psikologi untuk mengetahui apa yang ada tersimpan dalam hati sahabatnya. Patutlah Fariz tidak berjumpa dengan adiknya, rupa-rupanya ada gadis lain yang menarik perhatian Fariz. Sekurang-kurangnya berjumpa dengan seseorang yang lain selain daripada memikirkan perkara yang dah lama berlalu itu juga satu petanda yang baik. Fikir Firdaus.

“Kau dah pikat dia?” Soalan Firdaus membuat Fariz tak mampu menahan tawa.

“Itulah masalahnya sekarang, nama, alamat, no telefon atau apa-apa petunjuk tentang gadis tu langsung aku tak tahu. Lagi satu yang kau perlu tahu, gadis tu garang nak mampus. Aku tak tahu macamana nak berkenalan dengan dia.” Fariz menjawab jujur.

“Macamana kau boleh tau perempuan tu garang? Kau cakap tak tahu apa-apa pun tentang dia?” Firdaus memandang Fariz dengan seribu pertanyaan dikepalanya. Firdaus mengerutkan dahinya cuba mengingatkan sesuatu kemudian menyambung, “Jangan kau beritahu pada aku yang kau dah sengaja langgar perempuan tu sebab nak berkenalan, dan dia marah pada kau,” Firdaus menyoal dan dilihat Fariz menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih. “Aku ingat, dia lembut macam Marsyitah,” balas Fariz lurus.

“Oh…No!” Pekik Firdaus kemudian.


****************************

Yana dan Namira keluar membeli-belah di Mid Valley. Gembira hati Namira melihat kedatangan Yana semalam. Sebagai balasan, Yana kena menemankannya shopping pada hari ini. Namira hanya mengenakan pakaian yang serba ringkas, jeans dan T- Shirt lengan panjang berwarna pink.

“Banyaknya kau shopping cik kak? Nak beli satu Mall ker?” Usik Yana melihat gelagat Namira yang tidak berhenti masuk ke kedai-kedai baju.

“Nextweek, aku dah start interviu, So aku nak shopping untuk baju-baju pergi kerja nantilah…” Balas Namira. Yana mengerutkan dahi. “Dengan abang sendiri pun nak kena interviu jugak ker?” Soal Yana hairan.
“Tulah yang aku tak faham dengan Angah aku. Berdedikasi sungguh punya abang. Kadang-kadang geram jugak aku. Aku ingatkan nak cari kerja kat syarikat lain. Hah, biar ternganga Angah aku melihat adik kesayangannya yang pintar ni cemerlang berkerja dengan orang lain. Waktu tu…” Namira membulatkan matanya melihat susuk tubuh yang sangat dibenci. “Lelaki tu beb…” Tunjuk Namira sambil menarik baju Yana dan jari telunjuknya dihalakan kearah seorang lelaki yang sedang berjalan dengan seorang perempuan. “Lepaskanlah baju aku, jangan tarik beb…koyak kang, aku mintak kau ganti dengan semua baju yang kau dah shopping ni,” Usik Yana. Namira melepaskan baju Yana sambil mendengus. “Sorry..” Ucap Namira. Namun matanya tidak lepas dari memandang susuk tubuh lelaki yang baginya membuat dunianya terasa nak kiamat.

“Siapa tu?” Soal Yana.

“Lelaki beruk.” Ujar Namira spontan. “Ishh, tak baik cakap orang macam tu tau, Mira. Tapi… Dia tu ker lelaki beruk yang kau cerita kat aku semalam?” Namira segera mengangguk. Yana mengecilkan matnya sedikit, “Tak macam beruk pun, hensem adalah. Smart and brilliant lagi. Lebih hensem dari Zarul kau yang dulu tu.” Balas Yana. Mata Namira membulat. “Nama Zarul kau jangan nak sebut-sebut depan aku ye… benci aku dengar nama penipu tu.” Gumam Namira geram. “Sorry bebe, tersasul….” Yana buat muka mohon simpati. “Lagi satu, yang kau perlu tahu, yang macam beruk tu, bukan muka dia, perangai dia. Selalu muncul tiba-tiba. Tapi yang peliknya, kat mana aku ada, mesti aku jumpa dia.” Jelas Namira. “Entah-entah ada jodoh kau dengan dia tak? Benci lama-lama jadi sayang. Manalah tau satu hari nanti tiba-tiba dia jadi kekasih kau ker, suami kau ker? Takkan kau nak tolak?” Usik Yana. “Apa kau cakap, ingat ni main wayang ker? Dalam filem, drama-drama tempatan bolehlah…Tolong ye Yana, daripada aku kahwin dengan lelaki beruk tu,lebih naik aku kahwin dengan Ravi kat kedai mamak tu, hari-hari aku dapat makan roti canai percuma.” Namira mencebikkan mukanya. Yana ketawa dengan kuat. “Aku tak tahulah pulak kau suka makan roti canai. Bila kau start jadikan tu makanan asasi kau,” Yana mengangkat kening. Namira menjulingkan matanya ke langit. “Huh, baru semalam, masa Angah aku suruh beli roti canai kat kedai mamak tu untuk Alif dan Fika.” Jelasnya sambil ikut ketawa.

“Hensemlah Mira, perangai tu boleh adjust sikit. Kalau aku jadi awek dia, confirm aku tak tolak.” Ujar Yana selamba. “Aku pun nak kepit dia 24 jam, macam perempuan tu.” Tambah Yana lagi. “Jangan nak beranganlah…aku bagitau dengan Zaki, baru kau tahu. Lagi satu, kau tak nampak ker awek dia kat sebelah tu? Berkepit macam dia sorang jer yang ada boyfriend.” Namira kemudiannya mencebik. Yana ketawa melihat gelagat Namira.

“Alah…aku gurau jer..Kau ni marahkan yang lelaki ke yang perempuan?” Soal Yana hairan.

“Dua-dua.” Balas Mira.

“Kau jealous ye…” Yana mula menyakat Namira.

“Tolong ye, takde masa kau nak buat semua tu. Takde maknanya…lagipun, aku bukannya kenal dia.” Namira menarik tangan Yana mendekati pasangan tersebut. “Kau nak buat apa ni?” Yana mula panik dengan tindakan Namira. “Kau ikut jer lah…banyak bunyilah. Aku nak minta ganti rugi dengan lelaki beruk tu jap..” Ujar Namira selamba.

“Ganti rugi pasal apa pulak ni? Kau jangan main-main Mira. Aduh, apa kena ngan perempuan ni, dia ingat tokey kedai emas ke nak minta ganti rugi,” Namira tak menghiraukan kata-kata Yana. Dia harus membuat perhitungan dengan lelaki beruk tu.

Selepas Namira dengan kawannya beredar, Lisa menarik baju Fariz dan mengajaknya masuk ke dalam Restoran Chiken Rice Shop yang berhampiran. Lisa memilih tempat duduk yang agak berselindung dan hujung di dalam restoran tersebut. Selepas order makanan, Fariz mula menyambung ceritanya tadi. “Betul Lisa. Tulah perempuan yang aku baru cerita kat kau tadi. Aku betul-betul dah jatuh cinta dengan dia.” Ujar Fariz. Matanya mencerun tepat memandang ke arah Lisa. Mata Lisa membulat. Lisa, Satu-satunya sepupu yang sangat akrab dengannya. Lisa sudah pun bertunang dengan seorang ahli perniagaan. Anak salah seorang bisnes patner ayah mereka. Lisa ketawa melihat muka Fariz yang serius. Dia percaya kata-kata sepupunya yang seorang ni. Cuma dari cerita yang baru didengar tadi, dan apa yang baru disaksikan tadi, dia rasa tidak percaya pula yang gadis tersebut akan jatuh cinta dengan Fariz. Gadis yang sepupunya puja itu datang secara tiba-tiba dan meminta ganti rugi untuk dua keping coklat? Diulangi, dua keping coklat. Macam tak masuk akal pun ada. Ye ker tu perempuannya. Fariz silap kot. Kalau tulah perempuan singa yang diceritakan, itu bukan jenis anak-anak, tapi mak singa.

“Hello…” Fariz mengetip kedua belah jarinya melihat sepupunya mengelamun. Lisa mencerunkan matanya sambil menepis tangan Fariz.

“Aku cerita tadi kau dengar tak. Ambik kesempatan mengelamun pulak.” Fariz mengangkat kening menunggu respon dari Lisa. “Aku dengarlah, belum pekak lagi. Sambunglah balik.” Lisa tersenyum melihat wajah Fariz yang seperti budak-budak minta dibelikan aiskrim. “Hmm…ok. Itulah perempuan yang aku suka tu, Kau agak-agaklah dia suka kat aku jugak tak?” Penjelasan Fariz membuat dahi Lisa berkerut. Fariz meraup mukanya dengan telapak tangan. Dia buntu untuk memikirkan jawapan tersebut. Fariz terpinga-pinga dan tergamam ketika Namira datang menyerang, cuma diam memandang Namira tanpa berkelip. Dia tak dengar satu hapah pun apa yang diomelnya oleh gadis cute@perempuan singa tadi, Yang dia nampak, Lisa menghulurkan sekeping not rm50 kepada perempuan tu tadi. Dan seterusnya perempuan singa itu berlalu pergi meninggalkan mereka dan Lisa terus menariknya ke dalam restoran. Dan dia cuma diam mengikut.

Lisa mengerutkan dahi sambil memandang Fariz. Selepas arwah Marsyitah pergi, inilah kali kedua dilihat Fariz jadi sasau dengan seorang perempuan. Perempuan tu ker? Mesti ada daya penarik yang membuatkan Fariz jadi angau macamni. Tengoklah macam tadi, dia boleh diam terkebil-kebil dengar perempuan tu marah. Macam orang tak berperasaan langsung. Hilang akal agaknya Fariz ni dah.

“Berangan pulak. Nak tolong aku ke tak?” Fariz buat muka sardin cap ayam. Dia kemudian diam sekejap, makanan yang di order telah sampai. Selepas mengucap terima kasih, Fariz memandang tepat ke arah Lisa semula meminta kepastian. Apalah kompleks betul perangai perempuan. Pandang macam aku tak pakai baju, pastu siap buat muka pelik lagi.

“Apa aku dapat?” Lisa tersengih, keningnya diangkat.

“Berkiralah kau ni.” Fariz pura-pura merungut. “Aku belanja Mc D?” Lisa buat-buat berfikir. “Pizza? Soal Lisa kemudian, sengaja mahu main tarik tali dengan Fariz. Dia sengaja ingin melihat sejauh mana kesungguhan sepupunya yang sorang ni…. “Hmmm… tambah lagi satu untuk aku tapau bawak balik. Dan yang ni,” Lisa menunjukkan makanan yang sedang dimakan. “Kau belanja.” Lisa ketawa. “Tamaknya kau ni..,Ok, deal. Tapi aku hairanlah, kau makan banyak pun, badan kau tetap slim dan cantik.” Puji Fariz ikhlas. “Dah, tak payah nak puji aku, kau setuju dengan syarat tadi, dah kira jadilah…” Lisa mencebik. “So, How?” Soal Fariz kemudian. Lisa tersenyum bermakna. Fariz tak sabar menanti.


*************************************

Dia pun tak menyangka yang dia seberani itu. Berani. Malu sebenarnya. Ntah apa difikirkan awek lelaki beruk tu. Sebenarnya, dia bukannya nak sangat gantirugi duit coklat tersebut. Entah ia, entah tidak, coklat tersebut Fariz yang menyebabkan hilang. Manalah tahu, dia lalai sendiri. Cuma, Namira tiba-tiba berasa tidak senang dan cemburu melihat kedua pasangan tersebut. Dia teringin melihat wajah kekasih lelaki beruk tersebut dari dekat. Memang cantik. Tapi, dia apa kurangnya, ramai yang cakap wajahnya saling tak tumpah macam pelakon drama puteri tu, Nora Danish. Yang peliknya, lelaki beruk tu; diam jer bila dia bercakap, manakala; awek lelaki beruk tersebut Cuma tersenyum sambil membayar ganti rugi tersebut. Itu yang membuatkannya bertambah geram. Apasal aku rasa cemburu pula melihat lelaki tu sudah ada kekasih. Bukan ke aku benci kat dia sangat-sangat. Aku tak boleh macam ni. Tapi bila aku mendengar Yana memuji lelaki beruk tu, aku rasa lain macam. Apa perasaan yang ada pada aku ni. Tak boleh, Lelaki tu, bukan lelaki yang baik. Pertamanya, lelaki itu melanggar aku hingga menyebabkan dia terpaksa pulang ke rumah Angah dengan menaiki teksi. Keduanya, lelaki beruk itu yang telah menyebabkan, dia kehilangan coklat yang hendak diberi kepada anak-anak buahnya. Kemesraan mereka semalam, betul-betul mengundang cemburu di hatinya. Agggh! Kenapa dengan aku ni? Adakah ini yang dikatakan cinta? Yang membuat marah menjadi sayang dan benci menjadi rindu? Namira keliru dengan perasaan yang di alaminya kini.

“Mira, mari turun makan,” Yusma memerhatikan gelagat Namira selepas balik dari keluar dengan kawannya. Namira tersenyum. “Mira tak lapar lagilah kak Yus, tadi dah keluar makan dengan Yana.” Balas Namira.

“Abang Firdaus cakap Mira akan mula kerja minggu depan.” Yusma sekadar berbasa-basi. Sawan diam dia dah datang balik ker. “Dah sedia untuk memulakan kehidupan baru? Alam belajar dengan alam pekerjaan berbeza sedikit. Mira kena kuat dan tabah. Jangan cepat melatah. Kalau ada apa-apa masalah, berbincang.” Nasihat Yusma. Namira tersenyum. “Orait, madam. Mira nak masuk tidur dulu kak Yus, letih betul seharian berjalan tadi. Esok kalau Mira tak terbangun, kak Yus jangan lupa kejutkan Mira tau. Takut terlepas subuh.” Yusma mengangguk perlahan. Namun, dia dapat menangkap ada sesuatu yang tak kena di sebalik sikap Namira yang agak pendiam. Yusma mematikan lampu bilik Namira. “Good Nite kak Yus.” Ucap Namira. Yusma tersenyum mengangguk.

Telefon bimbitnyanya berdering menyanyikan lagu ‘My All-dari Mariah Carey’ segera di angkat. Mama.

“Assalamualaikum, mama.” Namira melonjak gembira mendengar suara mamanya di hujung talian. Dipeluknya patung pink panthernya kuat-kuat.

“Wa’laikumsalam. Anak dara mama yang sorang ni langsung tak telefon tanya khabar mama ni, kenapa?” Normah sengaja menyakat anak perempuannya yang bongsu.

“Mira dah call Mama hari tu, ma yang tak ada kat rumah. Tanya Kak Lang, kalau tak percaya.” Namira segera membela diri. Memang benar hari tu dia ada menelefon ke kampung. Tapi mamanya tak ada.

“Ada. Mama saja nak usik kamu. Bila nak balik kampung?” Normah berbual sambil menyusun bunga di dalam pasu. Sambil telefon ditongkatkan antara bahu dengan kepala. “Abang Ngah cakap dalam minggu depan. Mama nak buat kenduri kesyukuran Mira dah tamat belajar sekali dengan kenduri untuk arwah ayah. Kan ma?” Normah mengangguk walaupun tak dapat dilihat oleh anaknya.

“Mama ingat kamu dah lupa. Sebab tu mama telefon nak tahu, jadi ke tidak kamu balik. Pesan kat Angah, kerja kat pejabat tu kalau nak diikutkan sampai bila takkan habis. Mira dah duduk rumah Angah, pandai-pandai bawak diri. Telefon ke rumah kalau ada apa-apa nanti. ” Normah melepaskan keluhan, harap-harap anak-anaknya faham yang dia rindu sangat kepada mereka. Syukur Alhamdulillah, anak-anaknya tidak pernah lupa menjenguknya di kampung.

“Baiklah ma, Mira dah nak tidur, nanti Mira call mama pulak esok ye…” janji Namira. Selepas mengucapkan salam, Namira terkebil-kebil di atas katil. Matanya menengadah siling. Sebenarnya dia tidak mengantuk. Sekadar ingin bersendirian. Ingatannya terbayang wajah Zarul. Lelaki yang amat dicintainya dahulu. Namun tidak di sangka, lelaki yang amat di pujanya, yang di harap akan menyunting dirinya menjadi isteri suatu hari nanti adalah tunangan orang. Tidak tergamak rasanya di hati, ingin memusnahkan kebahagiaan orang lain. Lalu, dengan tekad dia meninggalkan lelaki itu dengan seribu luka yang amat payah dilupakan. Sejak itu, dia jadi takut untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki, yang baginya semua adalah penipu sama seperti Zarul. Tapi kali ini, perasaan yang dialami terlalu aneh. Perasaan yang terasa segar, yang pernah dialami sewaktu bersama Zarul. Bukan. Dia tidak pernah mengenali lelaki beruk itu. Macamana boleh wujud perasaan yang sama seperti Zarul. Lelaki itu juga sudah ada kekasih. Wayar dalam kepalanya berselirat. Mungkin hormon dalam badannya tak stabil, membuatkannya berfikir sesuatu yang baginya adalah mustahil. Kenapa, setiap lelaki yang membuat perasaannya jadi aneh, adalah hak orang? Akhirnya, Namira terlelap tanpa sedar. Moga ada mimpi indah yang akan mengiringi tidurnya.


***********************


“Kenalkan, ni adik saya Namira Hanim. Dia baru sahaja selesai pengajian di universiti Oxford di London, memperolehi ijazah dalam jurusan pengurusan dan perniagaan. Tapi, buat sementara waktu ni, dia akan menguruskan di bahagian pentadbiran bersama Zulkifli. Awak Zul, sila beri tunjuk ajar kepada Namira. Lelaki yang bernama Zul, mengangguk. “Baik Encik Firdaus.” Kesemua staf bertepuk tangan, mengalu-alukan kehadiran adik kepada majikan mereka. Namira membongkokkan sedikit badannya tanda mengucapkan terima kasih di atas penghargaan tersebut. “Mari, abang tunjukkan bilik Mira,” Firdaus berjalan menunjukkan bilik Namira.

“Abang Ngah cakap nak interviu Mira, kenapa tak jadi pulak?” Soal Namira hairan. Dia mengikuti langkah Firdaus.

“Bukan abang yang akan interviu Mira, tapi rakan kongsi abang. Fariz namanya. Nanti abang akan kenalkan Mira dengan dia. Tak tahu apa sebabnya, dia masuk lambat hari ni. Jadi secara outomatiknya interviu cancel.” Jelas Firdaus kepada adiknya. Namira sekadar mengangguk. Dia kemudian membelek-belek fail syarikat yang bersusun di atas meja. Harap-harap selepas kerja dengan Angah nanti, dia akan jadi semakin sibuk dan tidak akan ada ruang difikirannya untuk mengingati lelaki beruk tersebut.

“Nanti Fariz akan ajar Mira perkara-perkara yang penting dan peraturan dalam syarikat ni.” Namira sekadar tersenyum. Firdaus memerhati gelagat Namira. Otaknya ligat memikirkan kata-kata isterinya malam tadi dengan sikap Namira pagi ini. Mungkin ada benarnya kata-kata Yusma. Ah, Orang perempuan, mungkin lebih faham hati perempuan. Desis hatinya kemudian. “Angah, orang nak ke toilet sekejap, nanti orang datang balik.” Firdaus mengangguk perlahan.

Tak lama kemudian pintu ditolak dari luar. Fariz masuk dengan tergesa-gesa. Firdaus mengangkat kening dan kepalanya di dongakkan sedikit. Bahasa badan seperti itu bermaksud kenapa? Fariz tersengih. Semenjak Fariz berjumpa dengan perempuan yang dia sendiri pun tak kenal, Fariz jadi tak tentu arah. “Kenapa lambat?” Firdaus memerhatikan Fariz dari atas ke bawah. “Sorry, aku bangun lewat tadi.” Jelas Fariz smbil memasukkan bajunya ke dalam seluar dan membetulkan tali lehernya. “Kau ke mana malam tadi, sampai bangun lewat?” Firdaus mengerutkan dahinya seolah memikirkan sesuatu. Firdaus mencari fail yang hendak diserahkan kepada Namira sambil menunggu jawapan dari Fariz. Tiba-tiba Firdaus mengerutkan dahi. “Kejap, kejap…jangan kau nak beritahu aku yang kau cari perempuan tu satu KL malam tadi…” Soal Firdaus kemudian. Matanya memandang Fariz minta soalannya dijawab segera. “Macam tulah yang sebenarnya…” Fariz menelan air liurnya yang terasa berpasir tersekat di kerongkong. Tu semua idea datangnya dari Lisa. Menyesal betul dia ikut cadangan tu. Fariz menguap entah kali keberapa. Dari luar pintu, Namira dapat menangkap perbualan abangnya dengan seseorang. Mungkin rakan kongsi abangnya yang diberitahu dah sampai. Namira masuk bersahaja. Fariz pula membelakangkan Namira. “Sorry, Mira lambat sikit tadi. Mira terpaksa pergi ke toilet bawah. Sebab toilet kat atas cuci,” Jelas Namira. Suara Namira menangkap deria dengar Fariz dan tiba-tiba membuat dadanya berdebar. Suaranya macam pernah dengar. Diakah itu?

“Fariz, mari aku kenalkan kau dengan adik aku. Namira Hanim. Mira, ni rakan kongsi yang abang Ngah beritahu tadi.” Fariz menoleh. Namira tersentak. Betapa kecilnya dunia ni dirasakan. Lelaki yang ingin diusir dari hidupnya, kini berada di depan mata. Fariz pula tergamam. Puas sudah dia mencari gadis yang mengganggu mimipinya siang dan malam, kini berdiri di hadapannya.

“Awak?” Kedua-duanya serentak bersuara. Namira membulatkan matanya. Organ pernafasannya terhenti.

“Mira taknaklah bekerja dengan lelaki beruk ni.” Namira kembali memusingkan badannya dan memeluk tubuh. Agak-agaknya boleh tak dia jadi halimunan sekarang. Kalau dia punya kuasa, akan dia hilang dalam sekelip mata.

“Saya pun tak hingin bekerja dengan perempuan singa macam awak.” Balas Fariz. Dia kemudiannya menala ke dinding. Rasa ingin lari dari sini pun ada. Agak-agak, antara Afganistan, Amsterdarm dengan Angkasapuri, mana paling jauh dia boleh pergi.

“Apa, awak panggil saya, perempuan singa?” Namira memandang semula ke arah Fariz dengan garang. “Dah awak panggil saya lelaki beruk, takpe? Ada ke muka hensem macam pelakon Rosyam Noor saya ni disamakan dengan beruk.” Balas Fariz. Wajahnya di control agar kelihatan macho sikit.

“Bukan muka awaklah, perangai awak. Selalu jer ada kat depan saya, entah dari mana awak datang. Selalu muncul tiba-tiba. Tak ubah macam beruk.” Namira makin berani berbalas cakap dengan Fariz.

“Jadi, memang terbuktilah, muka saya hensem. Dan awak, tak sedar ker perangai awak tu garang macam singa. Tahu nak marah jer. Elok-elok muka cun macam Nora Danish terus jadi macam Mak Enon,kerepot, huh..” Fariz memulangkan paku buah keras. Namira menjuihkan lidahnya kemudian menggetap bibir tanda geram. Perasan. “Masuk mesin basuh, cuci sendirilah…” balas Namira. Mukanya terasa panas. Adaker, aku disamakan macam Mak Enon. Namira menghentakkan kakinya dan memusing semula badannya ke arah lain. Tidak dapat dia menahan perasaan. Rasa cemburu ketika melihat Fariz bersama dengan orang perempuan, masih terbayang dalam ingatannya. Memadamkan terus perasaan yang baru hendak berbunga di hatinya. Fariz turut menahan perasaan, kalau diikutkan hatinya, ingin saja dipeluknya Namira kini. Terlalu lama dia menjadi seorang perindu.

“Kejap…kejap… apa semua ni? Korang nak buka Zoo Negara ke atau klinik haiwan? Sorang singa. Sorang lagi beruk. Apa ni? Mira, cuba cakap terus-terang, biar Abang Ngah faham. Korang berdua dah lama kenal ker?” Firdaus cuba berdiplomasi. Namira menceritakan kesemuanya. Tentang di Airport, di dalam bas dan di shopping kompleks. Fariz menggaru kepalanya yang tidak gatal. Cerita Namira membongkar segalanya. Tahulah Firdaus kini, perempuan yang membuat kawan baiknya jadi tidak tentu arah, adalah adiknya sendiri. Firdaus menjeling ke arah Fariz, dan sahabatnya tu sekadar tersengih. Fariz buat muka macam pendatang tanpa izin yang tak ada permit sah. Serbuk kunyit betul diorang ni. Firdaus mengelengkan kepalanya. Mujur dimintanya Namira bekerja dengannya. Jika tidak sampai bila-bila pun, keadaan akan terus jadi huru-hara. Semua tak sesusah yang difikirkan.

***********************************
“Terima kasih sebab sudi menerima abang dalam hidup Mira.” Fariz mengucup dahi isterinya dengan penuh kasih sayang. Namira bersyukur kerana dia mendapat seseorang yang dicintai, adalah miliknya seorang. Bukan hak sesiapa. Fariz juga telah menerangkan siapa gadis yang dilihat Mira sewaktu di shopping Mall tempoh hari. Namira menjadi malu kerana membuat tuduhan melulu.

“Abang, Mira pun begitu. Mira tak sangka,semua ni akan berlaku. Mira rasa bersyukur dengan takdir yang telah ditentukan.” Ujar Mira perlahan.

“Mira, abang ada sesuatu rahsia yang abang nak beritahu pada Mira. Tapi, Mira kena janji jangan marah abang,” Fariz berhati-hati bercakap. “Apa dia bang, cakaplah… Mira janji tak akan marah.” Namira memandang tepat mata suaminya.

“Hmmm… coklat yang Mira beli hari tu, masa kita jumpa dalam bas. Abang terpijak. Abang tak sangka. Bila sampai rumah, baru abang perasan, coklat yang dah cair melekat kat kasut abang.” Jelas Fariz sambil ketawa. Namira ikut juga ketawa. “Patut pun coklat tu dah tak ada dalam beg Mira. Kesian Alif dan Fika, Coklat yang Mira beli, tiba-tiba tak ada.” Namira ketawa bila mengingati semuanya. “Dan ada orang tu minta ganti rugi coklat, sebab cemburu,” Namira memukul Fariz perlahan menahan malu. Dia bahagia kini. Dalam hatinya berdoa, semoga kebahagiaan itu akan terus menjadi miliknya. Fariz kemudian memeluk isterinya erat kedalam pelukkannya.

No comments: